Kegunaan Kasein

Cat

Cat kasein yang digunakan oleh pelukis bersifat cepat kering serta larut dalam air. Cat jenis ini telah lama digunakan sejak zaman Mesir kuno sebagai sejenis cat tempera, dan ia telah digunakan sebagai bahan pilihan pelukis komersil sehingga lewat 1960-an dengan munculnya cat akrilik yang lebih popular.[9][10] Ia masih banyak digunakan oleh pelukis pemandangan, meskipun cat akrilik juga semakin banyak digunakan dalam bidang itu juga.[11]

Gam

Gam berasaskan kasein yang dirumuskan dari kasein, air, kapur dan sodium hidroksida kerap digunakan dalam pertukangan kayu, termasuk juga dalam pembinaan pesawat suatu ketika dahulu.[12][13] Gam ini turut digunakan dalam pembuatan transformer (khusus papan transformer) kerana kebolehtelapannya terhadap minyak.[14] Walaupun peranannya sebagai bahan pelekat utama telah banyak digantikan dengan resin sintetik, gam kasein masih digunakan dalam bidang tertentu seperti pelaminaan pintu kalis api dan pelabelan botol.[15][16][17]

Pembuatan keju

Mesin mengacau susu mentah dalam kilang keju.

Keju terdiri daripada protein dan lemak susu, biasanya susu lembu, kerbau, kambing, atau biri-biri. Ia dihasilkan oleh penggumpalan kasein. Biasanya, susu diasidkan kemudiannya digumpal dengan penambahan rennet yang mengandungi enzim proteolitik dikenali sebagai rennin yang secara tradisinya diperoleh dari perut anak lembu tetapi kini sering dihasilkan daripada mikroorganisme yang diubah secara genetik. Pepejal yang terkumpul kemudiannya diasingkan dan ditekan menjadi bentuk produk akhirnya.[18]

Plastik dan gentian

Beberapa jenis plastik awal dihasilkan daripada kasein. Khususnya, galalith digunakan untuk membuat butang. Gentian boleh dibuat daripada kasein yang ditekan keluar. Lanital, sejenis kain yang dibuat daripada gentian kasein (dikenali sebagai Aralac di Amerika Syarikat), begitu popular di Itali pada tahun 1930-an. Inovasi terbaru seperti QMilch menawarkan pilihan gentian moden yang lebih halus untuk pembuatan kain.