Mekanisme Jam_bandul

Jam marin Pierre de Rivaz sekitar tahun 1750.

Semua jam bandul mekanik mempunyai kelima-lima alat ini[3]:

  • Punca kuasa; sama ada beban pada tali atau rantai yang memutarkan takal atau sproket, ataupun pegas utama
  • Pawai gear (pawai cakera) yang meningkatkan kelajuan kuasa supaya boleh digunakan oleh bandul
  • Bolosan yang memberikan nadi termasa jitu kepada bandul untuk menjaga perayunannya, serta melepaskan cakera-cakera pawai gear untuk bergerak ke hadapan pada kadar yang tetap dalam setiap ayunan. Inilah punca bunyi jam berdetik-detik.
  • Bandul, iaitu beban pada batang
  • Penanda atau permukaan yang merakamkan berapa kerap bolosan telah berpusing, iaitu berapa banyak masa yang berlalu, biasanya dalam bentuk muka jam dengan jarum-jarum yang berpusing-pusing.

Fungsi-fungsi tambahan dalam jam selain penjagaan waktu yang asas dipanggil komplikasi. Jam-jam bandul yang lebih menarik boleh mengandungi komplikasi-komplikasi yang berikut:

  • Pawai denting – membunyikan dentingan pada setiap jam, yang mana bilangan dentingan bersamaan dengan bilangan jam.
  • Permukaan kalendar – menunjukkan hari, tarikh dan kadang-kadang bulan
  • Permukaan fasa bulan – menunjukkan fasa bulan, biasanya dengan lukisan bulan di atas cakera yang berputar.
  • Permukaan permasaan masa – komplikasi yang jarang ditemui ini digunakan pada zaman dahulu untuk melaraskan jam mengikut peredaran matahari di atas pada waktu tengahari. Ia memaparkan perbezaan antara waktu yang ditunjukkan oleh jam dan waktu yang ditunjukkan oleh kedudukan matahari yang berbeza sebanyak ±16 minit sepanjang tahun.
  • Lekapan pengulang – mengulangkan dentingan jam apabila dicetuskan dengan tangan. Komplikasi yang jarang ini digunakan sebelum terciptanya pencahayaan buatan untuk 'menengok' jam pada waktu malam.

Dalam jam pendulum elektromekanik seperti yang digunakan dalam jam induk mekanik, punca kuasa diganti dengan solenoid janaan elektrik yang menyalurkan nadi kepada bandul melalui daya magnet, sementara bolosannya diganti dengan suis atau fotopengesan yang mengesan apabila bandul berada di kedudukan yang betul untuk menerima nadi. Ini jangan dikelirukan dengan jam bandul kuarza terkini yang mana bandul diayunkan oleh modul jam kuarza elektronik. Jam kuarza ini bukan jam bandul yang sejati kerana penjagaan waktu dikawal oleh kuarza dalam modul, dan bandul yang mengayun itu sekadar simulasi hiasan.