Sejarah Pencetakan

Pencetakan bongkah kayu

Pencetakan bongkah kayu adalah teknik untuk menera teks, imej atau corak yang digunakan secara meluas di seluruh Asia Timur. Ia berasal dari negara Cina purba sebagai kaedah menera tekstil sebelum kertas. Sebagai kaedah menera kain, contoh-contoh terlama yang masih wujud dari negara Cina bertarikh selewat tahun 220 M di samping contoh-contoh dari Mesir Rom sekitar abad keempat.

Di Asia Timur

Ilustrasi depan Sutra Intan dari Dinasti Tang, 868 M (British Library)

Cebis-cebisan teraan bongkah kayu terawal yang masih wujud adalah dari negara China dan berupa sutera yang tetera bunga-bunga tiga warna dari Dinasti Han (sebelum 220 M), sementara contoh-contoh teraan bongkah kayu pada kertas yang terawal muncul pada abad ke-7 di China.

Menjelang abad ke-9, sudah wujudnya pencetakan pada kertas, yang mana buku cetakan lengkap terawal yang masih wujud dan tertulis tarikhnya ialah Sutra Intan (British Library) dari tahun 868.[4] Menjelang abad ke-10, telah dicetaknya 400,000 salinan pustaka suci, gambar-gambar dan naskhah Konfusius. Seorang jurucetak yang mahir mampu mencetak sehingga 2,000 helai dwihalaman sehari.[5]

Ilmu pencetakan awal tersebar ke Korea dan Jepun yang turut menggunakan aksara Cina, tetapi teknik-tekniknya juga turut digunakan di Turpan dan Vietnam yang menggunakan tulisan lain. Namun begitu, tidak seperti penyebaran kertas, teknik pencetakan tidak tersebar ke dunia Islam.[6]

Di Timur Tengah

Pencetakan bongkah ke atas kain wujud di Mesir Rom sekitar abad ke-4. Pencetakan bongkah, atau tarsy dalam bahasa Arab, dicipta di Mesir Arab sekitar abad ke-9 dan ke-10, khususnya untuk doa dan azimat. Terdapat beberapa bukti bahawa bongkah-bongkah tera ini diperbuat daripada bahan selain kayu, misalnya timah, plumbum, atau tanah liat. Akan tetapi, teknik-teknik yang digunakannya tidak begitu dipastikan, malah kelihatan kurang sekali pengaruh di luar dunia Islam. Biarpun Eropah menerima guna pencetakan bongkah dari dunia Islam untuk menera kain pada asalnya, namun teknik pencetakan bongkah logam tetap tidak dikenali di Eropah. Pencetakan bongkah akhirnya lapuk di Asia Tengah Muslim setelah pencetakan taip cerai diperkenalkan dari negara China.[7]

Di Eropah

Teraan bongkah kayu bertarikh 1423 tentang St. Christopher dari Buxheim di Hulu Rhine

Pencetakan bongkah mula-mula tiba di Eropah sebagai kaedah untuk perusahaan menera kain yang meluas sekitar tahun 1300. Imej-imej yang tertera di atas kain untuk tujuan keagamaan mungkin agak besar dan berjela-jela. Apabila kertas mudah diperolah sekitar tahun 1400, maka berlakunya peralihan deras kepada bongkah tera gambar keagamaan yang lebih kecil serta daun terup yang dicetak di atas kertas. Bongkah-bongkah induk ini dihasilkan secara besar-besaran mulai sekitar tahun 1425.

Sekitar abad ke-15, wujudnya buku blok, iaitu buku yang dicetak dengan bongkah kayu yang terukir teks dengan imej, sebagai alternatif yang murah kepada manuskrip dan buku-buku yang dicetak dengan taip cerai. Semua ini rata-rata merupakan karya ringkas yang serba berilustrasi, yakni buku-buku paling laris pada hari ini, diluangi dalam pelbagai versi buku blok yang berbeza, terutama sekali Ars moriendi dan Biblia pauperum. Masih terdapat pertikaian dalam kalangan ilmuwan sama ada buku blok ini mendahului atau menyusuli pengenalan taip cerai, dengan tarikh yang diberikan antara tahun 1440 dan 1460.[8]

Pencetakan taip cerai

Plat tembaga wang kertas 5,000 tunai (1215–1216) dengan 10 keping taip cerai gangsaJikji dari Korea, buku terawal diketahui yang dicetak dengan taip cerai logam, 1377. Bibliothèque Nationale de France, Paris
Rencana utama: Taip cerai

Taip cerai merupakan sistem pencetakan dan tipografi yang menggunakan keping-kepingan taip logam yang boleh digerak alih, terhasil dengan menuang dari matriks yang ditekan-tekan oleh penebuk huruf. Taip cerai membolehkan proses-proses yang lebih fleksibel daripada menyalin dengan tangan atau percetakan bongkah.

