Budaya Minangkabau

Orang Minangkabau dengan pakaian tradisional

Masyarakat Minangkabau merupakan masyarakat matrilineal yang terbesar di dunia, di mana harta pusaka diwaris menerusi nasab sebelah ibu. Beberapa ahli fikir berpendapat bahawa adat inilah yang menyebabkan ramai kaum lelaki Minangkabau untuk merantau di serata Nusantara untuk mencari ilmu atau mencari kemewahan dengan berdagang. Kanak-kanak lelaki semuda 7 tahun selalunya akan meninggalkan rumah mereka untuk tinggal di surau di mana mereka diajarkan ilmu agama dan adat Minangkabau. Apabila remaja pula, mereka digalakkan untuk meninggalkan perkampungan mereka untuk menimba ilmu di sekolah atau menimba pengalaman daripada luar kampung dengan harapan yang mereka akan pulang sebagai seorang dewasa yang lebih matang dan bertanggungjawab kepada keluarga dan nagari (kampung halaman).

Tradisi ini berhasil mendirikan beberapa masyarakat rantauan Minangkabau di bandar dan tempat-tempat lain di Indonesia. Namun ikatan mereka dengan Ranah Minang (Tanah Minang) masih disimpan dan dikuatkan lagi. Satu contoh kawasan yang didiami oleh masyarakat Minangkabau dan masih mengamalkan adat dan budaya Minangkabau adalah Negeri Sembilan di Malaysia.

Selain daripada dikenali sebagai orang pedagang, masyarakat Minang juga berjaya melahirkan beberapa penyair, penulis, negarawan, budayawan, ahli fikir, dan para ulama. Ini mungkin terjadi kerana budaya mereka yang memberatkan penimbaan ilmu pengetahuan. Sebagai penganut agama Islam yang kuat, mereka cenderung kepada idea untuk menggabungkan ciri-ciri Islam dalam masyarakat yang moden. Selain itu, peranan yang dimainkan oleh para cendekiawan bersama dengan semangat bangga orang Minang dengan identiti mereka menjadikan Tanah Minangkabau, iaitu, Sumatra Barat, sebagai sebuah kuasa utama dalam pergerakan kemerdekaan di Indonesia.

Masyarakat Minang, terbahagi kepada beberapa buah suku, iaitu, Suku Koto, Piliang, Bodi, Caniago, Tanjuang, Sikumbang, Malayu, Jambak dan lain-lain. Kadang-kadang juga, keluarga yang sesuku tinggal dalam satu rumah besar yang dipanggil Rumah Gadang. Penggunaan bahasa Indonesia berleluasa di kalangan masyarakat Minang, tetapi mereka masih boleh bertutur dalam bahasa ibunda mereka, iaitu, bahasa Minangkabau. Bahasa Minangkabau mempunyai perkataan yang serupa dengan bahasa Melayu tetapi berbeza dari segi sebutan dan juga tatabahasa hingga menjadikannya unik.

Salah satu aspek terkenal mengenai orang Minang adalah makanan tradisional mereka seperti rendang, Soto Padang (makanan sup), Sate Padang dan Dendeng Balado (daging dendeng berlada). Restoran Minangkabau yang sering digelar "Restoran Padang" dapat dijumpai di merata Indonesia dan di negara-negara jiran yang lain.

Upacara dan perayaan

Pakaian pengantin Minangkabau

Upacara dan perayaan Minangkabau termasuk:

  • Turun mandi - upacara memberkati bayi
  • Sunat rasul - upacara bersunat
  • Baralek - upacara perkahwinan
  • Batagak pangulu - upacara pelantikan penghulu. Upacara ini berlangsung selama 7 hari di mana seluruh kaum kerabat dan ketua-ketua dari kampung yang lain akan dijemput
  • Turun ka sawah - upacara kerja gotong-royong
  • Manyabik - upacara menuai padi
  • Hari Rayo - perayaan Hari Raya Aidilfitri
  • Hari Rayo - perayaan Hari Raya Aidiladha
  • Maanta pabukoan - menghantar makanan kepada ibu mentua sewaktu bulan Ramadan
  • Tabuik - perayaan Islam di Pariaman
  • Tanah Ta Sirah, perlantikan seorang Datuk (ketua puak) apabila Datuk yang sebelumnya meninggal dunia silang beberapa jam yang lalu (tidak payah didahului dengan upacara batagak pangulu)
  • Mambangkik Batang Tarandam, perlantikan seorang Datuk apabila Datuk yang sebelumya telah meninggal 10 atau 50 tahun yang lalu (mengisi jawatan yang telah lama dikosongkan)

Seni

Seni tradisonal Minangkabau termasuk:

  • Randai, teater rakyat dengan memasuki pencak, musik, tarian dan drama
  • Saluang jo Dendang, serunai bambu dan nyanyian
  • Talempong, musik bunyi gong
  • Tari Piring
  • Tari Payung, menceritakan kehidupan muda-mudi Minang yang selalu riang gembira
  • Tari Indang
  • Pidato Adat juga dikenali sebagai Sambah Manyambah (sembah-menyembah), upacara berpidato, dilakukan di setiap upacara-upacara adat, seperti rangkaian acara pernikahan (baralek), upacara pengangkatan pangulu (penghulu), dan lain-lain
  • Pancak, permainan silat untuk acara adat, lebih mengutamakan keindahan dan seni.
  • Silek atau Silat yang merupakan seni beladiri tradisional yang memiliki 10 aliran utama.

Kraftangan

Kraftangan tradisional Minangkabau termasuk:

  • Kain Songket
  • Sulaman
  • Ukiran kayu
  • menukang emas dan perak

Rujukan

WikiPedia: Minangkabau http://www.melayuonline.com%7Ctitle=Sejarah http://www.antara-sumbar.com/id/index.php?sumbar=p... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/383458/M... http://www.rajaalihaji.com/id/article.php?a=YURIL3... http://www.saudiaramcoworld.com/issue/199104/on.cu... http://www.saudiaramcoworld.com/issue/199104/the.c... http://www.tempointeraktif.com/hg/caping/1979/06/0... http://www.tourismnegerisembilan.com/about/ http://palantaminang.wordpress.com/ http://urangminang.wordpress.com/