Sejarah Laluan_Persekutuan_Malaysia_1

Jalan Persekutuan 1 dipercayai sebagai jalan raya awam terawal yang dibina di Malaysia. Pembinaannya bermula pada tahun 1880 atas titah perintah Sultan Kedah pada masa itu, Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, bagi menghubungkan antara Alor Setar, Kedah dengan Songkhla, Thailand.[1] Kini, jalan raya tersebut juga membentuk sebahagian daripada jajaran Jalan Phetkasem (Laluan Kebangsaan Thailand 4), Laluan 407 dan 414 di Thailand.[3]

Jalan raya ini menjadi semakin penting, memandangkan ia menghubungkan sebahagian besar ibu negeri di sebelah pantai barat (kecuali Perlis dan Melaka), dan hasilnya, banyak pekan dan kampung yang dibuka dan berkembang di sepanjang laluannya. Fasa-fasa seterusnya dibina sebahagian besarnya oleh kerajaan penjajah British sebagai pendekatan untuk menyediakan satu rangkaian pengangkutan yang cekap untuk mengeksploitasi sumber ekonomi Tanah Melayu.[3] Bahagian kedua yang disiapkan ialah jajaran Perai-Ipoh, dibuka kepada lalu lintas pada tahun 1897. Pada tahun 1915, jajaran Kuala Lumpur-Ipoh dan Johor Bahru-Kulai pula siap.[2] In Pada tahun 1924, Tambak Johor siap dibina, menghubungkan antara Johor Bahru dengan Singapura.[8][9][10][11][12][13][14] Jajaran seterusnya yang disiapkan ialah jajaran Butterworth-Alor Setar dan Kulai-Yong Peng, kedua-duanya dibuka kepada lalu lintas pada tahun 1928. Keseluruhan jalan akhirnya berjaya dilengkapkan pada tahun 1939 setelah siapnya jajaran terakhir yang menghubungkan antara Yong Peng dengan Tampin pada tahun 1939. [2][3]

Jambatan Sungai Kelamah (atau Jambatan Gemencheh) semasa Perang Dunia Kedua (kiri) dan jambatan sekarang (kanan)

Semasa Perang Dunia Kedua, Jalan Persekutuan 1 mengalami kerosakan teruk susulan kempen penjajahan Jepun di Tanah Melayu. Semasa kempen tersebut, dianggarkan lebih 100 buah jambatan diletupkan oleh Kor Jurutera Diraja British untuk mengekang kemaraan tentera Jepun ke selatan. Antara jambatan terkenal yang diletupkan ialah Jambatan Sungai Kelamah (juga dikenali sebagai Jambatan Gemencheh), Jambatan Gemas dan Jambatan Buloh Kasap - ketiga-tiganya terletak di Jalan Persekutuan 1 - susulan Pertempuran Jambatan Gemencheh yang meragut nyawa lebih 1,000 orang anggota Tentera Empayar Jepun.[15] Setelah Perang Dunia Kedua tamat, jalan FT1 dipulihkan semula dan jambatan yang rosak telah dibina semula.[3]

Telah banyak pembaharuan yang diimplementasikan terhadap Jalan Persekutuan 1 sejak kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957 dan seterusnya pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Antara pembaharuan terawal semasa zaman pasca kemerdekaan Tanah Melayu ialah pembinaan Jambatan Merdeka di sempadan negeri Pulau Pinang-Kedah. Ia dibina bagi menggantikan jambatan lama yang musnah pada tahun 1942 semasa Perang Dunia Kedua. Jambatan tersebut mendapat namanya kerana dibuka kepada pengguna jalan raya pada tahun kemerdekaan Tanah Melayu.[6]

Pada tahun 1966, Lebuhraya Tanjung Malim – Slim River FT1 dibuka kepada lalu lintas, yang merupakan jalan raya tol terawal di Malaysia.[16] Lebuh raya dua lorong tersebut memintas jajaran lama antara Slim River dengan Tanjung Malim, yang seterusnya diturun taraf menjadi Jalan Negeri Perak A121 dan Jalan Persekutuan 193[17][5]

Penambahbaikan laluan FT1 turut dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, bagi menambah baik rangkaian jalan raya di kawasan bandar raya. Ketiadaan perancangan jalan raya yang teratur dipersalahkan sebagai penyebab kesesakan teruk di bandar raya. Pada masa itu, laluan FT1 dalam Kuala Lumpur terdiri daripada Jalan Cheras, Jalan Pudu, Jalan Tun Perak (sebelum ini dikenali sebagai Java Street dan kemudian Mountbatten Road), Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Ipoh (kedua-duanya dikenali sebagai Batu Road).[18] Di bawah syor oleh Laporan Reviu Lembah Klang 1979, jajaran FT1 di Kuala Lumpur dilalukan semuka ke satu sistem jalan raya baharu yang terdiri daripada Jalan Loke Yew, Jalan Maharajalela, Jalan Kinabalu dan Jalan Kuching bagi tujuan penyuraian trafik di samping bagi menyediakan kesinambungan laluan FT1 yang berterusan di Kuala Lumpur.[19] Salah satu daripada komponen sistem jalan raya baharu tersebut ialah jejambat Jalan Kinabalu, yang dibuka pada 15 Mac 1963.[20]

