Perdagangan Ekonomi_Vietnam

Saigon Trade Center, antara pencakar langit terawal yang dibina di Bandaraya Ho Chi Minh setelah pembaharuan Doi Moi.

Sejak awal 2000-an, Vietnam melaksanakan liberalisasi perdagangan berturut-turut, iaitu pendekatan dua arah yang membuka sesetengah sektor kepada pasaran global sambil melindungi yang lain.[13][14] Pada Julai 2006, Vietnam mengemaskinikan perundangan harta intelek untuk mematuhi TRIPS. Vietnam semakin bersepadu dengan ekonomi dunia, khususnya sejak usahanya untuk meliberalkan ekonomi membolehkan Vietnam untuk menyertai Pertubuhan Perdagangan Dunia pada 2007.[15] Sektor pembuatan dan perkhidmatan masing-masing menyumbangkan 40% kepada KDNK, tetapi hampir setengah jumlah guna tenaga (48%) masih bergiat dalam pertanian. Diunjurkan bahawa sejuta orang pekerja setahun, daripada sejumlah 51.3 juta orang pada 2010, akan terus meninggalkan sektor pertanian untuk sektor lain dalam masa akan datang.[16][15] Vietnam kini salah sebuah ekonomi yang paling terbuka di Asia: perdagangan dua hala bernilai sekitar 160% daripada KDNK pada 2006, lebih daripada dua kali nisbah semasa bagi China dan lebih empat kali nisbah bagi India.[17] Antara rakan dagang utama Vietnam ialah China, Jepun, Australia, negara-negara ASEAN, Amerika Syarikat dan Eropah Barat.

Jabatan kastam Vietnam melaporkan pada Julai 2013 bahawa jumlah nilai perdagangan barang dagangan antarabangsa bagi suku pertama 2013 ialah AS$124 bilion, iaitu 15.7% lebih tinggi daripada tempoh sama pada 2012. Telefon bimbit dan alat-alatannya diimport dan dieksport secara besar-besaran, sementara dalam pasaran sumber alam, minyak mentah merupakan eksport tertinggi sementara besi dan keluli diimport banyak-banyak pada tempoh berkenaan. AS merupakan negara yang membeli jumlah eksport Vietnam yang terbesar, sementara barangan China paling banyak diimport oleh Vietnam.[18]

Ekoran beberapa tindakan pembaharuan tanah, Vietnam telah menjadi pengeksport utama produk pertanian. Kini Vietnam merupakan pengeluar kacang gajus terbesar di dunia dengan satu pertiga bahagian pasaran dunia; pengeluar lada hitam terbesar dengan satu pertiga pasaran dunia; dan juga pengeksport beras kedua terbesar di dunia selepas Thailand. Vietnam ialah pengeksport kopi kedua terbesar di dunia.[19]

Vietnam mempunyai kadar penggunaan tanah terbesar bagi tanaman kekal daripada semua negara Subkawasan Mekong Raya, iaitu 6.93%. Eksport utama lain termasuk teh, getah, dan hasil perikanan. Namun begitu, sumbangan pertanian kepada KDNK Vietnam makin berkurangan dari 42% pada 1989 kepada 20% pada 2006, ekoran berkembangnya pengeluaran dalam sektor lain.

Pada 2014, Vietnam merundingkan perjanjian perdagangan bebas bersama Kesatuan Eropah untuk mencapai Sistem Keutamaan Am yang memberikan akses keutamaan bagi negara membangun ke dalam pasaran Eropah menerusi tarif rendah.[20]

Vietnam merupakan anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang membentuk pasaran bersama Komuniti ASEAN pada 2015.[15]


Rujukan

WikiPedia: Ekonomi_Vietnam http://www.bbc.com/news/magazine-25811724 http://www.bloomberg.com/markets/currencies/asiapa... http://money.cnn.com/magazines/fortune/fortune_arc... http://www.pwc.com/vn/en/releases2008/vietnam-may-... http://ssrn.com/abstract=1442384 http://www.vietfinancenews.com/2010/12/vietnam-201... http://www.vietnamtribune.com/index.php/sid/222099... http://www.eia.gov/countries/country-data.cfm?fips... http://minerals.usgs.gov/minerals/pubs/country/201... http://www.fwa.org/pdf/Vietnam_posttrip_article.pd...