Ciri-ciri IOS

Menu Utama

Menu utama memaparkan ikon-ikon aplikasi dan terdapat tempat di bahagian bawah skrin yang dipanggil "dok". Pengguna akan dibawa ke menu utama apabila menekan butang utama. Terdapat bar status di bahagian atas yang memaparkan masa, tahap bateri dan kekuatan isyarat selular.

iOS 3 memperkenalkan fungsi Carian Spotlight dan berapa di "mukasurat" di bahagian paling kiri. Pengguna menggunakan fungsi ini untuk mencari fail media, aplikasi, e-mel, kenalan, mesej, peringatan dan kalendar.[15]

Mulai iOS 4, pengguna boleh memilih gambar untuk digunakan sebagai latar belakang menu utama. Walau bagaimanapun, bukan semua peranti disokong terutamanya model-model sebelum iDevice generasi ketiga (iPhone 3GS, iPod Touch Generasi ketiga). iPad pula mempunyai fungsi ini sejak iOS 3.2.[15]

Folder

Ciri folder diperkenalkan dalam iOS 4. Apabila satu aplikasi lain diheretkan ke atas aplikasi yang lain, ia akan membentuk satu folder yang baru. Menambah aplikasi ke dalam folder juga sama caranya dengan bilangan tertinggi aplikasi untuk satu folder ialah 12 untuk iPhone 4S, iPhone sebelumnya dan juga iPod Touch, 16 untuk iPhone 5 dan 20 untuk iPad. Nama folder akan dipilih secara automatik mengikut kategori aplikasi, tetapi pengguna juga boleh menamakan sendiri folder tersebut.

Pusat Pemberitahuan

Pusat Pemberitahuan (notification center) diperkenalkan dalam iOS 5. Pemberitahuan boleh dilihat dengan meleret turun dari bahagian atas skrin. Jika pengguna menyentuh salah satu pemberitahuan, aplikasi yang berkenaan akan dibuka.

Penugasan Berbilang

Sebelum iOS 4, penugasan berbilang (multitasking) terhad kepada beberapa aplikasi Apple sahaja. Bermula dengan iOS 4 (peranti generasi ketiga dan terbaru sahaja), penugasan berbilang disokong melalui tujuh API di latarbelakang.[15][16]

  1. Audio latarbelakang - membenarkan aplikasi terus berfungsi selagi ia memainkan audio atau video
  2. Suara melalui Protokol Internet - Aplikasi dihentikan semasa tiada panggilan.
  3. Lokasi latarbelakang - Aplikasi diberitahui mengenai pertukaran lokasi.
  4. Pemberitahuan tolak - Server akan menolak pemberitahuan ke peranti pengguna setiap masa
  5. Pemberitahuan tempatan - aplikasi akan menghantar pemberitahuan secara berjadual
  6. Penyelesaian tugasan - aplikasi akan meminta sistem untuk memberikan sedikit masa untuk menyiapkan tugasan.
  7. Pertukaran aplikasi dengan pantas - aplikasi tidak menjalankan apa-apa kod dan boleh dibuang dari ingatan bila-bila masa

Tiga lagi API baru diperkenalkan dalam iOS 5

  1. Newsstand - aplikasi boleh memuat turun kandungan dan sedia untuk digunakan[17]
  2. Aksesori luaran - Aplikasi berhubung dengan aksesori luaran dengan selang waktu tertentu[17]
  3. Aksesori bluetooh - Aplikasi berhubung dengan aksesori bluetooth dengan selang waktu tertentu[17]

Menukar aplikasi

Pengguna boleh menukar aplikasi dengan menekan butang utama dua kali dan boleh mengaktifkan penukar aplikasi yang terletak di bahagian bawah skrin.

Siri

Siri adalah pembantu peribadi pintar dan navigasi pengetahuan yang berfungsi sebagai aplikasi dalam peranti yang disokong. Siri, boleh diarah untuk melakukan tugas melalui input suara. Tugasan siri termasuklah membuat panggilan, membuka aplikasi, menghantar mesej, membuka laman sesawang, mencari maklumat sukan, memandu arah dan mencari lokasi serta menjawab soalan pengetahuan am.[18]

Siri hanya disediakan pada peranti iPhone 4S, iPod Touch generasi ke-5, iPad Mini, iPad generasi ketiga (dengan sokongan iOS 6[19]) dan peranti generasi selepasnya. Buat ketika ini, tiada sokongan Bahasa Melayu.