New_Straits_Times

New Straits Times (NST) ialah akhbar bahasa Inggeris yang tertua di Malaysia. Diasaskan pada tahun 1845 dengan nama The Straits Times dan format lebar sehelai, akhbar ini adalah akhbar bahasa Inggeris yang tunggal di Malaysia yang pernah mempunyai format tersebut. Bagaimanapun, mencontohi akhbar-akhbar British, The Times dan The Independent, satu percubaan versi tabloid telah diterbitkan pada bulan September 2004 dan sejak 18 April 2005, akhbar ini hanya diterbitkan dalam format tabloid. Dengan ini, New Straits Times menamatkan tradisi 160 tahunnya. New Straits Times kini dijual pada harga Ringgit Malaysia 1.50New Straits Times dicetak oleh New Straits Times Press yang juga mencetak akhbar tengah hari bahasa Inggeris, Malay Mail, serta berbagai-bagai akhbar bahasa Melayu, terutamanya Berita Harian. New Straits Times ialah sebahagian kumpulan syarikat Media Prima.Ketika diasaskan sebagai Straits Times di Singapura, akhbar ini merangkumi seluruh kawasan British Malaya, serta Singapura. Ini diteruskan apabila Singapura menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, tetapi selepas pemisahannya daripada persekutan pada tahun 1965, satu versi untuk Malaysia, iaitu New Straits Times, telah diasaskan, sedangkan The Straits Times meneruskan penerbitannya di Singapura. Disebabkan kepekaan politik yang menetapkan bahawa akhbar-akhbar dari sebuah negara tidak boleh dijual di dalam negara yang lain. Straits Times tidak dijual di Malaysia dan sebaliknya, New Straits Times tidak dijual di Singapura.New Straits Times mempunyai edaran sebanyak lebih kurang 200,000 naskhah sehari; kurang daripada edaran The Star, pesaing utamanya. Walaupun begitu, akhbar ini adalah akhbar pilihan bagi kaum-kaum ahli intelek dan pegawai awam yang bertutur dalam bahasa Inggeris disebabkan, berbeza dengan The Star, akhbar ini mempunyai lidah pengarang yang mengandungi rencana-rencana mengenai keadaan negara yang disumbang bukan sahaja oleh penyunting akhbar, tetapi juga oleh wartawan-wartawan dan ahli-ahli intelek yang bukan kakitangan akhbar itu. Oleh itu, New Straits Times telah dianggap sebagai akhbar perdana bahasa Inggeris di Malaysia.