Produksi Pamfir

Rancangan untuk filem baru mula dilakarkan sekitar tahun 2016, di mana pengarah Dmytro Sukholytkyy-Sobchuk mengambil bahagian dalam pembikinan filem pendek semasa beliau hadir ke sesi bengkel bersama Torino Film Lab. Hasilnya, filem pendek Weightlifter diterbitkan beliau dan merupakan salah satu inspirasinya dalam menyiapkan projek filem Pamfir[4].

Pada bulan Mei 2018, penerbit Oleksandra Kostina mengambil bahagian dalam projek filem baru itu. Pada mulanya, kerja-kerja di belakang tabir dilakukan secara bersama, namun begitu ianya dipisahkan kepada dua fungsi; kreatif dan produksi. Pembikinan skrip disambung pada tahun 2019, bertempat di penempatan pengarah-pengarah luar negara di Festival Filem Cannes[5]. Seramai enam penulis skrip diberi peluang untuk tinggal dan bekerja di Perancis dan berpeluang menerima banyak rundingan. Projek filem ini kemudian dibangunkan bersama Torino Film Lab (skrip dan bunyi) dan Midpoint Intensive. Hasil akhir projek ini kemudian dibentangkan di pavilion Cinema du monde (CNC). Projek ini menerima banyak perhatian dan ianya menemukan kepada syarikat Les Films D'Ici dan penerbit bersama Laura Briand[4].

Pada tahun 2019, filem Pamfir diumumkan sebagai antara pemenang dalam pemilihan yang telah dijalankan oleh Agensi Perfileman Negara Ukraine[6] kali ke-11 dan menerima insentif dalam bentuk kewangan daripada kerajaan. Filem ini juga menerima sokongan kewangan daripada Institut Perfileman Poland[6]; biayaan Swiss Visions Sud Est; Dana Hubert Bals[7] yang merupakan dana yang berpusat di Eropah yang terkenal dalam memberikan sokongan kewangan kepada projek eksperimen. Projek filem ini juga dibangunkan dengan sokongan daripada Yayasan Kebudayaan Ukraine[8].

Penggambaran filem ini telah dilakukan bermula Oktober 2020, di dalam suasana sekatan kawalan pergerakan di kawasan Bukovyna. Para pelakon menetap di sana selama 3 bulan sebelum memulakan penggambaran bagi membolehkan mereka mendalami watak-watak yang telah diberi[9]. Antara tugasan yang telah mereka lakukan dengan baik seperti bertutur dalam dialek tempatan dengan lancar, di mana setiap hari mereka akan menulis mengenai kehidupan seharian yang telah mereka jalani di sana, serta sentiasa membawa bersama diari yang terkandung mengenai informasi watak mereka seperti ciri-ciri dan hubungan dengan watak yang lain[10].

Persediaan pelakon

Bagi mendapatkan keserasian di antara kesemua pelakon dan tidak berasa janggal dengan keadaan dan suasana yang berlainan, pengarah Dmytro Sukholytkyy-Sobchuk melakukan persediaan rapi sebelum memulakan penggambaran filem Pamfir ini. Para pelakon dan pengarah sendiri menetap di perkampungan sebenar yang akan digunakan sebagai lokasi set penggambaran selama tiga bulan[11]. Di sini, mereka melakukan latihan persediaan sebelum kerja-kerja penggambaran bermula, terutamanya menguasai pertuturan dalam loghat Bukovina, latar tempat filem ini berlaku[12].

Filem ini juga memerlukan pelakon utama Oleksandr Yatsentyuk meningkatkan jisim dan berat badannya daripada 86 kilogram kepada 103 kilogram[13]. Beliau mengalami beberapa siri kecederaan akibat daripada aksi pergaduhan yang tidak menggunakan kesan khas[13].

Selain daripada pelakon profesional, penglibatan populasi setempat juga digunakan dalam menjayakan babak berkaitan dengan suasana kawasan awam[14].


Berkaitan

Rujukan

WikiPedia: Pamfir https://gwaramedia.com/en/pamfir-by-ukrainian-film... https://lwlies.com/reviews/pamfir/ https://www.screendaily.com/reviews/pamfir-cannes-... https://www.lemonde.fr/en/culture/article/2022/11/... https://www.ewawomen.com/interviews/ewa-mentoring-... https://www.screendaily.com/news/pamfir-lola-added... https://en.kyiv24.news/news/the-ukrainian-film-pam... https://usfa.gov.ua/press-center/mayemo-shhe-odyn-... https://www.ukrinform.ua/rubric-culture/3214727-za... https://www.youtube.com/watch?v=0bcma0e_0YA