Pembangunan jajaran FT1 yang paling kontroversi di Kuala Lumpur ialah kutipan tol di Jalan Kuching FT1. Tempoh konsesi sembilan tahun bagi kutipan tol Jalan Kuching FT1 diberikan kepada Kamunting Corporation Berhad, ditandatangani pada 15 April 1985. Dalam perjanjian asal konsesi, Kamunting Corporation Berhad perlu membina sebuah persimpangan bertingkat di Bulatan Kepong serta menaiktaraf Jalan Kepong FT54, sebagai balasan kepada hak mengutip tol selama sembilan tahun bermula tahun 1987 sehingga tahun 1996. Namun, pada tahun 1987, perjanjian konsesi tersebut dipinda, dan Kamunting Corporation Berhad diminta untuk menambah dua lagi lorong di sepanjang Jalan Kuching FT1 daripada empat lorong sedia ada, mengakibatkan pelanjutan tempoh konsesi tol selama 7 tahun yang berakhir pada tahun 2003.[21] Kutipan tol di Jalan Kuching FT1 telah membangkitkan kemarahan di kalangan pengguna jalan raya di Kuala Lumpur, dan beberapa siri tunjuk perasaan diadakan bagi mendesak kerajaan menamatkan kutipan tol di situ.[22][21] Kutipan tol Jalan Kuching FT1 akhirnya dimansuhkan pada 8 Januari 2003.[23]

Pada tahun 1977, kerajaan bercadang untuk membina sebuah lebuh raya kembar utara-selatan baharu sebagai alternatif bagi Jalan Persekutuan 1, yang kini dikenali sebagai Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2.[24] Cadangan untuk membina lebuh raya tersebut dibangkitkan susulan kesesakan teruk di sepanjang Jalan Persekutuan 1.[25] Disebabkan projek tersebut bakal memakan belanja yang sangat besar, maka lebuh raya tersebut dirancang untuk diswastakan pembinaannya serta dikenakan tol, tetapi tiada satu pun syarikat pembinaan yang dijemput oleh kerajaan mahu melakukan kerja tersebut disebabkan ketidaktentuan ekonomi pada masa itu, menyebabkan rancangan tersebut tidak dapat dilaksanakan.[24][25] Hanya setelah Tun Dr. Mahathir bin Mohamad menjadi Perdana Menteri barulah projek Lebuhraya Utara-Selatan dihidupkan semula. Projek Lebuhraya Utara-Selatan dilancarkan pada tahun 1981,[24] yang mana jajaran Jitra-Bukit Kayu Hitam dibina sebagai naik taraf Jalan Persekutuan 1 sedia ada kepada jalan raya kembar dengan kawalan masuk separa dan persimpangan searas.[25] Pada masa itu, pembinaan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E2 masih berlangsung, maka lebuh raya tersebut membentuk laluan perintis bagi jajaran selatan. Tidak seperti jajaran lain di Lebuhraya Utara-Selatan, jajaran Jitra-Bukit Kayu Hitam tidak mematuhi piawaian lebuh raya ekspres capaian terkawal yang telah ditetapkan dalam Arahan Teknik 8/86: A Guide on Geometric Design of Roads yang diterbitkan oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) pada tahun 1986, menyebabkan jajaran tersebut diterapkan mengikut dasar klausa datuk sebagai sebahagian jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1.[25] Setelah Lebuhraya Utara-Selatan siap sepenuhnya pada tahun 1994, lebuh raya ekspres tersebut mengambil alih peranan Jalan Persekutuan 1 sebagai laluan tulang belakang utama di Semenanjung Malaysia.[26]

Selain daripada jajaran Jitra-Bukit Kayu Hitam yang telah dinaiktaraf sebagai sebahagian jajaran Lebuhraya Utara-Selatan E1, terdapat beberapa lagi jajaran jalan FT1 yang dinaiktaraf menjadi jalan raya tol dan lebuh raya capaian terkawal. Misalnya, Lebuhraya Skudai FT1 siap pada November 1985 sebagai lebuh raya kembar bertol sehingga 1 Mac 2004.[27] Sementara itu, Jalan Cheras-Kajang FT1 telah dinaiktaraf daripada jalan raya 2 lorong lama kepada lebuh raya capaian terkawal 8 lorong yang dikenali sebagai Lebuhraya Cheras-Kajang E7/FT1. Lebuh raya tersebut dibuka kepada lalu lintas pada 15 Januari 1999.[28]

Sebahagian besar jajaran jalan ini masih digunakan sehingga sekarang, sungguhpun pada September 2009, sebahagian jalan FT1 di utara Ipoh ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan landasan berkembar elektrik dari Ipoh ke Padang Besar.

Rujukan

WikiPedia: Laluan_Persekutuan_Malaysia_1 http://blogjalanraya.blogspot.com/2012/03/lebuhray... http://blogjalanraya.blogspot.com/2013/10/jalan-1m... http://blogjalanraya.blogspot.com/2014/08/istimewa... http://blogjalanraya.blogspot.com/2015/01/sejarah-... http://blogjalanraya.blogspot.com/2015/04/sejarah-... http://blogjalanraya.blogspot.com/2015/05/sejarah-... http://www.limkitsiang.com/archive/1999/feb99/sg15... http://www.malaysiakini.com/news/164312 http://blogjalanraya.blogspot.my/2014/11/kenali-ra... http://grandsaga.com.my/cheras-kajang-highway.html