Sinopsis Kurosaki_Ichigo

Kisah awal

Pada permulaan siri, Ichigo melihat dan berhadapan dengan Kuchiki Rukia, seorang shinigami yang memasuki biliknya semasa memburu hollow. Demi melindungi Ichigo daripada serangan hollow, Rukia cedera parah dan terpaksa memindahkan kuasa shinigaminya kepada Ichigo yang terdesak untuk menyelamatkan keluarganya. Semasa pemindahan ini, Ichigo telah menyerap kesemua kuasa Rukia (Rukia hanya ingin menyalurkan separuh daripada kuasanya kepada Ichigo). Dengan memiliki kedua-dua kuasa shinigami dan semangat dalaman yang tinggi, Ichigo berjaya menewaskan hollow tersebut dengan mudah.

Keesokan harinya, Ichigo mendapati Rukia di dalam bilik darjahnya sebagai rakan sekelas. Hairannya, Rukia kelihatan seperti manusia biasa memandangkan pelajar lain boleh melihatnya. Rukia memaklumkan bahawa dia sedang menggunakan gigai - sejenis tubuh tiruan yang digunakan oleh shinigami apabila mereka terpaksa tinggal di dunia manusia selama beberapa waktu. Sebelum kuasa semangat Rukia pulih, dia memaksa Ichigo untuk mengambil alih tugasnya sebagai shinigami dan menentang hollow serta menjalankan upacara pengebumian roh bagi pihaknya. Pada masa ini, Ichigo hanya boleh bertukar kepada bentuk shinigami apabila Rukia menggunakan sejenis sarung tangan khas untuk "menumbuk" bahagian roh shinigami Ichigo. Beberapa lama kemudian, proses ini boleh dilakukan dengan menelan pil roh modifikasi, Kon.

Tugas baharu Ichigo sedikit-sebanyak melibatkan kedua-dua dunia manusia dan dunia makhluk halus. Apabila hollow Grand Fisher yang berjaya melarikan diri daripada shinigami selama 50 tahun lebih pulang semula ke alam nyata untuk makan roh adik-adik Ichigo, dia menyedari bahawa ibunya dibunuh oleh Grand Fisher dan mahu membalas dendam. Rukia cuba menghalang Ichigo daripada berlawan dengan hollow tersebut kerana tahapnya lebih tinggi. Tetapi, Ichigo mengarahkan Rukia untuk membawa Yuzu, Karin dan Kon pulang ke rumah. Rukia diingatkan kembali oleh peristiwa pertarungan terakhir Shiba Kaien sebagai pertarungan untuk mempertahankan maruah. Ichigo berjaya mencederakan Grand Fisher tetapi hollow tersebut dapat melarikan diri. Dia cuba mengikuti hollow tersebut tetapi kemudiannya tidak menyedarkan diri akibat keletihan.

Dalam satu pertarungan dengan seorang Quincy, Ishida Uryū, sekumpulan besar hollow, termasuklah satu Menos Grande muncul di dunia manusia dan dikalahkan oleh Ichigo dan Ishida. Chad dan Orihime juga berjaya membangunkan kuasa masing-masing lalu mengalahkan hollow yang berada di hadapan mereka. Kejayaan Ichigo mengalahkan Menos menarik perhatian Soul Society dan mencetuskan permulaan episod yang baru.

Babak Soul Society

Setelah menarik perhatian pihak Soul Society, Ichigo kehilangan kuasa shinigaminya yang diperoleh daripada Rukia dalam pertarungan dengan Abarai Renji dan abang Rukia, Kuchiki Byakuya yang merupakan shinigami berpangkat tinggi dan ke dunia nyata untuk memberkas Rukia. Semasa pertarungan berlangsung, kedua-dua sumber kuasa semangat Ichigo dimusnahkan menyebabkan Ichigo menjadi roh manusia yang biasa. Sementara itu, didedahkan bahawa perbuatan memindahkan kuasa shinigami kepada manusia biasa merupakan satu feloni. Demi menyelamatkan Rukia, Ichigo berlatih di bawah tunjuk ajar Kisuke Urahara dan hampir-hampir kehilangan rohnya sendiri tetapi akhirnya berjaya membangunkan kuasa shinigami dirinya. Ichigo kemudiannya bertolak ke Soul Society bersama-sama dengan Orihime, Chad, Yoruichi dan Ishida.

