Lúnyǔ
Lúnyǔ

Lúnyǔ

Lúnyǔ (Aksara Cina: 論語 ; bahasa Cina Lama: *[r]u[n] ŋ(r)aʔ; "Rampai Sari", "Kata Mutiara" atau "Analek" - nama bahasa Inggeris: Analects[1] atau Analects of Confucius) ialah suatu buku yang menghimpunkan kata dan buah fikiran yang dipetik hasil perbualan Kongzi, seorang pemikir bangsa Tionghua serta rakan sefahaman pada zamannya. Pembukuan kandungan buku ini dipercayai berlaku pada Zaman Negeri-Negeri Berperang (475–221 SM) sehingga dimutakhirkan pada pertengahan zaman dinasti Han (206 SM–220 TM).Semasa lewat Dinasti Song (960-1279), karya ini semakin dilihat sebagai suatu mahakarya falsafah, dan ia diiktiraf sebagai salah satu "Empat Kitab" yang penting dalam ajaran bawaan Kongzi dan para pelajarnya. Buku ini telah menjadi salah satu buku pemikiran yang paling banyak dibaca dan dipelajari di China selama 2,000 tahun yang lalu, dan terus mempunyai pengaruh yang besar terhadap pemikiran dan nilai-nilai Cina dan Asia Timur pada hari ini.