Penglihatan_burung
Penglihatan_burung

Penglihatan_burung

Penglihatan (ڤڠليهتن) merupakan deria yang paling penting bagi burung kerana penglihatan yang baik dapat menentukan penerbangan yang selamat. Kumpulan burung mempunyai beberapa penyesuaian yang memberikan penglihatan yang lebih baik berbanding vertebrat lain. Mata burung menyerupai mata reptilia dengan otot silium yang berkemampuan untuk mengubah bentuk kanta matanya dengan lebih cepat dan lebih luas daripada mata mamalia. Burung memiliki mata yang secara relatifnya paling besar dalam alam haiwan untuk saiz tubuh mereka dan pergerakan mata mereka juga terbatas oleh tulang rongga mata.[1] Selain mempunyai dua kelopak mata yang biasa dijumpai pada vertebrat, mata burung juga dilindungi oleh membran ketiga yang boleh bergerak dan lut sinar. Anatomi dalaman burung sama seperti vertebrat lain tetapi ia mempunyai struktur tambahan iaitu pekten okuli yang hanya terdapat pada burung sahaja.Tidak seperti manusia, mata burung lebih menyerupai ikan, amfibia dan reptilia yang mempunyai empat reseptor warna. Ini memberikan burung suatu keupayaan yang bukan sahaja untuk melihat dalam julat nampak tetapi juga bahagian sinar ultraungu daripada spektrum cahaya, serta penyesuaian lain yang membolehkan burung untuk mengesan cahaya terkutub atau medan magnet. Burung secara perkadarannya mempunyai lebih banyak reseptor warna di dalam retina berbanding mamalia dan juga memiliki lebih banyak sambungan saraf di antara fotoreseptor dan otaknya.Beberapa kumpulan burung mempunyai pengubahsuaian tertentu pada sistem penglihatan mereka berdasarkan cara hidup mereka itu. Burung pemangsa memiliki ketumpatan reseptor yang tinggi dan penyesuaian lain yang dapat memaksimumkan ketajaman visual. Kedudukan mata mereka memberikan penglihatan dwimata yang baik dan ini membolehkan mereka untuk melakukan pertimbangan jarak dengan tepat. Spesies burung malaman mempunyai mata berbentuk tiub, bilangan pengesan warna yang rendah tetapi memiliki ketumpatan sel rod yang tinggi di mana ia sangat berfungsi dalam cahaya malap. Burung tern, camar dan albatros adalah antara burung laut yang mempunyai titisan minyak merah atau kuning dalam reseptor warna untuk memperbaiki penglihatan jarak terutama ketika keadaan berjerebu.

Rujukan

WikiPedia: Penglihatan_burung http://www.lafebervet.com/avian-medicine-2/avian-e... http://www.windowalert.com/birdvision.html http://www.birds-online.de/gesundheit/gessonstiges... http://www.csulb.edu/~efernand/visualecol/Avian%20... http://digitalcommons.unl.edu/cgi/viewcontent.cgi?... //www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC1689681 //www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC1690967 //www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC1919429 //www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2423400 //www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/11958715