Politik Mexico

Untuk rencana lanjutan, lihat Politik di Mexico

Perlembagaan Mexico 1917 memperuntukkan sebuah kerajaan Persekutuan Republik dengan kuasa dibahagikan kepada tiga institusi yang bebas iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman. Dari segi sejarah, eksekutif yang dikuasai oleh parti PRI merupakan cabang yang dominan, dengan kuasa yang diberi kepada Presiden, manakala Kongres hanya mengikut telunjuk Presiden. Namun demikian, sejak parti pembangkang mengambilalih kuasa pada 1997, Kongres semakin bebas dalam menggubal undang-undang. Presiden juga mempunyai kuasa dibawah perintah eksekutif untuk menggubal undang-undang dalam bidang ekonomi dan kewangan yang tertentu. Presiden dipilih setiap enam tahun dan dia dilarang daripada memegang jawatan yang sama untuk penggal kedua. Di Mexico, tiada jawatan naib presiden. Sekiranya seseorang Presiden itu dilucutkan jawatan atau meninggal dunia, Kongres akan melantik seorang Presiden sementara.

Pada 21 Julai, 2000, Vicente Fox Quesada daripada parti pembangkang barisan Persekutuan untuk Perubahan atau "Alliance for Change", yang diketuai oleh Parti Tindakan Nasional (PAN), telah dipilih sebagai Presiden dalam satu pilihan raya yang dianggap terbersih dan paling bebas dalam sejarah Mexico. Fox memulakan penggal enam tahunnya pada 1 Disember, 2000. Kejayaannya telah mengakhiri dominasi Parti Institusi Revolusi (PRI) selama 71 tahun sebagai parti kerajaan. Pada September 2006, Felipe Calderón daripada parti PAN telah diisyhtiharkan sebagai Presiden Mexico yang baru selepas satu tribunal pilihan raya setelah menang tipis dengan saingannya yang terdekat López Obrador daripada Parti Revolusi Demokratik (PRD), lantas menyambungkan dominasi parti PAN di Mexico.