Heraclius
Heraclius

Heraclius

Heraclius (Bahasa Latin: Flavius Heraclius Augustus, Bahasa Yunani: Φλάβιος Ἡράκλειος, c. 575 – 11 Februari 641 M) adalah seorang Maharaja Byzantine yang memerintah dari 610 hingga 641 M.[A 1]Beliau bertanggung jawab memperkenalkan Bahasa Yunani sebagai bahasa rasmi Empayar. Kemunculannya bermula pada tahun 608 M apabila beliau dan bapa beliau, Heraclius si Bapa exarchate Afrika, berjaya mengetuai pemebrontakan menentang Maharaja Phocas yang tidak popular.Pemerintahan Heraclius ditandai beberapa kempen ketenteraan. Pada tahun Heraclius naik takhta, empayar diancam di beberapa tempat. Heraclius serta-merta mengambil pimpinan dalam perang menentang Sasan Parsi. pertempuran-pertempuran pertama kempen ini berkesudahan dengan kekalahan Byzantine. Tentera Parsi bertempur sehingga ke Bosporus; walau bagaimanapun, oleh sebab kota Constantinople dipertahankan tembok-tembok yang tidak dapat ditembusi serta angkatan laut yang kuat, Heraclius berjaya mengelak daripada kekalahan teruk. Tidak lama kemudian, beliau membuat perubahan bagi membina semula serta memperkasakan tenteranya. Heraclius berjaya menghalau Parsi dari Asia (Asia Minor) dan masuk ke dalam wilayah Sasan dan menewaskan mereka dalam pertempuran Nineveh pada tahun 627 M. Raja Parsi, Khosrau II digulingkan dan dihukum bunuh tidak lama kemudian dan perdamaian antara kedua-dua empayar besar dipulihkan.Namun demikian, tidak lama selepas kemenangan besarnya terhadap Parsi, Heraclius berhadapan dengan ancaman baharu, serangan Muslim. Mereka muncul dari Semenanjung Arab dan dengan cepat menakluk Empayar Sasan. Pada tahun 634 M orang Islam menyerang Syria Romawi, menewaskan Theodore, saudara Heraclius. Dalam masa yang singkat, orang Islam juga akan menawan Mesopotamia, Armenia dan Mesir.Dalam hal-hal keagamaan, Heraclius dikenang sebagai daya utama menukar agama orang yang berpindah ke Semenanjung Balkan. Berikutan permintaannya, Paus John IV (640-642 M) menghantar para mubaligh serta guru Kristian ke Dalmatia, sebuah wilayah baru yang diperintah orang Croat yang diduduki Porga dan puaknya yang menganut paganisme orang Slav. Heraclius cuba membaiki perpecahan dalam gereja Kristian berkaitan dengan doktrin Monophysite (syariat Nabi Yaakub)[4] dengan sebuah doktrin kompromi bernama Monothelitism. Gereja Timur (biasanya dipanggil Nestorian) juga terlibat dalam proses ini.[5] Akhirnya projek ini gagal dan ditolak semua pihak yang terlibat. Heraclius ialah Maharaja pertama yang bertarung dengan Muslim; dalam periwayatn Islam, beliau digambarkan sebagai seorang pemerintah yang dianggap paling sesuai yang berhubung dengan Nabi Muhammad SAW, yang berkemungkinan mempercayai Islam, dan yang melihat Nabi Muhammad sebagai seorang nabi yang benar.[6] Walau bagaimanapun, ada pihak yang mempercayai bahawa Heraclius tidak membaca ataupun menerima perutusan Nabi Muhammad.[7][8]