Ichigo bertarung dengan beberapa shinigami di Soul Society dan berjaya seri atau mengalahkan shinigami bertaraf kaptan dan leftenan. Ichigo telah cedera parah beberapa kali dan pernah tinggal nyawa-nyawa ikan, tetapi keazaman utuhnya membolehkan Ichigo bertahan sehingga lukanya pulih. Sebuah topeng hollow (tinggalan daripada latihannya dengan Urahara) juga sering muncul pada tubuh Ichigo untuk melindungi bahagian badannya daripada serangan musuh yang biasanya boleh mendatangkan maut. Pertarungan pertamanya adalah dengan Jidanbō, seorang pengawal pintu Seireitei. Ichigo menumpaskannya dengan mudah tetapi Ichigo sendiri dikalahkan oleh kaptan Ichimaru Gin tanpa banyak masalah. Ichigo memasuki Seireitei bersama-sama dengan Shiba Ganju selepas ditembak oleh meriam Shiba Kūkaku. Dia kemudiannya bertarung dengan Madarame Ikkaku. Ichigo menewaskan Ikkaku yang telah membebaskan zanpakutōnya pada peringkat awal dan menyedari bahawa dia kini diburu oleh Zaraki Kenpachi.

Ichigo terpaksa berhadapan pula dengan Abarai Renji yang ingin membalas dendam atas kekalahannya di dunia nyata. Renji mencederakan Ichigo yang kemudiannya menjadi lebih kuat semasa bertarung sehingga berupaya menewaskan Renji. Renji meminta Ichigo menyelamatkan Rukia dan tidak lagi berhajat untuk berlawan dengan dengan Ichigo. Selepas pertarungan tersebut berakhir, Ichigo dibawa ke saluran paip bawah tanah Seireitei untuk dipulihkan oleh Yamada Hanatarō. Sebaik sahaja lukanya sembuh, Ichigo bersemuka pula dengan Zaraki Kenpachi dalam perjalanan ke Tokong Kesedaran, tempat Rukia dikurung. Ichigo tidak mampu mencederakan Kenpachi yang dikatakan tidak boleh mati oleh Hanatarō. Ichigo akhirnya berjaya menyeru kuasa zanpakutōnya untuk menumbangkan Kenpachi. Apabila masing-masing tidak mempu untuk bergerak lagi, Kenpachi dibawa pergi oleh Kusajishi Yachiru, leftenannya manakala Ichigo pula diselamatkan oleh Shihouin Yoruichi. Yoruichi memberitahu Ichigo bahawa dia belum berdaya untuk menyelamatkan Rukia dengan keadaannya sekarang dan ingin melatihnya agar berjaya membebaskan tahap terakhir zanpakutōnya. Ichigo menamatkan latihannya dalam masa tiga hari. Dia dan Yoruichi, bersama-sama dengan kaptan yang bersimpati atas nasib Rukia, Kyōraku Shunsui dan Ukitake Jūshirō pergi ke Sōkyoku untuk menghalang pembunuhan Rukia. Pada saat-saat terakhir, Ichigo menhentikan hukuman tersebut dan mengalahkan tiga orang leftenan - Ōmaeda Marechiyo, Kotetsu Isane dan Sasakibe Chōjirō - tanpa menggunakan senjata. Dia kemudiannya berhadapan dengan Kuchiki Byakuya.

Dalam pertarungan ini, Ichigo membebaskan tahap terakhir Zangetsu dan berjaya menangani serangan Byakuya. Tetapi, dia tidak membunuhnya apabila berpeluang untuk berbuat demikian. Byakuya juga membebaskan tahap terakhir zanpakutōnya. Walaupun Byakuya belum mampu melukakan Ichigo, ketahanan Ichigo kian berkurangan menyebabkannya berada dalam keadaan kritikal. Pada masa ini, hollow dalaman Ichigo menguasai diri Ichigo dan mula menyerang Byakuya sehingga kedua-dua shinigami hampir-hampir kehabisan tenaga. Selepas mengambil alih tubuh dan mindanya semula, Byakuya menggunakan serangan terhebat zanpakutōnya sementara Ichigo menumpukan segala kuasa semangatnya ke satu serangan besar. Tindakan ini meninggalkan Byakuya dan Ichigo dalam keadaan lemah dan tidak lagi berupaya untuk berlawan. Byakuya mengakui kekalahannya kerana zanpakutōnya dipatahkan oleh pedang Ichigo dan berkeputusan untuk tidak membunuh Rukia.

