Modulasi_frekuensi
Modulasi_frekuensi

Modulasi_frekuensi

Dalam telekomunikasi, modulasi frekuensi atau pemodulatan frekuensi (Bahasa Inggeris: frequency modulation, disingkatkan kepada FM) menyampaikan maklumat melalui gelombang pembawa dengan mengubah frekuensi (berbanding dengan modulasi amplitud, yang mana amplitud pembawa boleh ubah sedangkan frekuensinya malar). Dalam aplikasi analog, frekuensi semerta pembawa secara langsung adalah berkadar pada nilai semerta isyarat input. Data digital boleh dihantar dengan mengalihkan frekuensi pembawa dalam satu lingkungan nilai-nilai diskret mengikut teknik yang dikenali sebagai penguncian anjakan frekuensi. FM sering digunakan dalam frekuensi radio VHF untuk penyiaran muzik dan percakapan berfideliti tinggi (lihat penyiaran FM). Bunyi TV normal (analog) juga disiarkan menggunakan FM. Satu bentuk jalur sempit digunakan untuk komunikasi suara dalam seting radio komersil dan amatur. Jenis FM yang digunakan untuk penyiaran secara amnya digelar "FM luas" (wide-FM), atau W-FM. Bagi radio dua hala, "FM sempit" (narrow-FM, N-FM) jalur sempit digunakan untuk menjimat lebar jalur. Tambahan pula, FM sempit digunakan untuk menghantar isyarat ke angkasa.FM juga digunakan pada frekuensi sederhana oleh kebanyakan sistem VCR analog, termasuk VHS, untuk merakam bahagian luminans (hitam dan putih) isyarat video. FM adalah satu-satunya kaedah munasabah bagi merakam atau menerima video dari pita magnet tanpa mengalami herotan yang keterlaluan, kerana isyarat video ada sejulat komponen frekuensi yang amat besar — dari beberapa hertz hingga beberapa megahertz, terlalu luas untuk ditangani penyama disebabkan hingar electronik kurang -60 dB. FM juga memastikan pita berada di takat ketepuan, dan oleh itu juga bertindak sebagai suatu bentuk pengurangan hingar audio, dan satu penghad yang ringkas boleh menutupi kelainan dalam output main balik, sementara kesan penangkapan FM menanggalkan cetak tembus dan pra-gema. Nada pandu yang berterusan, jika dibubuh pada isyarat — seperti yang dilakukan pada V2000 dan kebanyakan bentuk Hi-band — boleh memastikan ketaran mekanikal terkawal serta membantu pembetulan asas masa.FM juga digunakan pada frekuensi audio untuk mensintesis bunyi. Teknik yang dikenali sebagai sintesis FM ini dilariskan oleh alat sintesis terawal lalu menjadi ciri-ciri standard untuk kad bunyi komputer peribadi.