Kerjaya Isyariana_Che_Azmi

Kerjaya awal

Sebelum memulakan kerjaya hiburan, Isyariana terlebih dahulu memulakan kerjaya awalnya sebagai pelukis pelan di negeri kelahirannya. Beliau pernah menyertai rancangan realiti TV i-Klon terbitan Datuk Siti Nurhaliza. Beliau juga turut terlibat dalam membuat persembahan solo bagi konsert penyanyi Indonesia, Rossa di Pahang, serta konsert-konsert di Raja Pahang di Dewan Jubli Perak, Pekan. Isya juga pernah menjadi penyanyi gantian untuk kumpulan The Fabulous Cats selama setahun.

Hanarose

Sebelum menyertai Akademi Fantasia 2016, Isyariana pernah menganggotai kumpulan duo Hanarose bersama Eka Sharif di bawah didikan Cat Farish pada tahun 2014.[6] Kumpulan ini bernaung di bawah Godzilla Boombox milik Cat dan seterusnya mengeluarkan single sulung mereka bertajuk "Girlfriend" pada April 2014.[7] Kumpulan ini ditubuhkan pada 2013 dan pertemuan Isya dengan Eka telah diatur oleh Cat. Sepanjang tempoh aktif dalam industri muzik tanah air, Hanarose pernah mengeluarkan beberapa lagu yang kesemuanya digunakan sebagai muzik tema filem Melayu tempatan—"UFO" (Usin UFO), "Tiba Kini Waktu" (Coverina) dan "Deritaku" (Pengantin Malam). Kumpulan ini dibubarkan secara rasmi pada 2016.

Akademi Fantasia

Isyariana merupakan salah seorang daripada 16 peserta Akademi Fantasia musim ke-13 yang berlangsung dari 21 Ogos hingga 9 Oktober 2016,[8] di mana beliau menduduki tangga ke-11 dan tersingkir di konsert minggu kelima. Dalam temuramah bersama Astro Awani, Isya berkata penyingkiran beliau dari AF2016 dengan keadaan sebegini dianggap kejam. "Saya rasa tersingkir dengan cara yang sebegini sangat kejam, bila kita dah dicantikkan dan berlatih untuk buat persembahan tapi lain pula jadinya."[2] Sepanjang penglibatannya dalam AF2016, Isya menyanyikan lagu:

  1. "Tak Tercapai Akalmu" (Elyana)
  2. "Flora Cinta" (Min Malik)
  3. "Melompat Lebih Tinggi" (Sheila on 7)
  4. "Tanpa Kekasihku" (Agnez Mo)

Bidang lakonan

Melengkapkan diari kerjaya hiburannya, Isyariana memulakan kerjaya lakonan dengan membintangi drama Married Tapi Benci yang dibintangi oleh Syafiq Kyle dan Azira Shafinaz; beliau memegang watak ibu tiri Rina. Ia kemudian diikuti oleh watak lakonan sebagai Hanissa dalam drama Urusan Hati Cik Drama Queen lakonan Scha Al-Yahya. Pada tahun 2017 juga, Isya muncul dalam telefilem Cinta Bae Kicap. Kerjaya filemnya bermula dengan memegang watak Cikgu Nur dalam filem Warkah (2019).[9]