Sejarah EXID

2011: Pra–kemunculan pertama

Pada bulan Mei 2011, Shinsadong Tiger dan AB Entertainment (sekarang dikenali sebagai Gamgak Entertainment) meninjau beberapa pelatih daripada JYP Entertainment untuk membentuk kumpulan wanita baru. Pelatih Yuji merupakan yang pertama untuk menyertai AB Entertainment apabila kumpulan wanita JYP yang terdiri daripada Yuji, Hani, Song Ji-eun (dari Secret) dan Hyolyn (dari Sistar) gagal untuk membuat kemunculan pertama. Yuji menghubungi pelatih JYP, Hani, Haeryeong dan Junghwa untuk menjalani uji bakat bersama AB dan ketiga-tiga mereka kemudiannya diterima masuk ke dalam agensi itu. Kumpulan ini ditambah dengan ahli kelima selepas Shinsadong menjumpai LE, seorang penyanyi rap dan penulis lagu yang menyanyi di bawah nama "Elly." Dami yang merupakan seorang pelatih AB, menjadi ahli keenam dan terakhir untuk ditambah dalam kumpulan ini.[2] Pada asalnya bernama "WT", sebuah akronim untuk "Who's That", kumpulan ini kemudian bertukar nama kepada EXID beberapa bulan sebelum kemunculan pertama mereka.[3] Pada bulan Disember 2011, LE ditampilkan dalam lagu single Huh Gak, "Whenever You Play That Song" yang mencapai kejayaan dalam carta muzik utama Korea.[4] EXID dijadual untuk membuat kemunculan pertama pada bulan Januari 2012 tetapi ia ditangguhkan sehingga bulan Februari selepas LE mengalami kecederaan kaki ketika latihan.[5] Pada 3 Februari 2012, AB mengumumkan bahawa EXID akan membuat kemunculan pertama menerusi lagu "Whoz That Girl".[6]

2012:Kemunculan pertama dan pertukaran ahli

EXID mengeluarkan lagu single pertama mereka, "Holla" pada 16 Februari 2012.[7] Mereka membuat persembahan pertama mereka dalam M! Countdown disusuli dengan Music Core dan Inkigayo.[7][8] Lagu pertama mereka, "Whoz That Girl" menduduki tempat ke–36 dalam Carta Gaon dan terjual sebanyak 840,000 salinan digital.

EXID pada bulan Oktober 2013.

Pada bulan April 2012, AB Entertainment mengumumkan pengeluaran Yuji, Dami dan Haeryeong dari kumpulan. AB berkata dalam satu kenyataan bahawa Yuji dan Dami meninggalkan kumpulan ini untuk menumpukan pembelajaran mereka manakala Haeryeong meninggalkan kumpulan ini untuk mengejar kerjaya lakonan.[9][10] Mereka digantikan oleh bekas ahli duo vokal 2NB, Solji dan Hyerin yang pada asalnya dicadangkan untuk ahli asal EXID sebelum digugurkan.[11][12]

Bersama ahli baru, EXID kembali pada bulan Ogos 2012 menerusi lagu "I Feel Good" dan album mini pertama mereka, Hippity Hop.[13] Hippity Hop menduduki tempat ke–13 dalam Carta Gaon. Pada 2 Oktober, EXID kembali dengan lagu baru, "Every Night".[14] "Every Night" menduduki tempat ke–43 dalam Carta Gaon.

Pada 11 Oktober, EXID mengeluarkan lagu "Hey Boy" sebagai sebahagian daripada runut bunyi sitkom MBC, The Thousandth Man.[15] Lagu ini merupakan versi wanita untuk lagu B1A4, "Hey Girl". Ianya telah didedahkan pada 30 November 2012 bahawa EXID bersama-sama Big Star dan D-Unit akan bekerja bersama-sama untuk album kolaborasi istimewa sebagai tambahan kepada sebuah konsert akhir tahun.[16] Konsert ini, "The Bugs Show Vol. 1" diadakan pada 22 Disember Hongdae, Seoul.[17] Pada 6 Disember, EXID memenangi anugerah rookie di “Anugerah Hiburan dan Kebudayaan Korea ke–20”.[18][19]

2013–14: Peningkatan populariti dan Unit Dasoni

Pada 8 Februari 2013, EXID mengeluarkan lagu "Up & Down" dari runut bunyi Incarnation of Money dan kemudiannya ia telah diumumkan bahawa Hani dan Solji akan mengambil bahagian dalam sebuah sub-unit iaitu "Dasoni".[20] Sub-unit ini mengeluarkan lagu pertama mereka, "Goodbye" pada 15 Februari 2013 yang juga mengandungi lagu "Said So Often".[21]

EXID pada bulan September 2014.

