Dimensi Panamax

Seorang pegawai sedang memerhatikan ruang lega kapal persiaran Ryndam ketika ia melalui pintu air.

Pada asasnya, saiz Panamax ditentukan oleh dimensi ruang pintu air, yang berukuran 110 kaki (33.53 m) lebar, 1,050 kaki (320.04 m) panjang, dan 85 kaki (25.91 m) dalam. Kepanjangan boleh guna untuk setiap pintu air adalah 304.8 meter (1000 kaki). Kedalaman paras air yang disediakan untuk setiap pintu air adalah berbeza, dimana yang tercetek adalah di sil selatan pintu air Pedro Miguel dan 41.2 kaki (12.56 m) di paras 54 kaki 6 Inci (16.61 m) tasik Miraflores. Ketinggian Jambatan Amerika (Bridge of the Americas) di Balboa menentukan ketinggian maksimum sesebuah kapal untuk melalui Terusan Panama.

Dimensi maksimum yang dibenarkan untuk sesebuah kapal melalui terusan ini adalah:[1]

  • Panjang: 965 kaki (294.13 m)
  • Lebar: 106 kaki (32.31 m)
  • Drauf: 39.5 kaki (12.04 m) di air tawar tropika (kadar kemasinan dan suhu memberi kesan kepada ketumpatan air, dan juga kepada berapa dalam sesebuah kapal terapung di atas air)
  • Drauf udara: 190 ka (57.91 m) diukur dari paras badan kapal di atas air sehingga bahagian kapal paling tinggi.

Sebuah kapal kargo Panamax selalunya mempunyai sekitar 65,000 tan sesaran.[2]

Pengecualian

Kapal kontena kelas Panamax sedang melalui Terusan Panama. Beberapa buah kontena telah dipunggah dan diangkut melalui laluan keretapi Panama untuk mencapai drauf yang dibenarkan.

Kapal-kapal yang memiliki ketinggian sehingga 205 kaki (62.48 m) dapat melalui terusan dengan kebenaran awal, bergantung kepada paras air (pasang surut) di Jambatan Amerika.

Dari masa ke semasa, kapal-kapal yang memiliki lebar sehingga 107 kaki (32.61 m) dibenarkan melalui terusan itu dengan syarat drauf yang lebih ketat.

Kapal-kapal yang melebihi panjang dan lebar maksimum perlu menjalani pemeriksaan rapi sebelum dibenarkan lalu.

Ketika musim panas, apabila paras air Tasik Gatun adalah rendah, drauf maksimum yang dibenarkan akan dikurangkan.

Kapal terpanjang pernah melepasi terusan ini adalah San Juan Prospector, yang sekarang bertukar nama Marcona Prospector, sebuah kapal bijih-pukal-minyak yang berukuran 973 kaki (296.57 m) panjang dan 106 kaki (32.31 m) lebar.[3] Kapal terlebar pernah melepasi terusan ini adalah dua kapal perang kelas North Carolina, iaitu USS North Carolina (BB-55) dan USS Washington (BB-56), yang memiliki lebar sehingga 108 kaki 3.875 inci (33.017 m).[4]