Sejarah Pengangkutan_rel

Reisszug pada kini.

Bukti terawal sistem pengangkutan rel ialah penemuan suatu jalur landasan yang digunakan untuk mengangkut kapal di Tanah genting Corinth di Yunani yang wujud sejak kira-kira 600 SM dan digunakan hingga abad pertama Masihi.[1][2] Selain itu, jalur-jalur landasan juga dibina ketika zaman Mesir Purba.[3]

Pad 1515, Kardinal Matthäus Lang menghuraikan tentang Reisszug, sejenis funikular di Kubu Hohensalzburg, Austria yang menggunakan landasan kayu. Landasan ini masih wujud hingga kini meskipun dinaik taraf, dan mungkin disifatkan sebagai laluan pengangkutan rel tertua yang masih digunakan.[4] Pada 1550-an, jalan trem yang menggunakan landasan kayu dan kuda mula digunakan secara meluas di Eropah untuk mengangkut paip bijih dari atau ke lombong. Pada 1764, landasan pengangkutan rel pertama di benua Amerika dibina di Lewiston, New York.[5]

Pada akhir 1760-an, plat-plat besi tuang mula diguna pakai pada landasan kayu.[6] Namun begitu, penggunaan besi tuang didapati tidak sesuai kerana rapuh dan mudah patah akibat muatan berat. Hal ini menyebabkan besi tuang digantikan dengan besi tempa disebabkan oleh kemuluran besi itu yang membuatkan besi itu lebih tahan lama. Pada asalnya, besi tempa adalah mahal untuk dihasilkan sehingga Henry Cort mempatenkan kaedah pengedapan pada 1784. Selain itu, kaedah penggulingan yang diperkenalkannya pula memudahkan pembentukan besi tempa berbanding dengan penukulan.[7]