Kerjaya Hans_Isaac

Hans memulakan kerjaya lakonannya pada 1993, ketika berusia 22 tahun menerusi filem Ringgit Kasorrga yang ditayangkan dua tahun kemudian. Pada 1997, beliau berlakon di samping Ratu Rock negara, Ella dalam filem Hanya Kawan arahan Harith Iskander.

Pada Mac 2004, Hans memegang watak sebagai Roy, seorang pereka perisian komputer dan kaki buli dalam filem sulung arahan Afdlin Shauki, Buli yang menampilkan barisan ahli pelakon terdiri daripada Afdlin, AC Mizal, Nasha Aziz, Ako Mustapha, dan ramai lagi. Beliau menjayakan kembali peranannya dalam sekuel filem ini, Buli Balik (2006).

Hans sekali lagi meneruskan kerjasama dengan Afdlin menerusi filem Baik Punya Cilok (2005) yang turut dibintangi oleh AC Mizal, Awie, Carmen Soo, Harun Salim Bachik, Ida Nerina dan Harith Iskander. Beliau memulakan kerjaya pengarahan pada 2008 menerusi filem Cuci terbitan syarikat miliknya, Tall Order Productions dan ditaja oleh Tune Group. Juga, pada tahun yang sama, beliau membintangi bersama Natasha Hudson, Christian Sugiono dan Titi Kamal dalam filem gabungan kerjasama Malaysia dan Indonesia, Tipu Kanan Tipu Kiri.

Dua tahun kemudian, beliau memegang watak sebagai Mir dalam filem romantik Filipina, Miss You Like Crazy arahan Cathy Garcia-Molina, lakonan John Lloyd Cruz dan Bea Alonzo. Penggambaran filem ini dijalankan di Kuala Lumpur, Malaysia.

Hans meneruskan rentetan kerjasama bersama Afdlin Shauki dalam filem aksi fantasi Misteri Jalan Lama di mana dalam filem ini, beliau memegang watak sebagai Indra, seorang kaki judi. Hans memegang watak sebagai Jimmy, seorang ketua sindiket pengedarah dadah antarabangsa dalam filem Langgar arahan Syed Hussein. Pada 8 Ogos 2013, Hans mengarah dan menulis skrip filem kedua arahannya Lemak Kampung Santan, beliau sendiri turut berlakon, memegang watak sebagai Ridzuan.[5]

Pada 16 April 2018, Hans bersama beberapa selebriti tempatan lain termasuk Neelofa, Awal Ashaari, Scha Al-Yahya, Maya Karin, Joe Flizzow, Nora Danish, dan Kavita Sidhu turut serta menjayakan kempen menentang buli siber dan penyebaran berita palsu di media sosial.[6][7][8]

Pada 8 April 2019, Hans dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo. Beliau menggantikan Samsuni Mohd Nor yang telah tamat kontrak pada Mac.[9]

Rujukan

WikiPedia: Hans_Isaac http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2... http://www.hans-isaac.com/ http://www.imdb.com/name/nm0410493/ http://ohbulan.com/gandingan-mantap-hans-isaac-nee... http://www.star2.com/entertainment/movies/movie-ne... http://www.thenutgraph.com/%E2%80%9Cmore-malaysian... http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&d... http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&d... http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/200... http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/201...