Kruiser_Jerman_Emden
Kruiser_Jerman_Emden

Kruiser_Jerman_Emden

Untuk kapal dengan nama yang sama, lihat Kapal Jerman Emden.Emden adalah kapal kruiser ringan yang dibina untuk Tentera Laut Jerman (Reichsmarine) pada awal tahun 1920an. Ia adalah kelas kapal tunggal dan merupakan kapal perang besar pertama yang dibina di Jerman selepas tamatnya Perang Dunia I. Ia telah dibina dekat Reichsmarinewerft di Wilhelmshaven; upacara peletakan lunas kapal bermula pada Disember 1921 dan badan kapal yang sudah siap dilancarkan pada Januari 1925. Emden telah ditauliahkan ke dalam armada pada Oktober 1925. Reka bentuknya sangat mematuhi syarat-syarat Perjanjian Versailles dan arahan suruhanjaya perlucutan senjata Bersekutu. Berat sesaran di hadkan pada 6,000 long ton (6,100 t), namun seperti semua kapal perang Jerman yang dibina pada waktu itu, Emden melampaui saiz batasan. Ia dilengkapi dengan pasukan artileri utama iaitu lebihan meriam 15 cm (5.9 in) yang tersisa dari Perang Dunia I, dipasang dalam satu turet meriam, seperti yang diperintahkan oleh kuasa Bersekutu. Ia mempunyai kelajuan tertinggi 29 knot (54 km/j; 33 mph).Emden menghabiskan sebahagian besar kerjayanya sebagai kapal latihan; dalam tempoh antara perang, ia membuat beberapa pelayaran dunia untuk melatih kadet-kadetnya, kerap mengunjungi wilayah Asia Timur, Benua Amerika, dan Lautan Hindi. Pada tahun 1937 dan 1938, ia secara singkat mengambil bahagian dalam rondaan bukan-intervensi semasa Perang Saudara Sepanyol. Pada permulaan Perang Dunia Kedua, ia memasang periuk api laut diluar pantai Jerman dan telah dirosakkan oleh sebuah pesawat pengebom British yang terhempas ke atasnya. Ia terlibat dalam pencerobohan Norway pada April 1940 sebagai sebahagian dari pasukan yang menawan ibu negara Norway di Oslo. Kapal itu kemudian meneruskan kerja-kerja latihan di Laut Baltik sehingga September 1941, apabila ia ditugaskan ke Armada Baltik dan diberi tugas menyokong operasi Jerman semasa pencerobohan Soviet Union. Kerja-kerja latihan disambung pada tahun 1942 dan berakhir sehingga hujung tahun 1944, apabila ia mengambil bahagian dalam operasi menanam periuk api laut di Skagerrak. Rosak akibat kemalangan di pantai, ia menuju ke Königsberg untuk dibaik pulih. Pada Januari 1945, ia terlibat dalam evakuasi Prusia Timur untuk melarikan diri dari kemaraan Tentera Soviet. Sewaktu menjalani pembaikan di Kiel, Emden telah berulang kali dirosakkan oleh pesawat pengebom British dan kemudian didamparkan di luar pelabuhan untuk mengelakkannya daripada tenggelam. Pada hari-hari terakhir peperangan, ia telah diletupkan untuk mengelak dari ditawan. Bangkai kapal itu akhirnya dilupuskan pada tahun 1950.