Ia telah diumumkan pada bulan Jun 2014 bahawa ahli kumpulan ini telah menandatangani kontrak eksklusif bersama Yedang Entertainment dan sedang bersedia untuk membuat kemunculan kembali bersama Shinsadong Tiger yang akan berperanan untuk menerbit album mereka.[22]

Pada 24 Ogos 2014, EXID mengadakan persembahan kemunculan kembali mereka di Dewan Seni Ilchi. Mereka mempersembahkan lagu baru mereka, "Up & Down".[23] Lagu ini dikeluarkan pada 27 Ogos dan gagal untuk menembusi 100 teratas dalam Carta Gaon; walau bagaimanapun, ia berjaya menduduki tempat ke–94 dalam carta domestik.[24] Lagu ini kemudiannya mula mencapai populariti pada lewat bulan November selepas video peminat Hani mempersembahkan lagu ini menjadi viral di laman sosial Korea. Video peminat beliau telah ditonton lebih daripada 24 juta kali setakat ini.[25][26] Ini membawa kepada lagu ini menaiki semula carta muzik dan berjaya menembusi tempat 10 teratas.[27][28] Kerana kejayaan ini, EXID kembali ke beberapa program muzik untuk mempromosi "Up and Down".[29] Lagu ini dicalonkan untuk anugerah tempat pertama dalam Show! Music Core, The Music Trend dan M Countdown dimana mereka berjaya memenangi pada 8 Januari 2015.[30][31] Pada 9 Januari, kumpulan ini memenangi anugerah program muzik dalam Music Bank.[32] Ia disusuli dengan kemenangan pada 11 Januari dalam Inkigayo.[33]

2015: Ah Yeah

Pada bulan Februari 2015, Solji mengambil bahagian dalam King of Masked Singer (Mask King) untuk episod pertama mereka dan menjadi pemenang pertama rancangan ini. Ini membawa kepada banyak perhatian kepada EXID dan meningkatkan reputasi Solji sebagai penyanyi vokal yang berbakat.[34]

Pada 6 April, Yedang Entertainment mengeluarkan teaser video muzik untuk lagu "Ah Yeah" dari album mini ke-2 mereka. Video muzik penuh dikeluarkan pada 13 April.[35] "Ah Yeah" dicalonkan untuk anugerah tempat pertama dalam pelbagai rancangan ini dan kumpulan ini berjaya memenangi anugerah program muzik pada 21 April 2015 dalam The Show. Kumpulan ini juga memenangi tempat pertama pada 26 April dan 3 Mei dalam Inkigayo (The Music Trend) dan pada 29 April dan 6 Mei dalam Show Champion. Pada bulan Mei, kumpulan ini membuat penampilan Amerika pertama mereka dalam Festival Muzik Korea di Los Angeles, California. Mereka mempersembahkan lagu "Every Night," "Ah Yeah" dan "Up & Down".

EXID mengacara program realiti mereka sendiri yang disiarkan menerusi saluran MBC every1 iaitu Showtime! Mereka ditampilkan dalam Showtime Musim 5 selepas EXO, BEAST, Apink dan SISTAR dalam empat musim sebelumnya.[36] Jeonghwa telah dipilih untuk membintangi drama, Webtoon Hero Toondra Show sebagai watak wanita utama. Drama ini disiarkan menerusi saluran MBC every1 bermula akhir bulan Julai.[37] Pada 7 November, EXID memenangi Anugerah Bintang Muzik MBC di Anugerah Muzik MelOn 2015.

