Untuk kapal dengan nama yang sama, lihat Kapal Jerman Emden.Emden adalah kapal
kruiser ringan yang dibina untuk Tentera Laut Jerman (
Reichsmarine) pada awal tahun 1920an. Ia adalah kelas kapal tunggal dan merupakan kapal perang besar pertama yang dibina di Jerman selepas tamatnya
Perang Dunia I. Ia telah dibina dekat
Reichsmarinewerft di
Wilhelmshaven; upacara
peletakan lunas kapal bermula pada Disember 1921 dan
badan kapal yang sudah siap dilancarkan pada Januari 1925. Emden telah
ditauliahkan ke dalam armada pada Oktober 1925. Reka bentuknya sangat mematuhi syarat-syarat
Perjanjian Versailles dan arahan suruhanjaya perlucutan senjata Bersekutu.
Berat sesaran di hadkan pada 6,000 long ton (6,100 t), namun seperti semua kapal perang Jerman yang dibina pada waktu itu, Emden melampaui saiz batasan. Ia dilengkapi dengan
pasukan artileri utama iaitu lebihan meriam 15 cm (5.9 in) yang tersisa dari Perang Dunia I, dipasang dalam satu
turet meriam, seperti yang diperintahkan oleh kuasa Bersekutu. Ia mempunyai kelajuan tertinggi 29
knot (54 km/j; 33 mph).Emden menghabiskan sebahagian besar kerjayanya sebagai
kapal latihan; dalam tempoh antara perang, ia membuat beberapa pelayaran dunia untuk melatih kadet-kadetnya, kerap mengunjungi wilayah
Asia Timur,
Benua Amerika, dan
Lautan Hindi. Pada tahun 1937 dan 1938, ia secara singkat mengambil bahagian dalam
rondaan bukan-intervensi semasa
Perang Saudara Sepanyol. Pada permulaan Perang Dunia Kedua, ia memasang
periuk api laut diluar pantai Jerman dan telah dirosakkan oleh sebuah
pesawat pengebom British yang terhempas ke atasnya. Ia terlibat dalam
pencerobohan Norway pada April 1940 sebagai sebahagian dari pasukan yang menawan ibu negara Norway di
Oslo. Kapal itu kemudian meneruskan kerja-kerja latihan di Laut Baltik sehingga September 1941, apabila ia ditugaskan ke Armada Baltik dan diberi tugas menyokong operasi Jerman semasa
pencerobohan Soviet Union. Kerja-kerja latihan disambung pada tahun 1942 dan berakhir sehingga hujung tahun 1944, apabila ia mengambil bahagian dalam operasi menanam periuk api laut di
Skagerrak. Rosak akibat kemalangan di pantai, ia menuju ke
Königsberg untuk dibaik pulih. Pada Januari 1945, ia terlibat dalam evakuasi
Prusia Timur untuk melarikan diri dari kemaraan Tentera Soviet. Sewaktu menjalani pembaikan di
Kiel, Emden telah berulang kali dirosakkan oleh pesawat pengebom British dan kemudian didamparkan di luar pelabuhan untuk mengelakkannya daripada tenggelam. Pada hari-hari terakhir peperangan, ia telah diletupkan untuk mengelak dari ditawan. Bangkai kapal itu akhirnya
dilupuskan pada tahun 1950.