Rupa-rupanya, segala kejadian yang berlaku di Soul Society adalah satu rancangan besar dan dibelakangi oleh Aizen Sōsuke. Ichigo tidak mampu untuk menewaskan Aizen mahu pun menangguhkan masa bagi membolehkan kaptan lain berkumpul sebelum dia bertolak ke Hueco Mundo.

Sebelum meninggalkan Soul Society, Ichigo diberikan sekeping lencana oleh Ukitake yang berfungsi sebagai lesen bagi membenarkan Ichigo memburu hollow secara rasmi. Artifak ini juga berfungsi seperti sarung tangan Rukia dan memberi amaran kepadanya sekiranya terdapat hollow di sekitar.

Babak Bount

Dalam anime, selepas kepulangan Ichigo dari Soul Society, dia mendapati bahawa dia tidak dapat membebaskan tahap terakhir Zangetsu di luar Soul Society dan menjalani latihan dengan tiga roh modifikasi yang diinisiatifkan oleh Urahara. Chad, Orihime, Ishida dan Renji turut terlibat dalam rancangan Urahara.

Selepas latihan tamat, dia mempelajari tentang Bount dan berhadapan dengan Yoshino yang menggunakan sejenis doll yang boleh memanipulasi api. Ichigo kalah walaupun dengan bantuan Rukia dan dengan tidak sengaja telah diselamatkan oleh seorang lagi Bount, Udagawa Ryō.

Udagawa kemudiannya muncul semula dengan tujuan untuk memakan roh Ishida. Ichigo dan rakan-rakan bertarung dengannya tetapi Yoshino melarikan Ishida dari tempat kejadian. Semasa melawat Ishida di hospital, kumpulan tersebut bersua muka dengan Ban dan Hō, sepasang Bount kembar. Mereka berdua mampu menganimasikan doll yang memanipulasi air. Ichigo cuba menewaskan doll tersebut tetapi segala kecederaan yang dialami oleh doll itu akan pulih dengan serta-merta. Dia menyedari bahawa apabila saudara kembar tersebut dipisahkan, keupayaan mereka untuk mengawal doll menjadi amat lemah. Dengan bantuan Shiba Ganju, mereka berjaya meletupkan doll air dengan bunga api sekaligus membunuh saudara kembar Bount. Selepas itu, Ichigo dan rakan-rakannya menceroboh masuk ke dalam rumah agam Kariya Jin untuk mencari Ishida.

Apabila mereka berjaya berbuat demikian, Ichigo bertarung dengan Udagawa dan menyebabkan sebahagian besar daripada bangunan itu musnah. Kuasa semangat Ichigo mengejutkan Udagawa dan Ichinose Maki, seorang shinigami terbiar dari Bahagian 11 yang kini bersekongkol dengan Bount. Apabila Udagawa mengambil azimat Kariya, Ichinose muncul dan menyerang Udagawa. Dia kemudiannya berhadapan dengan Ichigo dan berjaya menewaskannya. Apabila Ichigo hampir-hampir kalah, Urahara Kisuke dan para pembantunya muncul untuk menyelamatkannya di samping merobohkan seluruh rumah agam Kariya.

Beberapa lama kemudian, Ichigo bertarung dengan Koga Gou dan dollnya, Dalk selepas bitto di sekitar hampir-hampir membunuh Asano Keigo. Ichigo tidak mampu menguasai pertarungan tersebut menyebabkan hollow dalamannya timbul semua. Ichigo dapat memendam hollow ini tetapi rebah kerana kecederaannya. Kira Izuru tiba di medan pertarungan untuk membantu dan menewaskan doll Koga. Koga berundur kerana tidak sampai hati untuk membunuh pemuda disebabkan oleh insiden lampaunya dengan seorang remaja Bount.

Ichigo, Chad, Orihime, Rukia, Renji dan tiga roh modifikasi sekali lagi menceroboh masuk ke lokasi persembunyian Bount yang dipertahankan oleh Ugaki. Empat orang shinigami leftenan yang telah memasuki gua ini dan telah bertarung dengan doll Ugaki, Gesell bekerjasama dengan kumpulan Ichigo. Akhirnya, hanya Renji dan Ichigo meneruskan perjalanan ke perut gua untuk mencari Ugaki. Renji berkeputusan untuk bertarung satu dengan satu dengan Gesell dan membebaskan tahap terakhir Zabimaru dalam pertempuran itu. Serangan Renji membangkitkan kemarahan Gesell menyebabkannya membunuh Ugaki (tetapi, hal ini mungkin disebabkan pengaruh Kariya ke atas doll). Gua tersebut bergegar dan runtuh. Ayasegawa Yumichika meyakinkan Ichigo untuk meninggalkan mereka dan terus bergerak ke pusat gua.

