Pengasas Hinduisme

Salah satu ciri unik agama Hindu ialah ia tidak mempunyai pengasas. Ini mungkin berbunyi pelik kerana golongan Rishi yang menemui kebenaran abadi berfikir bahawa kebenaran yang mereka temui telah sedia wujud. Sama seperti hukum graviti yang telah wujud sebelum Newton menemuinya, Kebenaran telah sedia wujud. Seperti Newton menemui hukum graviti, golongan Rishi menemui Hukum Alam dan Tuhan. Pada hakikatnya, setiap manusia perlu mencari Tuhan dalam dirinya, maka agama Hindu tidak memerlukan pengasas. Swami Vivekananda menerangkan ini dalam Ucapan-Ucapan Chicago seperti ini:

"Orang Hindu telah menerima agama mereka melalui wahyu Veda. Mereka menyatakan bahawa Veda tidak mempunyai permulaan dan penghabisan. Bahawa sebuah kitab tidak mempunyai permulaan dan penghabisan, mungkin kedengaran pelik. Namun, Veda bukan sebuah kitab. Veda ialah kumpulan khazanah hukum rohani yang ditemui oleh pelbagai orang pada masa berlainan. Hukum graviti telah wujud sebelum manusia menemuinya, dan ia akan terus wujud meskipun semua orang melupakannya. Hukum dunia kerohanian juga sama seperti ini. Perhubungan moral, etika dan rohani antara jiwa dengan jiwa, antara roh individu dan Roh Agung (Tuhan) telah wujud sebelum penemuannya dan ia akan kekal walaupun kita melupakannya..."[6]

Golongan Rishi juga menyedari bahawa Kebenaran Abadi berasal daripada Tuhan, iaitu Sumber yang mencipta segala-galanya. Oleh kerana Kebenaran Abadi atau Veda berasal daripada Tuhan, ia bersifat apauruseya - bukan buatan manusia.

Tanpa seorang pengasas, agama Hindu mempunyai satu kelebihan berbanding agama-agama lain. Sekiranya ia mempunyai seorang pengasas yang spesifik, sudah pasti ianya sukar untuk agama Hindu melalui suatu evolusi yang telah dialaminya sejak beribu-ribu tahun. Pelbagai wali dan Avatara atau Jelmaan Tuhan telah datang pada zaman-zaman berlainan, memainkan peranan masing-masing, dan memperkayakan agama Hindu dengan ajaran mereka. Mereka menjadikan agama ini relevan untuk zaman dan manusia yang berlainan dengan memberikan interpretasi baru kepada teks-teks agama purba. Dengan pengalaman mereka sendiri, mereka juga telah mengesahkan kebenaran dalam kitab-kitab suci.[7]

Selain itu, berbanding agama-agama lain yang mempunyai pengasas, agama Hindu tidak disekat dengan dogma atau hukum-hukum kuno yang tidak lagi relevan untuk sesuatu zaman. Agama Hindu dapat menyesuaikan dirinya dengan pelbagai tempat, dan zaman kerana daripada zaman ke zaman, golongan wali dan Jelmaan Tuhan yang datang untuk tujuan mengembalikan, memperbaharui dan menghidupkan semula Dharma.