Sejarah Nitrogen

Nitrogen (Latin nitrum, Bahasa Yunani Nitron bermaksud "soda asli", "gen", "pembentukan") secara rasminya dianggap dijumpai oleh Daniel Rutherford pada 1772, yang memanggilnya udara beracun atau udara tetap. Pengetahuan bahawa terdapat pecahan udara yang tidak membantu dalam pembakaran telah diketahui oleh ahli kimia semenjak akhir kurun ke-18 lagi. Nitrogen juga dikaji pada masa yang lebih kurang sama oleh Carl Wilhelm Scheele, Henry Cavendish, dan Joseph Priestley, yang menggelarnya sebagai udara terbakar atau udara telah flogistat. Gas nitrogen adalah cukup lengai sehingga dinamakan oleh Antoine Lavoisier sebagai azote, daripada perkataan Yunani αζωτος yang bermaksud "tak bernyawa". Istilah tersebut telah menjadi nama kepada nitrogen dalam perkataan Perancis dan kemudiannya merebak ke bahasa-bahasa lain.

Sebatian nitrogen diketahui semenjak Zaman Pertengahan Eropah. Ahli alkimia mengetahui asid nitrik sebagai aqua fortis. Campuran asid hidroklorik dan asid nitrik dinamakan akua regia, yang disanjung kerana kebolehannya untuk melarutkan emas. Kegunaan sebatian nitrogen dalam bidang pertanian dan perusahaan yang terawal ialah dalam bentuk kalium nitrat,terutamanya dalam penghasilan serbuk peledak (garam mesiu), dan kemudiannya, sebagai baja dan juga stok makanan ternakan kimia.