Ichigo menjumpai Bount lain dan mereka membuka satu portal yang menghubungkan dunia nyata dengan satu dunia lain. Ichigo bertarung dengan Kariya. Kariya menewaskan Ichigo dan mengugut untuk membunuh Ichigo dengan Zangetsu tetapi gagal. Ichigo membebaskan tahap terakhir Zangetsu dan meneruskan perlawanan dan mampu menyaingi Kariya. Ishida kemudiannya muncul dan membantu Bount bertolak ke Soul Society kerana percaya bahawa dia akan menjadi lebih kuat di sana dan mampu menewaskan kesemua Bount.

Di Soul Society, mereka menggunakan rumah Shiba Kūkaku sebagai ibu pejabat untuk mengkaji asal usul Bount. Mereka kemudiannya berpisah untuk menjejaki Bount. Apabila Bount Yoshi hampir-hampir membunuh Rukia, Byakuya tiba untuk menyelamatkannya. Ichigo meminta bantuan daripada Byakuya tetapi ditolak kerana Byakuya masih tidak menyenangi Ichigo.

Kemudian, Ichigo menjumpai Kariya dan Byakuya yang sedang bertarung sesama sendiri dan ingin menghulurkan bantuan tetapi Byakuya memberitahunya bahawa dia tidak memerlukan pertolongan daripada sesiapa. Walaupun terpaksa berhadapan dengan dua orang lawan, Kariya masih mampu menguasai pertarungan. Rantao, shinigami yang mencipta Bount, turut masuk campur dalam pertarungan ini dan membuka peluang untuk melarikan diri kepada Kariya dan Koga sementara Rantao berhadapan dengan Ichigo dan Ishida. Rantao membawa mereka berdua ke rumahnya di Rukongai. Dia juga menjelaskan bahawa kuasa semangatnya telah dikurung dan dia disingkirkan dari Seireitei kerana membawa Bount ke dunia. Dia kemudiannya menerangkan bahaya menggunakan aksesori pertempuran Ishida.

Selepas meninggalkan rumah Rantao, mereka berjumpa dengan Hitsugaya Tōshirō, Matsumoto Rangiku dan Renji yang sedang bertempur dengan Ichinose Maki. Pertarungan ini tidak lama kerana apabila Zaraki Kenpachi tiba dan mencabar Ichinose, mereka berdua memulakan pertarungan baharu dan meninggalkan yang lain untuk menjejaki Bount.

Di Institusi Teknologi, Ichigo dan Chad bersemuka dengan Kariya tetapi tidak berdaya untuk menghalangnya. Pertarungan mereka dengan tidak sengaja telah mendedahkan Jōkaishō, satu sumber tenaga yang besar, yang ditanam di bawah tanah. Objek inilah yang dicari-cari oleh Kariya selama ini. Kariya menyerap tenaga tersebut dan menggunakan keupayaan untuk memusnah yang dipunyai Jōkaishō sebagai ugutan untuk menghalang Ichigo daripada mengganggunya. Dia kemudiannya memberi sehari kepada Soul Society untuk berkabung atas kemusnahan warganya. Dengan kebenaran daripada Matsumoto, Ichigo menggunakan pejabat Bahagian 10 sebagai ibu pejabat aktivitinya.

Keesokan harinya, dia menyelamatkan Ichigo dan Rantao daripada Kariya dan bertarung pula dengan Kariya walaupun Kariya tampaknya lebih menguasai pertarungan. Dia memaklumkan Ichigo bahawa dia tidak mempunyai masa untuk dibazirkan dan menyeru dollnya yang kelihatan seperti azimat Bount yang dilakurkan pada tangannya dengan bilah angin atau elektrik. Ichigo, setelah berhempas-pulas berlawan dengan Kariya, memenangi pertarungan tersebut. Sebelum menjadi debu, Kariya memberitahu Ichigo bahawa dia kesal kerana tidak sempat melihat sama ada Ichigo akan mengikuti jejaknya (situasi apabila kawan-kawannya berasa gerun akan kuasanya dan memulaukannya) kerana kedua-dua Ichigo dan Kariya dibebani dengan kuasa yang terlampau kuat. Hal ini menyebabkan Ichigo berfikir jika segala tindakan Kariya sehingga kini bertujuan untuk menamatkan kehidupan abadinya.

