Enjin_kecil
Enjin_kecil

Enjin_kecil

Enjin kecil merujuk kepada enjin pembakaran dalaman satu silinder serba guna kecil yang sering digunakan bagi menggerakkan pelbagai jenis mesin dan jentera ringan yang memerlukan sumber tenaga bebas seperti mesin rumput, penjana elektrik kecil, pam air, pembancuh konkrit, mesin pemerah air tebu, dsb.[1]Enjin sebegini kecil dari segi saiz serta keluaran kuasa kuda. Kebanyakan enjin kecil hanya berkadaran 5 kuasa kuda ke bawah, dengan dimensi luarannya pula tidak melebihi satu kaki padu. Sungguhpun demikian, enjin yang lebih besar dengan keluaran kuasa sehingga 20 kk masih dianggap sebagai 'enjin kecil'. Enjin terkecil digunakan pada jentera tangan yang kecil, seperti mesin rumput dan gergaji rantai, dengan saiz enjin sehingga sekecil 25 cc.Kebanyakan enjin sebegini adalah dari jenis enjin petrol silinder tunggal sistem sejukan udara. Kedua-dua enjin dua lejang dan enjin empat lejang boleh digunakan; enjin dua lejang digunakan bagi enjin bersaiz kecil serta dalam aplikasi mudah alih, manakala enjin empat lejang pula bagi enjin bersaiz lebih besar. Tidak seperti enjin kenderaan moden, rekaan enjin kecil amat ringkas dan mudah dijaga. Kos modal lebih diutamakan daripada kecekapan bahan api, kos penggunaan atau ketahanannya, membawa kepada rekaan yang ringkas. Enjin empat lejang kecil adalah salah satu daripada penggunaan teknologi injap tepi yang masih wujud. Sungguhpun demikian, enjin kecil juga tidak terlepas daripada peraturan piawaian emisi dan kecekapan bahan api; maka, penggunaan teknologi automotif yang lebih moden seperti sistem penyalaan elektronik diterapkan.