Fantasia_(filem)
Fantasia_(filem)

Fantasia_(filem)

Fantasia merupakan sebuah filem animasi Amerika Syarikat yang diterbitkan oleh Walt Disney pada tahun 1940. Filem ketiga terbitan Walt Disney Productions ini terdiri daripada lapan segmen animasi yang diiringi irama muzik klasikal pilihan dan diselangi oleh babak-babak aksi langsung yang memperkenalkan setiap segmen. Segmen-segmen animasi tersebut tiada dialog mahupun kesan bunyi; segala percakapan dalam filem hanya diperdengarkan dalam babak pengenalan aksi langsung oleh hos Deems Taylor, seorang penggubah dan pengulas muzik Amerika, sebelum setiap segmen.Muziknya dirakam di bawah pimpinan Leopold Stokowski yang ditampilkan dalam babak-babak pengenalan Taylor. Tujuh daripada lapan lagunya dimainkan oleh Orkestra Philadelphia. Karya seni animasi yang menunjukkan berbagai-bagai tahap keniskalaan atau keliteralan digunakan untuk menggambarkan atau mengiringi konsert dengan pelbagai cara. Fantasia terkenal kerana ciri-ciri yang dianggap avant-garde pada zaman itu, dan juga sebagai filem dagangan pertama yang ditayangkan dengan sistem bunyi berbilang saluran dengan menggunakan proses "Fantasound". Filem ini mendapat sanjungan sebagai magnum opus Disney.Fantasia mula-mula ditayangkan oleh Walt Disney Productions, bukan pengedarnya ketika itu, RKO Radio Pictures, sebagai filem jerayawara dua jam dua puluh minit (termasuk waktu rehat) dengan pemasukan kerusi tempahan. Apabila ditayangkan kepada umum, filem ini menerima ulasan kritis bercampur-campur dan gagal menarik jumlah penonton yang besar sehingga mengakibatkan Disney dalam keadaan kewangan yang teruk.[1][2]Fantasia akhirnya diedarkan oleh RKO untuk ditayangkan semula pada tahun 1941, kemudian disunting banyak-banyak sehingga hanya tinggal tempoh 81 minit untuk tahun 1942. Lima kali tayangan semula Fantasia dari tahun 1946 hingga 1977 sempat memulihkan sedikit sebanyak babak-babak yang terpotong, khususnya versi paling umum iaitu edisi 1946 yang tempohnya kurang sembilan minit daripada versi jerayawara 124 minit itu. Keluaran semula 1982 menampilkan runut bunyi serba baru digital pimpinan penggubah Irwin Kostal, tetapi ditarik balik pada tahun 1990 setelah tersedianya hasil pemulihan runut bunyi asli pimpinan Stokowski. Versi asal Fantasia tidak lagi ditayangkan selepas tahun 1941. Meskipun ada sedikit unsur-unsur audio asal yang tidak wujud lagi, namun versi keluaran DVD pada tahun 2000 menampakkan percubaan untuk memulihkan seberapa banyak versi asal filem yang boleh. Biarpun tidak disambut baik pada mulanya, namun Fantasia terus menjadi salah sebuah filem terlaris sepanjang zaman [3] dan kini diterima sebagai filem klasik.

Rujukan

WikiPedia: Fantasia_(filem) http://allmovie.com/cg/avg.dll?p=avg&sql=1:16752 http://www.allmovie.com/cg/avg.dll?p=avg&sql=16752 http://theanimationempire.blogspot.com/2007/12/rac... http://www.boxofficemojo.com/alltime/adjusted.htm http://www.boxofficemojo.com/movies/?id=fantasia.h... http://www.cracked.com/article_15833_the-9-most-ra... http://www.imdb.com/title/tt0032455/ http://www.nycballet.com/nutcracker/nutcracker.htm... http://www.rottentomatoes.com/m/%7B%7B%7Bid%7D%7D%... http://msgboard.snopes.com/cgi-bin/ultimatebb.cgi?...