Pertempuran Pemberontakan_Arab

Peta Arabia (kini Arab Saudi) menunjukkan bandar-bandar utama di wilayah Hijaz di mana pertempuran berlaku.

Pada 5 Jun 1916, dua daripada anak lelaki Syarif Husain, Amir Ali dan Amir Faisal, memulakan bibit-bibit pemberontakan dengan menyerang garison Uthmaniyyah di Madinah. namun, serangan itu ditangkis pertahanan Turki yang dipimpin oleh Fakhri Pasha. Pemberontakan sebenarnya bermula pada 10 Jun 1916 apabila Syarif Husain memerintah penyokongnya menyerang garison di Makkah. Dalam Pertempuran Makkah berikutnya, pertempuran jalanan (bandar) berlaku di antara tentera Uthmaniyyah yang lebih bilangan anggotanya tetapi lebih baik peralatannya, dengan tentera Husain. Pasukan Hashim diperkukuhkan dengan tentera Mesir yang dihantar oleh pihak British. Pasukan ini memberi sokongan artileri dan akhirnya Makkah ditawan oleh tentera Hashim pada 9 Julai 1916. Tembakan sembarangan artileri oleh pihak Uthmaniyyah merosakkan Makkah. Tindakan ini digunakan pihak Hashim sebagai alat propaganda yang berkesan dengan menggambarkan pihak Uthmaniyyah sebagai pihak yang merosakkan tempat suci Islam. Pada 10 Jun juga, seorang lagi anak Husain, Amir Abdullah melancarkan serangan ke atas bandar Taif. serangan ini pada mulanya dapat ditangkis pihak Uthmaniyyah dan bertukar menjadi kepungan. Abdullah akhirnya dapat menawan Taif selepas dibantu artileri Mesir, pada 22 September 1916.[15]

Angkatan laut British dan Perancis telah megusir bot-bot tempur Uthmaniyyah dari Laut Merah pada awal peperangan. Pelabuhan Jeddah diserang 3,500 tentera Arab pada 10 Jun 1916 dengan dibantu tembakan meriam dan pengeboman oleh kapal perang dan kapal terbang British. Garison Uthmaniyyah menyerah diri pada 16 Jun 1916. Sehingga hujung bulan September, tentera Arab telah menawan bandar-bandar Rabegh, Yenbo, Qunfida, dan 6000 orang tahanan. Seramai 15 ribu orang tentera Uthmaniyyah masih berada di Hijaz.[16][17]

Tahun 1916: TE Lawrence

TE Lawrence ("Lawrence dari Arabia") di Rabegh di utara Jeddah, 1917.

Dalam bulan Jun 1916 pihak British menghantar beberapa pegawai bagi membantu pemberontakan di Hijaz, terutamanya Kolonel Cyril Wilson, Kolonel Pierce C. Joyce, dan Kolonel Stewart Francis Newcombe. Tambahan pula, misi ketenteraan Perancis yang diketuai Kolonel Edouard Brémond juga dihantar. Pihak Perancis mendapat kelebihan berbanding British kerana misinya termasuk beberapa pegawai Muslim seperti Kapten Muhammand Ould Ali Raho, Claude Prost, dan Laurnet Depui (Prost dan Depui memeluk Islam semasa tempoh perkhidmatan mereka di Arabia). Kapten Rosario Pisani dari Tentera Darat Perancis, walaupun bukan Muslim, juga memainkan peranan penting dalam pemberontakan sebagai seorang pegawai kejuruteraan dan artileri bersama Tentera Utara Arab.[18]

Kerajaan British di Mesir menghantar seorang pegawai muda, Kapten TE Lawrence, ("Lawrence dari Arabia") untuk bertugas bersama pasukan Hashim di Hijaz pada bulan Oktober 1916.[19] Peranan Lawrence sebagai penghubung British dengan tentera Hashim, terutamanya Amir Faisal, sangat masyhur. Namun, sejarawan British David Murphy menulis bahawa walaupun Lawrence hanya seorang daripada ramai pegawai British dan Perancis yang bertugas di Arabia, para sejarawan gemar menulis seolah-olah Lawrence seorang sahaja yang mewaliki perjuangan pihak Bersekutu di Arabia.[20]

