Sejarah Islam_di_Kazakhstan

Masjid Pusat Mashkhur Jusup, Pavlodar

Islam dibawa ke orang Kazakh pada abad ke-8 apabila orang Arab tiba di Asia Tengah. Islam mula-mulanya bertapak di bahagian-bahagian selatan Turkestan dan kemudian beransur-ansur tersebar ke utara.[5] Raja-raja Samanid juga membantu menyebarkan Islam menerusi kegiatan dakwah mereka, khususnya di sekitar kawasan yang berhampiran dengan Taraz.[6] Tambahan pula, pada akhir 1300-an, Angkatan Kencana juga menyebar Islam kepada orang Kazakh dan puak-puak Asia Tengah yang lain. Semasa 1700-an, pengaruh Rusia tersebar dengan pesat ke kawasan ini. Diketuai oleh Catherine, orang Rusia mula-mulanya menunjukkan kesanggupan untuk membenarkan Islam berkembang maju, dengan banyak ulama dijemput ke kawasan ini untuk mendakwahi orang Kazakh yang dilihat oleh orang Rusia sebagai manusia buas yang tidak tahu akan akhlak dan etika.[7][8]

Bagaimanapun, dasar Rusia kemudian beransur-ansur berubah dengan niat untuk melemahkan Islam melalui pengenalan unsur-unsur kesedaran kolektif pra-Islam.[9] Percubaan-percubaan tersebut termasuk kaedah untuk memuji-muji tokoh sejarah pra-Islam serta membuat orang Kazakh berasa rendah diri melalui penghantaran orang-orang Kazakh ke institusi tentera elit Rusia.[9] Sebagai balasan, ketua-ketua agama Kazakh mencuba menimbulkan keghairahan agama menerusi dukungan konsep perpaduan seluruh Turki, dengan akibat bahawa banyak daripada mereka ditindas.[10] Semasa zaman Kesatuan Soviet, insitusi Muslim dapat bertahan hanya di kawasan yang orang Kazakh jauh melebihi orang bukan Islam.[11] Dalam percubaan untuk memaksa orang Kazakh memeluk ideologi komunis, hubungan jantina dan aspek-aspek budaya Kazakh menjadi sasaran utama perubahan sosial.[8]

Lebih terkini, orang Kazakh telah beransur-ansur berusaha dengan lebih gigih untuk memulihkan institusi-institusi Islam selepas kejatuhan Kesatuan Soviet. Walaupun tidak bersikap begitu fundamentalis, orang Kazakh terus mengaitkan diri mereka dengan agama Islam [12] dan dengan lebih salih di kawasan luar bandar. Mereka yang mendakwa bahawa mereka berketurunan pahlawan dan pendakwah Muslim abad ke-8 yang asal amat dihormat oleh komuniti masing-masing.[13] Tokoh politik Kazakhstan juga menekankan keperluan untuk menyokong kesedaran Islam. Misalnya, Marat Tazhin, Menteri Hal-ehwal Luar Negeri, baru-baru ini menegaskan bahawa Kazakhstan perlu mengutamakan penggunaan "potensi positif Islam, serta mempelajari sejarah, budaya, dan warisannya".[14]

Pihak berkuasa Soviet mencuba menggalakkan bentuk Islam yang terkawal di bawah penyeliaan Pentadbiran Rohaniah Muslim Asia Tengah dan Kazakhstan sebagai pengaruh penyatuan di dalam masyarakat-masyarakat Asia Tengah, tetapi pada waktu yang sama, mengharamkan kebebasan agama benar. Sejak kemerdekaannya, kegiatan agama telah meningkat dengan ketara. Pembinaan masjid dan sekolah agama berkembang pesat pada dekad 1990-an, dengan bantuan kewangan daripada Turki, Mesir, dan terutamanya, Arab Saudi. Pada 1991, 170 buah masjid telah disediakan untuk penggunaan, dengan melebihi separuh merupakan masjid yang baru dibina. Ketika itu, terdapat sekitar 230 buah komuniti Muslim yang aktif di Kazakhstan.