Sekitar tahun 1040, terciptanya sistem taip cerai dikenali yang terawal di China oleh Bi Sheng daripada porselin.[2] Sheng menggunakan taip tanah liat yang mudah pecah, tetapi Wang Zhen kemudiannya mengukir taip yang lebih tahan lasak daripada kayu pada tahun 1298, serta mencipta sistem kompleks yang terdiri daripada meja-meja berpusing dan perkaitan nombor dengan aksara Cina yang mencekapkan lagi atur huruf dan pencetakan. Namun demikian, kaedah yang paling laris tetap peneraan bongkah kayu yang "terbukti lebih menjimatkan dan lebih cekap untuk mencetak bahasa Cina dengan ribuan aksaranya".[9]

Pencetakan taip cerai tembaga berasal dari negara China pada awal abad ke-12. Ia digunakan untuk mencetak wang kertas secara besar-besaran keluaran Dinasti Song Utara.

Sekitar tahun 1230, bangsa Korea mencipta taip cerai gangsa. Pustaka Jikji terbitan 1377 merupakan buku cetakan logam dikenali yang terawal. Digunakannya acuan taip yang disesuaikan dari kaedah mengacu syiling. Aksara diukir pada kayu beech, kemudian ditekankan ke atas tanah liat yang lembut untuk membentuk acuan. Acuan itu dituangi gangsa dan akhirnya, taipnya digilap.[10]

Sekitar tahun 1450, Johannes Gutenberg memperkenalkan apa yang dianggap sebagai sistem taip cerai moden yang sulung di Eropah (rujuk mesin cetak), di samping inovasi dalam mengacu taip berasaskan matriks dan pengacu tangan. Gutenberg adalah yang pertama yang mencipta kepingan-kepingan taipnya daripada aloi buatan plumbum, timah, dan antimoni, iaitu komponen-komponen sama yang masih digunakan kini.[11]

Sebekas kepingan taip logam acuan dan bahan-bahan atur huruf di dalam siku atur huruf

Mesin cetak

Rencana utama: Mesin cetak

Usaha Johannes Gutenberg ke atas mesin cetaknya bermula sekitar tahun 1436 apabila beliau berganding bahu dengan Andreas Dritzehen yang pernah diajarnya untuk memotong permata, dan Andreas Heilmann, pemilik sebuah kilang kertas.[12] Akan tetapi, rekod rasmi tidak wujud hinggalah pada tahun 1439 apabila difailkannya tuntutan mahkamah terhadap Gutenberg, yang mana saksi memberikan keterangan yang membincangkan taip, inventori logam (termasuk plumbum) dan acuan taipnya.[12]

Berbanding dengan pencetakan bongkah kayu, atur halaman dan pencetakan taip cerai dengan mesin lebih cepat dan lebih tahan lama. Kepingan-kepingan taip logam lebih utuh dan bentuk hurufnya lebih seragam, maka lahirnya ilmu tipografi dan fon. Alkitab Gutenberg (1455) dengan mutu yang tinggi dengan harga yang agak rendah memantapkan keunggulan taip cerai untuk bahasa-bahasa barat, maka mesin cetak cepat tersebar ke serata Eropah hingga mencetuskan Zaman Pembaharuan, dan kemudiannya tersebar ke seluruh dunia. Kini, rata-rata semua pencetakan taip cerai berasal dari inovasi Gutenberg terhadap pencetakan taip cerai yang disanjungi sebagai antara ciptaan paling penting pada alaf kedua.[13]

Mesin cetak putar

Rencana utama: Mesin cetak putar

Mesin cetak putar dicipta oleh Richard March Hoe pada tahun 1843, menggunakan corak-corak yang terukir di keliling silinder untuk menera kertas atau bahan seumpamanya yang teramat panjang. Ciptaan ini menerima peningkatan besar daripada William Bullock.