Pendapat Murphy disokong oleh seorang ahli sastera danpegawai tentera British dalam Perang Dunia Pertama, Richard Aldington. Dalam bukunya yang diterbitkan pada tahun 1955, Aldington, yang tercedera di Barisan Barat pada tahun 1918, menimbulkan skandal kerana beliau menuduh Lawrence sebagai seorang penipu. Namun penulisan terkemudian oleh sejarawan dan pengkaji lain menunjukkan Lawrence sebagai seorang yang berkemampuan mahupun sedikit aneh (eksentrik). [21]

Lawrence mendapat bantuan Tentera Laut Diraja British bagi menangkis serangan Uthmaniyyah ke atas Yanbu pada bulan Disember 1916.[22] tetapi pada hakikatnya sumbangan utama Lawrence kepada pemeberontakan ialah meyakinkan ketua-ketua Arab, ([[Faisal I dari Iraq]|Amir Faisal]] dan Amir Abdullah, menyelaraskan tindakan mereka supaya selari dengan strategi British. Lawrence menjalin perhubungan rapat dengan Faisal berbanding Abdullah. Hubungan baik Lawrence dan Faisal membawa manfaat kepada Tentera Utara Arab, yang diketuai Faisal, yang mendapat sebahagian besar bantuan British. Sebaliknya perhubungan Lawrence dengan Abdullah renggang dan hasilnya ialah Tentera Timur Arab Abdullah kurang mendapat bantuan British. [23] Lawrence meyakinkan pihak Arab agar tidak mengusir Uthmaniyyah dari Madinah (lihat Pengepungan Madinah) dan sebaliknya menumpukan perhatian kepada serangan ke atas jalan kereta api Hijaz. Ini mengikat tentera Uthmaniyyah yang terpaksa mempertahakan jalan kereta api dan membaiki kerosakan hasil serangan Arab berkali-kali.

Pesawat FE 2B daripada Sayap Kelima Kor Udara Diraja British di Palestin yang membantu operasi di Hijaz.

Pada 1 Disember, Fakhri Pasha memulakan serangan dengan kekuatan tiga briged dari Madinah, bertujuan untuk menawan bandar pelabuhan Yanbu. Serangan ini berjaya dipatahkan oleh tentera Arab dengan bantuan tembakan oleh lima kapal perang Tentera Laut British. Tentera Syarif berjaya mencederakan dan membunuh membunuh ramai tentera Uthmaniyyah – satu kekalahan yang teruk yang dialami tentera Uthmaniyyah dalam kempen ini. Fakhri kemudiannya berpaling ke arah selatan dan cuba menawan bandar Rabegh, tetapi disebabkan serangan gerila ke atas laluan bekalannya serta serangan udara oleh Kor Udara Diraja British yang beroperasi dari Yanbo, terpaksa berundur ke Madinah pada 18 Januari 1917.[24]

Dalam masa ini kekuatan Arab meningkat kepada 75 ribu orang dilengkapi dengan 28 ribu raifal dan dibahagikan kepada tiga kumpulan utama. Pasukan Ali mengancam Madinah, Abdullah beroperasi mengasak talian perhubungan serta merampas bekalan Uthmaniyyah sementara Faisal berpangkalan di Wejh.[25] Pasukan yang menaiki unta boleh beroperasi dalam lingkungan 1,600 km (1,000 batu), dan membawa kelengkapan serta bekalan makanan sendiri. Mereka mendapt air daripada sistem perigi dengan jaraknya lebih kurang 160 km satu dengan yang lain. [26]

Lewat tahun 1916 pihak Bersekutu menubuhkan Tentera Tetap Arab (Tentera Syarif) yang dianggotai bekas tahanan perang tentera Arab Uthmaniyyah. Anggota Tentera Tetap mengenakan pakaian seragam British dengan keffiyah dan berlainan daripada tentera gerila (terdiri daripada anggota suku kaum), berkhidmat sepenuh masa dan menjalankan peperangan konvensional. Beberapa orang bekas pegawai Uthmaniyyah yang berkhidmat dalam angkatan adalah Nuri al-Said, Jafar al-Askari dan Aziz Ali al-Misri.[27]

Tahun 1917

Landasan Keretapi Hijaz (jalan haji Daamsyik–Makkah dibina Empayar Uthmaniyyah pada awal abad ke-20. Laluan kereta api ini menjadi tumpuan utama pasukan Arab di Hijaz.

