M31

Galaksi Andromeda (sebutan bahasa Inggeris: /ænˈdrɒmədə/, juga dikenali sebagai Messier 31, M31, atau NGC 224; sering dirujuk sebagai Nebula Andromeda Besar dalam teks lama) ialah galaksi pilin kira-kira 2.5 juta tahun cahaya jauhnya[1] dalam buruj Andromeda. Ia adalah galaksi pilin terdekat kepada galaksi kita, Bima Sakti. Ia boleh dilihat pada waktu malam sekiranya tiada bulan, dan merupakan objek terjauh boleh nampak kepada mata kasar, dan boleh dilihat dalam kawasan bandar menggunakan teropong.Andromeda ialah galaksi terbesar di dalam Kumpulan Tempatan, yang terdiri daripada Galaksi Andromeda, Bima Sakti, Triangulum, dan 30 galaksi kecil lain. Walaupun terbesar, ia mungkin bukan yang terberat, kerana bukti terbaru mencadangkan bahawa Bima Sakti mengandungi banyak jirim gelap dan mungkin yang terberat dalam kumpulan ini.[2] Bagaimanapun, cerapan baru oleh Teleskop Angkasa Spitzer mendedahkan bahawa M31 mengandungi satu trilion (1012) bintang, jauh melebihi jumlah bintang di dalam galaksi kita.[3] Anggaran 2006 meletakkan jisim Bima Sakti sebagai ~80% daripada jisim Andromeda, yang dianggarkan seberat 7.1×1011 jisim suria.[4]Dengan magnitud ketara 4.4, Galaksi Andromeda terkenal sebagai salah satu objek Messier yang paling cerah,[5] menjadikannya boleh nampak kepada mata kasar walaupun dilihat daripada kawasan dengan pencemaran cahaya sederhana. Ia kelihatan kecil tanpa teleskop kerana hanya bahagian tengah cukup terang untuk melihatnya, tetapi diameter sudut galaksi ini ialah tujuh kali daripada bulan penuh.