Babak Arrancar

Setelah pulang dari Soul Society bersama-sama dengan rakan-rakannya (tanpa Rukia), kehidupan Ichigo kembali ke keadaan asal yang tenang seperti sedia kala. Tetapi, kedamaian ini diranap oleh kehadiran seorang pelajar baru, Hirako Shinji. Shinji memperkenalkan dirinya sebagai orang yang bertanggungjawab mengenal pasti dan melatih vizard. Dia mendekati Ichigo dan cuba meyakinkannya untuk menganggotai organisasinya. Ichigo berkeras tidak ingin menjadi ahli kepada mana-mana organisasi walaupun diberi amaran tentang hollow dalamannya yang lama-kelamaan akan menguasai dirinya dan memusnahkan segala-galanya. Sebentar kemudian, dua orang arrancar, Yammy dan Ulquiorra muncul di Bandar Karakura untuk menyaksikan sendiri kekuatan Ichigo. Ichigo bertarung dengan Yammy dengan membebaskan tahap terakhir Zangetsu. Tetapi, hollow Ichigo cuba menguasai mindanya menyebabkan pergerakannya terkunci dan memberi peluang kepada Yammy untuk mencederakan Ichigo dan Orihime. Ketibaan Yoruichi dan Urahara memaksa Ulquiorra berundur ke Hueco Mundo.

Oleh sebab kekalahannya kepada arrancar, Ichigo kehilangan semangat untuk menjadi seorang shinigami memandangkan dia tidak mampu untuk melindungi kawan-kawannya. Mood ini berlanjutan sehinggalah ketibaan kuasa ekspedisi Gotei 13: enam shinigami dihantar ke dunia manusia di bawah pimpinan Hitsugaya Tōshirō. Rukia merupakan salah seorang daripada mereka. Dia memaksa Ichigo bertarung dengan satu hollow sambil menasihatinya. Hal ini menyebabkan Ichigo bersemangat semula dan bersumpah untuk melindungi rakannya. Orihime ialah orang pertama yang mendengar janji Ichigo. Kemudian, Ichigo membincangkan masalah arrancar yang semakin membimbangkan dengan pasukan Hitsugaya dan mempelajari identiti sebenar arrancar. Rukia diterima ke dalam keluarga Ichigo secara rasmi dan dibenarkan berkongsi bilik dengan adik-adik perempuan Ichigo.

Malam itu, enam orang arrancar di bawah arahan Grimmjow Jaggerjack muncul di Bandar Karakura untuk menghabiskan misi Ulquiorra yang menurut pendapat mereka belum lagi selesai. Mereka berpecah dan menjadikan sesiapa sahaja dengan kuasa semangat sebagai sasaran. Rumah Chad menjadi target D-Roy, yang berjaya ditumpaskan oleh Rukia dengan segera, dan kemudiannya Grimmjow yang menewaskan Rukia dengan satu serangan. Ichigo cuba menggunakan tahap terakhir Zangetsu tetapi Grimmjow mampu menangkisnya dengan tangannya. Terdesak, Ichigo menggunakan getsuga tenshō untuk melukakan Grimmjow. Apabila menggunakan serangan ini, hollow Ichigo mendominasi tubuh Ichigo. Hal ini menyedarkan Ichigo bahawa penggunaan getsuga tenshō dua atau tiga kali lagi akan menyebabkan hollow menguasai dirinya. Tōsen Kaname kemudiannya tiba di medan pertempuran dan membawa Grimmjow pulang ke Hueco Mundo. Ichigo, tidak puas hati akan keputusan perlawanan ini, dibiarkan berasa bimbang akan keselamatan Rukia yang tercedera.

