Am Laluan_Sutera

Kain tenunan sutera dari Makam No. 1 di Mawangdui, Changsha, wilayah Hunan, China, abad ke-2 SM, Dinasti Han

Laluan Sutera bukan sahaja merupakan saluran perdagangan sutera, bahkan juga berbagai-bagai barangan lain. Laluan ini menjadi pemangkin kegiatan pertukaran kebudayaan dan teknologi yang menghubungkan para pedagang, saudagar, penziarah, mubaligh, tentera, puak nomad dan penduduk bandar di negara China, India, Parsi dan Mediterranean selama 3,000 tahun.[4]

Rangkaian sepanjang 4,000 batu ini membolehkan manusia mengangkut barang dagangan, khususnya barang-barang mewah seperti hamba abdi, sutera, satin dan pelbagai jenis kain halus yang lain, kesturi, wangian lain, rempah dan ubat-ubatan, permata, barang kaca dan rubarb, di samping dijadikan saluran utama untuk menyebarkan ilmu pengetahuan, fahaman, falsafah, budaya, dan juga penyakit[5] ke merata dunia (China, India, Asia Minor dan Mediterranean). Kegiatan perdagangan sepanjang Laluan Sutera ini merupakan faktor terpenting yang memacu pembangunan tamadun agung di China, India, Mesir, Parsi, Tanah Arab, dan Rom, serta ada kalanya mendirikan asas untuk pembangunan dunia moden. Walaupun nama "Laluan Sutera" membayangkan perjalanan tanpa henti, namun hanya sebilangan kecil orang yang pernah melaluinya dari hujung ke hujung. Lazimnya, barang-barangan diangkut oleh sekumpulan ejen di pelbagai laluan dan diperdagangkan di pasar saudagar yang kesibukan di bandar oasis.[5]

Kawasan laluan perdagangan di Asia Tengah diluaskan sekitar 114 SM oleh kerajaan Dinasti Han,[6] khususnya hasil misi dan penerokaan seorang duta bernama Zhang Qian,[7] di samping laluan perdagangan terawal yang sudah lama wujud di rentas benua. Pada penghujung Zaman Pertengahan, perdagangan antara benua melalui rangkaian Laluan Sutera merosot kerana kebangkitan perdagangan laut.[8]