Pengenalan Kepoyangan

Secara amnya, agama-agama di dunia ini terbahagi kepada dua;[2] iaitu agama langit dan agama budaya. Agama langit atau samawi ialah agama yang diturunkan daripada Tuhan kepada manusia menerusi pesuruh-Nya dalam bentuk wahyu (wangsit). Tiga tonggak utama agama langit ialah Tuhan Yang Maha Esa, pesuruh atau rasul, dan kitab suci. Contoh agama langit ialah Islam, Nasrani dan Yahudi. Manakala, agama budaya ialah agama yang tumbuh daripada pengalaman dan pemerhatian manusia tanpa wahyu, atau agama langit yang telah disimpangkan atau diseleweng sehingga mengubah ajaran wahyu. Agama budaya ini dapat lagi dipecah menjadi empat macam:

  1. agama pendulu; yakni agama primitif
  2. agama penengah; yakni agama madya
  3. agama perenung; yakni agama falsafah
  4. agama pembaur; yakni agama sinkretisme

Agama primitif ialah bentuk agama paling asas. Ia mempunyai unsur-unsur animisme, dinamisme, dan totemisme. Agama madya pula ialah agama budaya yang lebih tersusun; mempunyai dewaloka atau panteon, kitab panutan, para petinggi agama dan rumah ibadat yang tertentu. Agama madya boleh tumbuh daripada agama pendulu yang semakin tersusun atau agama samawi yang telah jauh menyimpang.[2] Agama falsafah pula merupakan ajaran yang bersandarkan kepada falsafah atau teras kefahaman yang menjadi asas kepercayaan. Contoh agama falsafah ialah Konfusius, Taoisme dan Legalisme. Agama pembaur ialah aliran ajaran yang menggabungkan bahagian ajaran-ajaran agama yang ada ke dalam satu ajaran baharu. Contohnya agama Bahai, Sikhisme dan Ahmadiyyah.[2]

Menurut pembahagian ini, jelaslah bahawa Kepoyangan termasuk dalam agama budaya dalam peringkat primitif atau pendulu, memandangkan agama ini tidak mempunyai kitab panutan tertentu, tidak mempunyai tokoh pengasas yang jelas, dan aturan-aturan pelakuan sembahan yang lebih anjal dan mudah berubah-ubah.