Tahun 1917 bermula dengan baik buat pasukan Hasyim dengan serangan hendap ke atas konvoi Uthmaniyyah dan rampasan syiling emas bernilai £20,000 oleh Amir Faisal dan Tentera Utara Arab yang diketuainya. Emas tersebut diperuntukkan bagi menyogok kaum Badwi agar menyokong Sultan. Gerila Hasyim mula menyerang landasan kereta api Hijaz pada awal tahun 1917 dan pada awalnya menumpukan usaha mereka kepada meletupkan bahagian-bahagian jalan kereta api yang tidak dikawal. Mejar H. Garland, seorang daripada pegawai British yang menyertai pasukan Faisal telah mencipta sejenis periuk api yang disebut bom Garland. Senjata ini digunakan secara efektif terhadap landasan kereta api Hijaz.[28]

Pada kebiasaannya, serangan Arab melibatkan penggunaan periuk api. Satu contoh serangan biasa ialah operasi yang diketuai pegawai British Newcombe dan Joyce yang pada malam Julai 6/7, 1917, telah meletakkan 500 buah periuk api pada landasan kereta api Hijaz. Kesemua periuk api diletupkan serentak pada lebih kurang jam 2 pagi. Dalam satu serangan pada bulan Ogos 1917, Kapten Raho daripada Misi Perancis mengetuai sepasukan Badwi dan berjaya meletupkan landasan kereta api sepanjang lima kilometer dan empat buah jambatan.[29]

Kegagalan Uthmaniyyah menawan Yanbu pada bulan Disember 1916 membawa kepada penambahan kekuatan tentera Hasyim. Tentera Uthmaniyyah terpaksa menjalankan operasi pertahanan dan defensif. Namun pada bulan Mac 1917, satu pasukan Uthmaniyyah yang disertai anggota suku kaum Kerajaan Ha'il yang diketuai Ibn Rashid menjalankan operasi pembersihan di Hijaz yang menjejaskan pasukan Hasyim dengan teruk mahupun tidak menawan Yanbu.[24] Pada hari-hari kemudian Lawrence mendakwa bahawa kegagalan Uthmaniyyah menawan Yanbu merupakan titik perubahan yang memastikan kekalahan Uthmaniyyah di Hijaz.[30]

Pada tahun 1917, Lawrence mengatur satu operasi bersama di antara gerila Arab dengan pasukan di bawah pemerintahan Auda Abu Tayi (sehingga saat itu berkhidmat dengan Uthmaniyyah). Pasukan bersama ini menyerang bandar pelabuhan Aqaba dalam operasi yang kini disebut Pertempuran Aqaba.

Aqaba merupakan pelabuhan tunggal Uthmaniyyah di Lautan Merah dan mengancam rusuk kanan Pasukan Ekspedisi Mesir yang mempertahankan Mesir dan yang sedang bersiap sedia untuk mara ke Maan Sanjak vilayet Syria.[31] Penawanan Aqaba akan mempermudahkan penyaluran bekalan British kepada tentera pemberontakan. Lawrence dan Auda meninggalkan Wedj pada 9 Mei 1917 dan merekrut pasukan daripada Bani Howeitat Syria. Aqaba jatuh ke tangan Arab selepas serangan darat pada 6 Julai dengan pasukan Arab mengalami hanya kecederaan ringan. Lawrence kemudian menunggang 200 km ke Suez bagi menguruskan penghantaran makanan dan bekalan oleh Tentera Laut Diraja untuk 2,500 penduduk Arab dan 700 tahanan perang Uthmaniyyah. Tidak lama kemudian bandar Aqaba diduduki sepasukan besar angkatan laut Inggeris dan Perancis (termasuk kapal perang dan pesawat terbang laut), dan penempatan ini kemudiannya memperkukuhkan pegangan Arab ke atas Aqaba.[32]

Lewat tahun 1917, pejuang Hasyim membantu serangan musim sejuk Jeneral Allenby terhadap garisan pertahanan Gaza-Bersheeba yang kemudiannya membawa kepada Pertempuran Beersheba dengan menjalankan serangan kecil-kecilan terhadap kedudukan Uthmaniyyah.[33] Satu contoh serangan kebiasaan ialah operasi yang diketuai Lawrence yang berjaya memusnahkan konvoi kereta api Uthmaniyyah dengan meletupkan jambatan di Mudawwarah semasa konvoi itu melintasinya, dan kemudiannya menjalankan serang hendap ke atas pasukan Uthmaniyyah yang datang untuk membaiki kerosakan.[34] Kemenangan Allenby membawa dengan kepada penaklukan Baitulmuqaddis sebelum Hari Natal 1917.