Sejarah Pasukan_bola_sepak_kebangsaan_Poland

Barisan pemain Poland pada tahun 1924

Persekutuan Bola Sepak Poland (Polski Związek Piłki Nożnej) telah ditubuhkan pada 20 Disember 1919 di Warsaw. Poland bermain pada perlawanan antarabangsa pertama pada 18 Disember 1921 di Budapest di mana mereka kalah ketika menentang Hungary, 1-0. Kemenangan pertama mereka pada 28 Mei 1922 ketika mereka menang 2-1 ke atas Sweden di Stockholm. Poland layak buat pertama kali ke Piala Dunia pada 1937 selepas menewaskan Yugoslavia 4-0 dan 1-0 pada dua perlawanan kelayakna dan layak mendapat tempat di Piala Dunia 1938 di Perancis.

Ketika perlawanan debut Poland di Piala Dunia, Poland berhadapan dengan Brazil dan menjadi salah satu perlawanan termanis di sejarah Piala Dunia. Poland akhirnya tewas 5-6 pada aksi yang sengit itu. Perlawanan terakhir Poland sebelum berlakunya Perang Dunia Kedua ialah ketika menentang Hungary. Pasukan Poland menang 4-2.

Pada 11 Jun 1946, selepas tamatnya Perang Dunia, Poland bermain pada perlawanan antarabangsa pertama menentang Norway di Oslo. Perlawanan itu berkesudahan skuad Norway menang 3-1. Kejayaan terbesar buat Poland selepas tahun peperangan ialah ketika menang ke atas Czechoslovakia, 3-1.

Kekalahan terbesar dalam sejarah Poland berlaku pada 26 April 1948 ketika tewas 8-0 kepada Denmark. Poland kemudian memadam kekecewaan dengan menang besar 9-0 ke atas Norway pada 4 September 1963. Pada era itu, Włodzimierz Lubański bermain untuk Poland dari tahun 1963 sehinga 1980 dan sempat menjairngkan 48 gol daripada 75 penampilan. Kemenangan terbesar dilakar oleh Poland ketika menentang San Marino pada 1 April 2009, 10-0.

Tiga Piala Dunia berharga

Poland menjadi pasukan bukan pilihan di peringkat antarabangsa sebelum 1974 tetapi pasukan ini mengejutkan bola sepak dunia ketika Piala Dunia 1974 di Jerman. Walau bagaimanapun, pasukan ini tidak membuat banyak kejutan apabila memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Munich 1972. Pada kelayakan Piala Dunia 1974, Poland mengejutkan England yang merupakan juara dunia pada 1966.

Pada 3 Julai 1974, perlawanan Piala Dunia antara Poland dan Jerman Barat. Poland menginginkan kemenangan supaya mereka berjaya ke perlawanan akhir manakala perlawanan seri telah cukup buat Jerman kerana mereka mempunyai mata yang cukup. Namun, jaringan kemenangan Jerman oleh Gerd Müller pada minit ke-76 telah meranapkan impian Poland untuk mara.

Poland bermain dengan baik pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan berjaya menang 1-0 ke atas Brazil. Lato menjaringkan gol kemenangan perlawanan dan dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Piala Dunia.

Poland memulakan aksi perlawanan pembukaan Piala Dunia 1978 menentang pesaing Jerman Barat dengan berkesudahan seri 0-0. Grzegorz Lato meneruskan langkah baik selepas menjaringkan gol tunggal pada perlawanan seterusnya, 1-0 ke atas Tunisia. Pada perlawanan terakhir pusingan pertama ketika Poland bertemu Mexico, Zbigniew Boniek menjaringkan gol pembukaan tetapi Victor Rangel berjaya menyamakan kedudukan, 1-1. Kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Kazimierz Deyna meletakkan Poland di hadapan selepas empat minit. Boniek menambah lagi duka Mexico selepas melengkapkan kemenangan Poland, 3-1 pada minit ke-84.

Pada pusingan kedua, Poland bertemu tiga wakil pasukan Amerika Selatan. Pada edisi sebelum ini, Poland menang ketika bertemu Argentina dan Brazil namun mereka kalah pada kali ini. Argentina menewaskan Poland 2-0 hasil daripada jaringan Mario Kempes. Poland kemudian menewaskan Peru, 1-0 daripada jaringan Andrzej Szarmach. Perlawanan terakhir Piala Dunia buat Poland hancur selepas tewas 4-1 kepada Brazil.

Piala Dunia FIFA 1982 telah menyaksikan Poland berada di kumpulan A bersama Itali, Cameroon dan Peru. Poland memulakan aksi kejohanan dengan langkah perlawanan. Poland telah seri bertemu Itali pada perlawanan pembukaan kejohanan. Begitu juga dengan aksi kedua, Poland seri 0-0 bertemu Cameroon dan akhirnya pada perlawanan terakhir, Poland menunjuk taring apabila membelasah Peru 5-1.

