Ligas Lenggok_jalan_kuda

Ligasan

Ligasan (Bahasa Inggeris: pacing) merupakan lenggok berdepak dua sisian, yang mana kuda berlari dengan mengangkat kedua-dua belah kaki kanan dan kemudian kedua-dua belah kaki kiri (atau sebaliknya)[9], berbeza dengan trot yang mengangkat kaki secara pepenjuru. Dalam lenggok ligas dan trot, sentiasa diangkatnya dua batang kaki. Trot lebih umum didapati, tetapi sesetengah kuda, khususnya dalam baka yang dibiakkan untuk lumba kuda abah-abah, lebih cenderung untuk meligas. Kuda yang meligas juga pada puratanya lebih pantas daripada yang bertrot, meskipun kuda diperlumbakan pada kedua-dua lenggok. Dalam kalangan kuda baka baku, bapa trotter menurunkan anak peligas lebih daripada baka peligas menurunkan anak trotter.[10]

Ligasan yang perlahan agak menyenangkan kerana penunggang hanya terhinggut perlahan-perlahan dari sisi ke sisi. Terdapat satu bentuk ;igasan yang sedikit tak sekata, antara ligasan biasa dan gontaian, adalah sobreandando oleh baka Paso Peru. Sebaliknya, ligasan perlahan kurang disenangi untuk kuda Iceland, yang mana ianya bergelar lull atau piggy-pace.

Lazimnya, ligasan yang pantas kurang menyenangkan kerana penunggang digoyahkan dari kiri ke kanan, seolah-olah menunggang unta, sejenis lagi haiwan yang boleh meligas secara semula jadi. Namun begitu, unta lebih tinggi daripada kuda, maka penunggang unta senang dihinggut-hinggutkan oleh kelajuan yang cukup pantas. Kuda meligas yang lebih kecil dan lebih pantas langkahnya berhayun dari kiri ke kanan hingga sukar diduduki oleh penunggang, maka sekalipun lenggok ini lebih pantas dan sesuai untuk lumba abah-abah, namun ianya kurang sesuai untuk berlumba laju pada jarak jauh. Bagaimanapun, bagi kuda Iceland yang mana ligasan dikenali sebagai skeið, "ligasan terbang" atau flugskeið, ligasan itu lancar dan amat ternilai, ditunggangi dalam pecutan singkat pada kelajuan tinggi.

Menurut kajian terhadap kuda Iceland, adalah mungkin bahawa lenggok ligas itu adalah warisan dan berkaitan dengan suatu mutasi genetik pada DMRT3 seperti mana lenggok gontaian sisian.[11]