Bahasa_Cina_Lama
Bahasa_Cina_Lama

Bahasa_Cina_Lama

Bahasa Cina Lama (Bahasa Cina Kuno atau Bahasa Cina Purba, Cina Ringkas: 上古汉语; Cina Tradisional: 上古漢語; pinyin: shànggǔ hànyǔ) merupakan bahasa Cina yang ditutur sejak Dinasti Shang (Zaman Gangsa China, berakhir abad ke-11 SM), sehingga Dinasti Han Awal (206 SM hingga 9 M). Istilah ini, di samping Bahasa Cina Pertengahan dan Bahasa Cina Moden, sering dipakai dalam bidang kaji selidik fonologi Cina bersejarah, yang bertujuan membina semula sistem sebutan bahasa Cina lama.Oleh sebab bahasa Cina lama adalah bahasa yang ditutur oleh masyarakat Cina ketika karya-karya klasik seperti Lun Yu (Bunga Rampai Kongzi), Kitab Mengzi dan Tao Te Ching dikarang, serta mengambil peranan sebagai bahasa rasmi empayar Dinasti Qin dan Dinasti Han, maka bahasa Cina lama diabadikan selama dua ribu tahun seterusnya dalam bentuk Bahasa Cina Klasik, iaitu gaya penulisan bahasa Cina yang mencontohi nahu dan kosa kata Bahasa Cina Lama seperti yang dipaparkan dalam karya-karya tersebut. Ketika itu, Bahasa Cina Klasik merupakan bahasa yang lazim digunakan untuk urusan rasmi di China, Korea, Jepun, dan Vietnam. Walau bagaimanapun, besar bezanya yang dilihat antara penulisan Cina Klasik dari zaman purba dan penulisan Cina Klasik dari pada zaman-zaman selanjutnya, lebih-lebih lagi yang ditemui di luar China, yang pasti sukar difahami sesiapa dari zaman Confucius.