Ichigo sedar bahawa dia belum mampu untuk menguasai hollow dalamannya dan menerima jemputan Shinji dan organisasi vizardnya untuk belajar menguasai hollow dalamannya. Semasa berlatih bertarung dengan Sarugaki Hiyori, dia hilang kawalan atas hollownya malah hampir-hampir membunuh Hiyori. Apabila kembali ke bentuk shinigami semula, Ichigo dimaklumkan bahawa dia tidak boleh mengawal hollownya dengan tubuh atau minda sahaja tetapi memaksanya ke pusat jiwanya. Selepas beberapa siri latihan, Ichigo diarahkan untuk berhadapan dengan hollownya di dunia sukma dalamannya. Di sana, Ichigo menentang hollow dalamannya. Tetapi, Ichigo tidak dapat mencederakan hollow itu, sebaliknya luka parah dan ditikam oleh lawannya. Akhirnya, Ichigo tewas dan pedangnya patah. Selepas perbualan ringkas dengan hollownya dan manifestasi dalaman Zaraki Kenpachi, Ichigo sedar bahawa masalahnya ialah kekurangan semangat berlawan yang tulen. Dengan semangat yang kembali menyala, Ichigo dapat menyerang semula; dia mencapai pedang hollownya dan menikam hollow itu dengannya. Sementara hollownya pudar buat seketika, Ichigo kembali ke alam nyata. Dia kemudiannya diberitahu bahawa apabila dia berhadapan dengan hollow dalamnnya, pada luaran Ichigo sebenarnya telah bertukar kepada hollow sebenar yang buas dan agresif. Vizard di sana bertarung dengan hollow Ichigo mengikut giliran untuk mengelakkannya bertindak dengan lebih ganas. Ichigo berlatih dengan Hiyori bagi memanjangkan masanya untuk kekal dalam bentuk hollow tanpa hilang kawalan terhadap hollow dalamannya.

Sebulan kemudian, arrancar sekali lagi tiba di Bandar Karakura dan Ichigo, dengan terburu-buru, meluru ke arah Grimmjow walaupun dia hanya boleh mengawal hollownya selama 11 saat. Walaupun dengan menggunakan kuasa hollownya dan keadaan Grimmjow yang kehilangan tangannya, Ichigo masih gagal untuk menewaskan Grimmjow. Topengnya merekah dan Ichigo dibelasah dengan teruk. Apabila dihimpit ke tanah, Ichigo diselamatkan oleh Rukia. Kemudian, Shinji muncul semula dan bertarung dengan Grimmjow sehinggalah arahan untuk kembali ke Hueco Mundo dikeluarkan kepada semua arrancar oleh Ulquiorra.

Semasa merawat kecederaan Ichigo, vizard Hachigen mendedahkan bahawa kuasa semangatnya telah dicemari sedikit oleh Grimmjow. Atas arahannya, Ichigo dibawa pulang ke Klinik Kurosaki oleh Rukia untuk berehat. Dalam keadaan tidak sedarkan diri, dia dilawat oleh Orihime yang telah diculik oleh arrancar dan diberi tempoh 12 jam oleh Ulquiorra untuk mengucapkan selamat tinggal kepada seseorang. Orihime cuba mencium Ichigo tetapi tidak dapat berbuat demikian. Orihime hanya meluahkan perasaan cintanya kepada Ichigo.

Kemudian, Ichigo sedar daripada satu mimpi ngeri dan mendapati pergelangan tangannya telah sembuh. Semasa dia cuba mengesan identiti orang yang telah merawatnya melalui kuasa semangat, dia dilawat oleh Hitsugaya yang menyuruhnya hadir dengan segera ke mesyuarat shinigami yang penting. Perjumpaan ini diadakan di rumah Orihime tempat Hitsugaya dan Matsumoto tinggal kini. Satu persidangan secara langsung dengan Soul Society berlangsung. Ukitake memberi salam dan memaklumkan mereka bahawa Orihime telah jatuh ke tangan arrancar dan mungkin telah dibunuh. Ichigo memberitahu mereka bahawa Orihime pernah datang ke biliknya malam semalam dan merawat lukanya. Namun demikian, Yamamoto percaya bahawa Orihime telah mengkhianati mereka, satu pendapat yang menyebabkan Ichigo naik berang. Renji cuba menenangkan Ichigo dan memohon kebenaran untuk pergi ke Hueco Mundo bagi menyelamatkan Orihime tetapi ditolak kerana Yamamoto berpendapat bahawa kematian seseorang tidak seberat kemusnahan dunia dan apabila dipertimbangkan, hidup mati Orihime adalah tidak mustahak. Ichigo ingin menyelamatkan Orihime sendirian tetapi dihalang oleh Yamamoto kerana Ichigo merupakan aset yang penting bagi Soul Society. Semua shinigami diarahkan pulang ke Soul Society untuk mengukuhkan pertahanan di sana. Ichigo dibiarkan keseorangan.

