Sejarah Pemacu_kilat_USB

Penciptaannya

Pemacu kilat USB dipercayai mula dicipta sekitar tahun 1998 hingga tahun 2000. Ramai berpendapat idea pemacu kilat itu sendiri dilihamkan oleh Pua Khein-Seng, seorang warga Malaysia yang memiliki sebuah syarikat elektronik di Taiwan yang bernama Phison Electronics.[5] Banyak syarikat yang mendakwa sebagai pencipta pemacu kilat USB, dan isu ini sering menjadi pertikaian sehingga ada kalanya membawa kepada kes mahkamah kerana masing-masing mendakwa memiliki sijil paten bagi peranti ciptaan mereka. Misalnya, Trek Technologies yang berpangkalan di Singapura mendakwa sebagai pencipta asal ThumbDrive yang mula dipasarkan pada tahun 2000. Syarikat-syarikat lain seperti M-Systems dari Israel [6] dan Lexar dari Amerika Syarikat turut mendakwa menjadi pencipta pemacu kilat USB, maka Trek membawa kes tersebut ke mahkamah di Singapura. Hasilnya, Mahkamah Rayuan Singapura mengesahkan kesahihan sijil paten ThumbDrive oleh Trek Technologies dan memerintahkan syarikat-syarikat lain untuk menghentikan penjualan produk mereka. Walau bagaimanapun, semakin banyak syarikat yang mula mengeluarkan pemacu kilat USB.

Penghasilan produk komersil yang pertama

Trek Technologies bersama syarikat komputer Amerika IBM memulakan penjualan pemacu kilat secara komersil pada tahun 2000; Trek menjual produk mereka di bawah nama "ThumbDrive" manakala IBM memasarkan produk mereka di bawah nama "DiskOnKey". Pemacu kilat pertama keluaran IBM mempunyai kapasiti ingatan sebanyak 8MB, lebih lima kali daripada kebolehan memori cakera liut yang wujud pada ketika itu.[7]

Produk keluaran generasi kedua

Mulai tahun 2003, pemacu kilat terkini menggunakan sambungan USB 2.0 yang lebih pantas tetapi kadar pemindahan data maksimum hanyalah sekitar julat 10 sehingga 25 Mbps, berbeza dengan keupayaan maksimum sambungan USB 2.0 yang membolehkan pemindahan data sehingga 480 Mbps. Hal ini terjadi kerana kekangan pada cip memori kilat.

Pemacu kilat turut menjadi "ikon fesyen" apabila terdapat syarikat yang mengeluarkan pemacu kilat dalam pelbagai bentuk yang menarik, malah ada pengeluar yang turut menawarkan aksesori bagi pemacu kilat keluaran mereka untuk tujuan berfesyen.