Penerimaan DVB

DVB-S dan DVB-C diratifikasi pada tahun 1994. DVB-T diratifikasi pada awal tahun 1997. Penyiaran DVB-T komersial pertama dilakukan oleh Kumpulan TV Digital (Digital TV Group, DTG) United Kingdom pada akhir tahun 1998. Pada tahun 2003 Berlin, Jerman menjadi kawasan pertama yang menghentikan penyiaran isyarat TV analog sepenuhnya. Kebanyakan negara Eropah menetapkan sasaran diliputi televisyen digital sepenuhnya menjelang tahun 2010, sekaligus menutup segala perkhidmatan PAL/SECAM pada masa itu.

Do Eropah, Australia, Afrika Selatan dan India, DVB digunakan di seluruh kawasan yang diliputi atau sekurang-kurangnya diputuskan sedemikian; begitu juga untuk TV kabel dan satelit di kebanyakan negara Asia, Afrika dan Amerika Selatan. Kebanyakan negara ini belum memilih format untuk penyiaran televisyen digital (DTTV) dan sebilangan kecilnya (Kanada, Mexico dan Korea Selatan) memilih ATSC daripada DVB-T.

Di Malaysia, penyedia program satelit ASTRO memancar dalam format DVB-S sejak dibuka pada tahun 1996. Siaran percubaan siaran DVB-T percuma bermula pada akhir tahun 2006 dengan siaran serentak RTM1 dan RTM2 serta saluran baru RTMi. Pada April 2007, RTM mengumumkan bahawa hasil ujian ini memberangsangkan dan menjangka DVB-T diperkenalkan ke orang awam pada tahun 2008 selepas menetapkan harga set-top box penerima DVB-T . Syarikat telekomunikasi baru U Mobile dijangka melancarkan perkhidmatan DVB-Hnya pada awal tahun 2008 selepas menjalani percubaan. Tarikh penutupan analog diumumkan jatuh pada hujung bulan September 2019.