Pemberontakan Pemberontakan_An_Lushan

Berikutan situasi yang terus tegang antara An Lushan dan pesaingnya, beliau telah bergerak bersama 150,000 tenteranya dari Fanyang menuju ke ibu kota kerajaan timur Tang, Luoyang pada tahun 755. Pada titik ini, kebanyakan tentera atau askar yang berpengalaman berkawal di berbagai-bagai perbatasan kerajaan. Jadi pada awalnya, jumlah tentera kerajaan yang ada tidak cukup untuk mematahkan pemberontakan. Walaupun Maharaja cuba memanggil tenteranya dari Wilayah Barat tetapi ia tetap akan mengambil masa untuk mengumpulkan semua tentera. Pengunduran tentera Tang dari Wilayah Barat menandakan mereka akan kehilangan kawasan itu buat selama hampir satu alaf.

Salah satu jeneral Tang yang pulang dengan segera dari Tarim Basin, Feng Changqing menghimpunkan 60,000 tentera untuk berhadapan dengan An Lushan. Dalam satu siri pertempuran, tentera mereka dikalahkan oleh puak pemberontak yang berlaku di Luoyang. Komander Tang itu berundur bersama saki baki tenteranya melalui Tongguan. Seterusnya, Feng Changqing bergabung dengan jeneral Tang yang berpengalaman, Gao Xianzhi. Gao Xianzhi baru pulang dari Asia Tengah selepas pasukan pimpinannya tewas dalam Pertempuran Talas. Beberapa bulan kemudian, kota Luoyang jatuh ke tangan An Lushan. Beliau menguasai kota tersebut dan menghormati pembesar-pembesar Tang dengan martabat. Tindakannya itu membuatkan lebih ramai menyertai angkatan An Lushan.

Pada tahun 756, An Lushan mengisytiharkan dirinya sebagai maharaja bagi Dinasti Yan dan kota Luoyang dijadikan sebagai ibu kota. Apabila tentera pemberontak bersiap sedia untuk menuju ke Tongguan, An Lushan mengirimkan serangan lain ke arah barat daya dan timur daya China. Tentera pemberontak yang menuju ke arah barat daya akan menguasai kawasan strategik di Sungai Kuning. Sementara itu, tenteranya yang mara ke arah timur daya bertembung dengan keadaan yang lebih kritikal. Walaupun kota Luoyang telah dikuasai oleh tentera An Lushan, tetapi An Lushan tidak meletakkan garison sepanjang laluan kemaraannya ke arah selatan kerajaan Dinasti Tang. Perkara ini diambil peluang dengan segera oleh orang kuat Dinasti Tang untuk melancarkan penentangan sekali gus berjaya memotong rangkaian antara An Lushan dan kubunya di utara. Pada masa yang sama, ia juga berjaya melengahkan serangan An Lushan ke atas Tongguan. Pada musim panas 756, beliau berjaya merebut semula kawasan yang dikuasai oleh puak setia Dinasti Tang dan menumpukan semula perhatiannya ke arah kota Chang'an.

Pada masa yang sama, Maharaja Xuanzong telah melakukan keputusan yang akan mengundang malapetaka. Berikutan kegagalan meredakan pemberontakan, jeneral Feng Changqing dan Gao Xianzhi telah dihukum mati. Maharaja telah menggantikan mereka dengan orang bawahan yang dianggap layak. Beliau seterusnya mengarahkan komander barunya itu untuk menyerang tentera An Lushan dengan segera di Tongguan. Usaha ini akhirnya membawa kepada satu bencana apabila tentera ini terjerat ke dalam satu serangan hendap oleh musuh dan dihancurkan pada 9 Julai. Laluan An Lushan ke Chang'an dan Ibu Kota Empayar kini terbuka kerana tidak ada tentera lagi yang akan mempertahankannya. Beberapa orang yang selamat daripada pertempuran sengit telah memaklumkan kepada maharaja tentang perkara sebenar yang telah berlaku. Dengan reaksi yang cemas, Maharaja Xuanzong bersama pewarisnya, Suzong melarikan diri bersama segala kemegahan dari istana.

Dua minggu kemudian apabila rombongan diraja tiba di sebuah hentian, Maharaja Xuanzong telah mengenakan hukuman mati ke atas birokratnya yang banyak terdiri daripada tentera atas kejadian yang berlaku di Tongguan. Kemudian, Maharaja Xuanzong menuju ke selatan sebelum sampai di kota Chengdu manakala pewarisnya pula menuju ke utara dan tiba di kota Lingzhou pada musim luruh 756. Suzong telah dipujuk untuk menaiki takhta daripada bapanya yang masih hidup dan hidup dalam keadaan buangan. Bapanya iaitu Maharaja Xuanzong telah memperoleh gelaran 'Taishang Huang' yang bermaksud maharaja bersara. Zaman pemerintahan Maharaja Tang paling lama dan gemilang telah berlabuh di penghujungnya.

Sementara itu, tentera utama An Lushan telah tiba dan memasuki ibu kota kerajaan Tang, Chang'an dan dilaporkan proses pengurangan penduduk secara besar-besaran di dalam kota itu telah dijalankan. Hal ini berlaku sama ada beliau melakukan pembunuhan besar-besaran ke atas penduduk kota ataupun ramai penduduk telah berpindah dari kota akibat kekacauan. Kota yang makmur pada suatu masa dahulu ini telah menjadi musnah akibat pergolakan ini.