Di pusingan kedua, Boniek menjaringkan hatrik ketika bertemu Belgium untuk memberikan dua mata penuh buat Poland. Boniek menjadi pemain kunci perlawanan seterusnya menentang Soviet, tetapi perlawanan berkesudahan seri 0-0.

Poland akhirnya layak ke separuh akhir bertemu Itali. Walau bagaimanapun, dua jaringan oleh Paolo Rossi meranapkan impian Poland mara ke perlawanan akhir buat kali kedua sejak 1974. Namun, Poland meneruskan langkah kejayaan selepas membenam Perancis, 3-2. Pada zaman inilah zaman kegemilangan Poland yang mengejutkan banyak pihak pada ketika itu.

Merudum

Aksi Poland di Piala Dunia 1986 di Mexico merupakan aksi terakhir Poland di Piala Dunia pada abad ke-20. Poland berada di Kumpulan F yang mempunyai pasukan Maghribi, England dan Portugal. Poland pada perlawanan pembukaan seri mengejut 0-0 menentang Maghribi. Poland memulakan langkah kanan apabila membenam Portugal 1-0 di mana Włodzimierz Smolarek menjaringkan gol kemenangan. Pada perlawanan terakhir kumpulan, Poland kecundang di tangan England selepas jaringan hatrik oleh Gary Lineker. Walau bagaimanapun, Poland masih berupaya ke peringkat kalah mati selepas Maghribi membenam Portugal 3-1. Pada aksi kalah mati, Poland berdepan Brazil dan Brazil tidak memberi sebarang peluang lalu pasukan Amerika Selatan itu menang 4-0 dan menghantar Poland pulang.

Selepas era kegemilangan pada 1970an dan 1980an, Poland berhadapan dengan dekad yang teruk apabila tidak memasuki sebarang kejohanan utama. Pada lewat 1980an dan 1990an, kejayaan terbesar Poland adalah pingat perak pada Sukan Olimpik 1992 Barcelona. Tiada harapan untuk pasukan muda mengutip pingat emas selepas tewas 4-2 kepada tuan rumah Sepanyol.

Kebangkitan

Kelayakan Poland ke Piala Dunia 2002 menjadi titik permulaan kebangkitan bola sepak Poland. Pasukan ini layak ke kejohanan dunia itu sejak 1986. Ketika peringkat kelayakan, Poland berada kedudukan teratas kumpulan dan menjadi pasukan Eropah pertama menempah tiket ke Korea-Jepun.

Walaupun ramai pihak meramal Poland akan mengulang kejayaan 1974 dan 1982, namun tidak semudah disangkakan. Poland berdepan Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Portugal. Poland tewas pada perlawanan pertama kepada tuan rumah, Korea Selatan 2-0. Kekalahan kedua berturut-turut Poland menandakan berakhirnya kempen Piala Dunia selepas tewas 4-0 kepada Portugal. Kemenangan saguhati Poland hadir pada perlawanan terakhir menentang Amerika Syarikat. Tiga mata dikumpul Poland tidak cukup untuk layak ke peringkat kalah mati.

Ketika Piala Dunia 2006, Poland bersama harapan besar untuk layak ke peringkat kalah mati buat kali pertama sejak 1986 selepas kempen kelayakan. Poland diletakkan dalam kumpulan A bersama tuan rumah, Jerman dan dua dari pasukan luar Eropah iaitu Ecuador dan Costa Rica. Poland dilihat akan mengikuti Jerman ke peringkat kalah mati. Walau bagaimanapun, sama seperti empat tahun lalui, kempen kali ini hambar. Sekali lagi, Poland tewas pada perlawanan pertama mereka iaitu kepada Ecuador, 2-0. Pada perlawanan kedua, Poland tewas kepada Jerman pada 14 Jun apabila Oliver Neuville menjaringkan gol pada minit ke-91 lalu menghancurkan impian Poland untuk mara. Sekali lagi, Poland tersingkir dari Piala Dunia. Pada perlawanan terakhir, Poland menyingkirkan Costa Rica 2-1 hasil daripada jaringan Bartosz Bosacki.

Layak ke Kejohanan Eropah

Barisan pemain Poland saat Euro 2012.

Di bawah jurulatih baru Leo Beenhakker pada 2006, Poland memulakan kempen kelayakan Euro 2008 dengan cara yang perlahan. Poland tewas 3-1 kepada Finland. Perlawanan berikutnya, mereka seri 1-1 bertemu Serbia di Warsaw pada 6 September 2006. Kemenangan pertama mereka hadir ketika menentang Kazakhstan pada 7 Oktober 2006 dengan jaringan 1-0. Poland pada masa itu hanya mengumpul empat mata.

