Kontena
Kontena

Kontena

Kontena atau peti pengangkutan ialah unit simpanan boleh guna semula yang digunakan untuk mengangkut barangan dan bahan mentah antara kawasan atau negara. Kontena yang dibuat mengikut spesifikasi ISO dirujuk sebagai "kontena ISO" manakala "kontena kiub tinggi" merujuk kepada kontena yang lebih tinggi dari saiz normal. Terdapat lebih kurang 17 juta kontena di dunia dan sebahagian besar perdagangan antarabangsa adalah melalui pengangkutan jarak jauh yang menggunakan kontena. Sistem pengkontenaan dibangunkan dari reka bentuk satu kiub 8 kaki (2.44 m×2.44 m×2.44 m) yang digunakan oleh tentera Amerika Syarikat yang kemudiannya dipiawaikan kepada panjang 10 kaki (3.05 m), 20 kaki (6.10 m), dan 40 kaki (12.19 m). Terdapat juga reka bentuk yang lebih panjang, tinggi dan lebar yang banyak digunakan di seluruh dunia. Pelbagai variasi kontena wujud untuk jenis kargo yang berbeza. Kaedah pengangkutan yang tidak menggunakan kontena termasuklah kargo pukal, kargo pukal cerai, dan tangki yang digunakan untuk cecair. Untuk penghantaran udara, ULD (Unit Load Device) yang lebih ringan yang ditetapkan oleh IATA akan digunakan.