Tanpa mengendahkan arahan Yamamoto, Ichigo membuat persediaan dengan Urahara untuk menyelamatkan Orihime sendirian dari Hueco Mundo. Di sekolah, Tatsuki bersemuka dengan Ichigo dan bertanya tentang pengalaman peliknya selama ini (yang melibatkan kemunculan roh dan hantu) dan menjadi marah apabila Ichigo gagal menerangkan hal sebenar. Tatsuki juga mengatakan bahawa dia dapat mengesan tenaga semangat Orihime dan Ichigo serta mampu melihat Ichigo dan shinigami lain. Dia ditahan oleh Keigo dan Mizuiro apabila Ichigo melangkah pergi dan mengarahkan rakan-rakannya agar tidak melibatkan diri dalam situasi tersebut. Di kedai Urahara, Ichigo berganding bahu dengan Ishida yang berjaya memiliki semula kuasa Quincy dan Chad yang memiliki tangan kanan baru. Ketiga-tiga sahabat bersetuju untuk menyelamatkan Orihime dan Urahara membuka gerbang ke Hueco Mundo. Ichigo memimpin Chad dan Ishida ke sana tetapi tanpa disedari olehnya, Tatsuki, Keigo dan Mizuiro telah mengekorinya dan menyaksikan pemergiannya.

Babak Hueco Mundo

Setelah Ichigo, Chad dan Ishida memasuki Hueco Mundo, mereka dikesan dengan serta-merta oleh Aizen dan diserang oleh dua orang arrancar, Demōra dan Iceringer. Ichigo menyuruh Chad dan Ishida membiarkannya berhadapan dengan arrancar ini apabila mereka berdua mula menyerang pihak lawan. Selepas memenangi pertarungan tersebut, bilik dan jalan di sekitar mereka merekah dan memaksa mereka bergegas keluar. Mereka akhirnya sampai di destinasi dan melihat sebuah istana di tengah-tengah padang pasir.

Mereka juga melihat sesuatu makhluk yang kelihatan seakan-akan manusia dikejar oleh tiga hollow. Selepas Ichigo menyerang hollow tersebut, "manusia" yang diserang tadi sebenarnya ialah arrancar yang bernama Nell dan adik-beradiknya bersama-sama dengan hollow peliharaan mereka, Bawabawa. Kumpulan Ichigo menumpang di atas Bawabawa dan diserang lagi oleh hollow lain, Lunuganga yang diperbuat daripada pasir. Ichigo tidak berdaya untuk mencederakan hollow itu tetapi mereka berjaya diselamatkan oleh Renji dan Rukia apabila Rukia membekukan Lunuganga dengan bulatan ais.

Ichigo dan rakan-rakan menceroboh masuk ke Las Noches dan berpecah ke lima arah serta meninggalkan Nell dan adik-beradiknya belakang. Mereka kemudiannya bercadang untuk mengekori Ichigo tetapi sesat dalam proses tersebut. Hanya Nell yang berjaya menjejaki Ichigo tetapi tiba tepat pada masanya untuk melihat Dordonii, Espada yang telah gugur dengan nombor 103.

Apabila Ichigo dan Dordonii bertarung, perbezaan besar antara kedua-dua kuasa mereka menjadi nyata. Dordonii mencadangkan Ichigo membebaskan tahap terakhir Zangetsu supaya dapat menyainginya. Ichigo tidak mahu dan berkata bahawa dia akan menumpaskan semua Espada, tetapi jika terpaksa menggunakan tahap terakhir dalam setiap perlawanan, hal ini hanya menunjukkan kelemahannya. Dordonii membebaskan kuasa zanpakutōnya sekaligus meningkatkan kuasanya. Dalam bentuk sebenarnya, dia mampu memanipulasi angin. Ichigo diselamatkan oleh Nell yang berjaya menyerap dan memantulkan serangan yang ditujukan kepada Ichigo. Berang, Dordonii menyerang Nell yang kemudiannya diselamatkan oleh Ichigo dengan menggunakan tahap terakhir Zangetsu.