Walau bagaimanapun, lima perlawanan seterusnya penuh dengan kemenangan bagi pasukan Poland. Pada 11 Oktober 2006, Poland menang 2-1 ke atas Portugal di Chorzów. Mereka kemudian ke Brussels dan mereka tewaskan Belgium, 1-0. Mereka merekodkan kemenangan menentang Azerbaijan (5-0) dan Armenia (1-0). Di Azerbaijan, mereka tewaskan tuan rumah (1-3). Tetapi mereka gagal mengutip tiga mata penuh apabila tewas 1-0 kepada Armenia pada 6 Jun 2007.

Poland kemudian seri 2-2 menentang Portugal di laman sendiri, mereka juga seri 0-0 pada perlawanan seterusnya menentang Finland di Helsinki dan menang 3-1 menentang Kazakhstan. Poland kemudain menjadi ketua kumpulan selepas menang ke atas Belgium 2-0 dan seri menentang Serbia 2-2. Ebi Smolarek menjaringkan sembilan gol ketika kempen kelayakan.

Kelayakan Poland ke Euro 2008 merupakan penampilan pertama mereka di kejohanan Eropah itu. Poland diletakkan dalam kumpulan bersama Jerman, tuan rumah Austria dan Croatia. Perlawanan pertama Poland menentang Jerman seperti memori Piala Dunia 2006 apabila kedua-dua pasukan ini bertemu pada perlawanan pertama kejohanan dunia itu. Perlawanan itu dimenangi oleh pasukan Jerman hasil daripada dua jaringan pemain Jerman kelahiran Poland, Lukas Podolski. Pada perlawanan seterusnya menentang Austria di Vienna, Roger Guerreiro menjaringkan gol pembukaan Poland tetapi Ivica Vastic menyamakan kedudukan buat Austria pada masa kecederaan melalui sepakan penalti yang berkontroversi, kedua-dua pasukan mengutip satu mata. Harapan Poland untuk layak ke kalah mati semakin sukar kerana mereka perlu melakar kemenangan besar ke atas Croatia. Walau bagaimanapun, Croatia menyingkirkan Poland 1-0 lalu mereka tersingkir daripada kejohanan.

Pada 18 April 2007 di Cardiff, Poland bersama Ukraine telah dipilih oleh Jawatankuasa Eksekutif UEFA sebagai tuan rumah Kejohanan Bola Sepak Eropah 2012. Poland/Ukraine telah dibida dan mengalahkan pembidaan dari Itali dan Croatia/Hungary. Ini kali ketiga tuan rumah mempunyai dua negara selepas Belgium/Belanda dan Austria/Switzerland.

Poland telah dimasukkan dalam Kumpulan A secara automatik bersama Greece, Republik Czech dan Russia. Namun selepas kedua-dua perlawanan seri 1-1 bertemu Greece dan Rusia, tuan rumah Euro 2012 ini tersingkir apabila tewas 1-0 kepada Republik Czech.

Harapan baru

Kelayakan Euro 2016 telah mengambil tempat pada 23 Februari 2014. Poland diletakkan dalam Kumpulan D bersama Jerman, Gibraltar, Georgia, Scotland dan Republik Ireland. Perlawanan kelayakan bermula pada September 2014.

Poland menang besar 7-0 ke atas Gibraltar dan memungut tiga mata penuh dan empat jaringan daripadanya adalah Robert Lewandowski. Poland melakar sejarah baru pada 11 Oktober 2014 apabila menewaskan juara dunia, Jerman buat kali pertama di Warsaw. Dua jaringan dari Arkadiusz Milik dan Sebastian Mila sudah cukup untuk Poland menang 2-0 dan memungut tiga mata. Pada 29 Mac 2015, Poland terikat seri 1-1 bertemu Republik Ireland dan menjadi tangga teratas kumpulan. Jaringan daripada Peszko telah mengejutkan tuan rumah namun jaringan jarak jauh oleh Shane Long telah menyelamatkan pasukan mereka daripada tewas.

Rujukan

WikiPedia: Pasukan_bola_sepak_kebangsaan_Poland http://www.polishfootballonline.com/ http://www.rsssf.com/miscellaneous/pol-recintlp.ht... http://eu-football.info/_matches.php?id=156 http://90minut.pl/rep_mecze.php?id_sezon=73 http://www.pzpn.pl/ https://www.fifa.com/fifa-world-ranking/ranking-ta... https://commons.wikimedia.org/wiki/Category:Pasuka... https://sport.onet.pl/mundial-2018/reprezentacja-p... https://www.pzpn.pl/reprezentacje/reprezentacja-a/... https://www.pzpn.pl/reprezentacje/reprezentacja-a/...