Pada 8 November, sebuah teaser dikeluarkan untuk lagu "Hot Pink". Lagu ini kemudiannya dikeluarkan pada 14 November 2015. Video muzik untuk "Hot Pink" dikeluarkan pada 17 November 2015. Video muzik ini mencapai 11 juta tontonan sehingga 25 Disember 2015.[38] "Hot Pink" dicalonkan untuk anugerah tempat pertama dalam pelbagai program muzik dan kumpulan ini meraih kemenangan pertama mereka menerusi lagu "Hot Pink" pada 25 November 2015 dalam Show Champion dan kemenangan kedua mereka pada 6 Disember 2015 dalam Inkigayo.

2016: Street

EXID pada bulan Julai 2016

Pada 1 Jun, kumpulan ini mengeluarkan album studio pertama mereka bertajuk Street bersama lagu utama, "L.I.E".[39] Street mengandungi tiga belas lagu, kebanyakan daripadanya ditulis atau digubah oleh LE. Album ini juga mengandungi "Hello", sebuah lagu solo yang dinyanyikan oleh Hani dan "3%", sebuah lagu yang dinyanyikan oleh Solji. Album ini menduduki tempat ke–2 di Korea dalam Carta Album Gaon manakala lagu "L.I.E" menduduki tempat ke–5.[40] Pada 8 Jun, EXID memenangi tempat pertama menerusi lagu "L.I.E" dalam Show Champion.[41] Mereka juga berjaya memenangi program muzik Inkigayo dan The Show.

Pada 20 Disember, EXID mengeluarkan lagu Bahasa Cina pertama mereka, "Cream" dalam QQ Music dan YinYueTai. Lagu ini menduduki tempat ke–6 dalam Carta V Billboard China.[42] Walau bagaimanapun, sehari kemudian, Banana Culture mengumumkan bahawa Solji telah mengalami hipertiroidisme dan beliau akan menghentikan segala aktivitinya untuk musim anugerah 2016-17 manakala empat ahli lain meneruskan aktiviti mereka.

2017: Eclipse dan Full Moon

Pada 10 Januari, kumpulan ini mengeluarkan lagu Bahasa Cina kedua mereka, "Up & Down" (Bahasa Cina: 上下; pinyin: Shàngxià).[43] Pada hari yang sama ia dikeluarkan, video muzik untuk lagu "Up & Down" yang telah disunting semula telah dimuat naik ke laman Youtube selepas versi asal telah dipadam. Pada 17 Mac, EXID membuat persembahan di Mexico sebagai sebahagian daripada festival muzik KCON. Hani juga menyanyikan lagu oleh duo Mexico, "Ecos De Amor".

Oleh kerana masalah kesihatan Solji, kemunculan kembali kumpulan ini telah ditunda kepada bulan April. Agensi kumpulan ini mengumumkan pada bulan Mac bahawa akan kembali bersama empat ahli manakala Solji berada dalam proses pemulihan. Pada 10 April, EXID mengeluarkan album mini ketiga mereka, Eclipse bersama lagu, "Night Rather Than Day."[44] Eclipse menduduki tempat keempat dalam Carta Album Dunia Billboard.[45]

Pada 25 April, EXID memenangi tempat pertama dalam The Show menerusi lagu "Night Rather Than Day". Ia disusuli dengan kemenangan dalam Show Champion pada hari berikutnya dan kemenangan ketiga mereka dalam "The Show" pada 2 Mei 2017.[46] Pada 12 Mei, Banana Culture Entertainment mengumumkan bahawa EXID akan memulakan jelajah promosi Asia semasa musim panas. Kumpulan ini melawat beberapa negara untuk jelajah ini bermula di Hong Kong dan Singapura. Mereka juga melawat Taiwan pada 30 Julai sebelum membuat persembahan konsert di Seoul pada 12 Ogos.

Pada 16 Oktober, EXID mengumumkan kemunculan kembali menerusi album mini keempat mereka, Full Moon. Album mini ini dikeluarkan pada 7 November.[47]

Rujukan

WikiPedia: EXID http://www.ajunews.com/view/20151117173733787 http://www.allkpop.com/article/2015/02/exids-solji... http://www.allkpop.com/article/2015/04/exid-say-ah... http://www.allkpop.com/article/2016/06/exid-take-f... http://www.allkpop.com/article/2017/04/exid-wins-f... http://bananact.com/main_exid http://www.billboard.com/articles/columns/k-town/6... http://www.billboard.com/articles/columns/k-town/7... http://www.billboard.com/charts/china-v-chart http://news.chosun.com/site/data/html_dir/2012/11/...