Dordonii tidak berpuas hati dengan hanya melihat tahap terakhir zanpakutōnya; dia kini ingin melihat Ichigo dalam bentuk hollow. Malah, dia cuba menyerang Nell untuk memaksa Ichigo bertukar ke bentuk hollow. Ichigo menempatkan Nell di tempat yang selamat dan bersetuju untuk membiarkan Dordonii menyaksikan hollow Ichigo tetapi hanya untuk sesaat. Dordonii berasa gembira tetapi hollow Ichigo mencederakannya dengan parah dengan satu pukulan. Nell mengubati Dordonii dan cuba menyerang Ichigo sekali lagi supaya Ichigo beredar dari tempat tersebut. Sebagai tanda terima kasih kerana bertarung dengannya, Dordonii menentang Exequia yang dikerahkan untuk menangkap Ichigo agar Ichigo berpeluang melarikan diri.

Seketika kemudian, Ichigo berjumpa dengan Ulquoirra yang membawa khabar "kematian" Rukia. Mendengar khabar ini, Ichigo memalingkan diri untuk berpatah balik demi menyelamatkan Rukia. Dia enggan bertarung dengan Ulquoirra kerana merasakan tiada perkelahian antara mereka. Namun, setelah Ulquoirra memberitahu bahawa dia yang membawa Orihime ke Hueco Mundo, Ichigo tiba-tiba naik berang lalu berpaling untuk memberi serangan sulung kepada Ulquoirra. Dia mula menyalahkan Ulquoirra kerana dialah yang menyebabkan Orihime dianggap sebagai pengkhianat.

Pertarungan tercetus dan Ichigo menggunakan kuasa Vaizard yang menyebabkan Ulquoirra seolah-olah gagal menyainginya. Keputusannya seolah-olah Ichigo menang tetapi tiba-tiba Ulquoirra muncul lalu menikam dada Ichigo dengan tangannya menyebabkan Ichigo tidak sedarkan diri. Babak ini juga mendedahkan kedudukan Ulquoirra sebagai Cuarto Espada atau Espada keempat.

Sedang Ichigo baring dalam keadaan tidak bernyawa, Grimmjow datang membawa Orihime untuk menghidupkan semula Ichigo. Ichigo yang sedar semula terkejut melihat Orihime bersama Nell disampingnya. Kemudian datang Ulquoirra lalu yang mempersoalkan tindakan Grimmjow. Berlaku satu perkelahian antara mereka berdua yang menyebabkan Ulquoirra dikurung di dimensi lain buat sementara tetapi turut mencederakan tangan Grimmjow.

Grimmjow mengarahkan Orihime untuk bertindak pantas memandangkan kekuatan Ulquoirra yang mampu membuka kembali kurungan itu dalam hanya beberapa jam. Orihime membantah kerana Grimmjow pasti akan mencederakan Ichigo lagi selepas dia menyembuhkannya. Namun sebaliknya Ichigo meminta Orihime untuk menyembuhkannya beserta tangan Grimmjow kerana dia inginkan pertarungan mereka adil dan saksama.

Pertarungan tercetus dan Ichigo menggunakan kuasa Vizard yang menyebabkan Orihime bagai ketakutan kerana teringatkan abangnya yang menjadi Hollow. Dalam suatu situasi yang menghimpit Ichigo, Nell telah meminta Orihime agar memberi galakan kepada Ichigo dan menjelaskan bahawa Ichigo datang ke Hueco Mundo demi dirinya dan menggunakan kuasa tersebut juga demi dirinya. Orihime yang menyedari kebenaran ini telah mula memberikan galakan kepada Ichigo dan mengatakan bahawa dia hanya inginkan Ichigo untuk terus hidup meskipun dirinya ditewaskan. Ichigo yang seolah-olahnya mendapat semangat baru akhirnya berjaya menewaskan Grimmjow.

Sewaktu mereka bersiap sedia untuk menuju ke lokasi rakan-rakan mereka, Grimmjow bangun dalam keadaan separuh sedar dalam percubaan untuk meneruskan pertarungan mereka. Ichigo menghalangnya sambil memberitahu bahawa dia telah tewas. Namun, Nnoitra Jiruga muncul sewaktu mereka berbicara dan menghentak kepada Grimmjow.

Ichigo yang telah kehilangan banyak tenaga setelah baru selesai menentang Grimmjow terbukti sebagai lawan yang tidak setanding dengan Nnoitra.