Sejarah Pihak_Berkuasa_Palestin

Pihak Berkuasa Palestin ditubuhkan hasil daripada Perjanjian Oslo pada 13 September 1993 antara Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Israel. Badan ini sebenarnya ditubuhkan sebagai badan pentadbiran sementara (5 tahun) untuk menyediakan penduduk Palestin ke arah berkerajaan sendiri sementara rundingan status akhir wilayah-wilayah Palestin dijalankan.[3][4][5] Namun hingga kini (2011), selepas 16 tahun, Pihak Berkuasa Palestin masih belum dibubarkan kerana rundingan status akhir belum selesai.

Sejak Intifadah Kedua, kuasa PBP dilemahkan di dalam dan luar Palestin kerana pihak Israel dan Amerika Syarikat enggan berunding dengan mereka. Khususnya, Ariel Sharon dan George W. Bush enggan berunding dengan Yasser Arafat walaupun Arafat sendiri yang menandatangani Perjanjian Oslo.

Israel menuduh PBP sebagai badan menyokong keganasan terhadap penduduk Israel. Angkatan bersenjata Fatah dituduh melancarkan serangan bom berani mati bagi mencederakan rakyat Israel. Angkatan tentera Israel kini melancarkan serangan terhadap infrastruktur PBP, menuduh PBP menggunakan prasarana ini untuk membawa masuk senjata dan barangan keganasan.

Dengan bantuan Rusia, pada 2005, PBP mula bertanggungjawab terhadap pentadbiran awam di beberapa kawasan luar bandar, selain hal keselamatan di bandar utama di Tebing Barat dan Genting Gaza. Pada bulan Ogos, Ariel Sharon memulakan pelan pengunduran sepihaknya dari Genting Gaza, menyerahkan kawalan dalam penuh genting tersebut kepada PBP tetapi tetap mengawal kawasan sempadan termasuk udara dan laut (kecuali sempadan dengan Mesir).

Kemudian dalam pilihan raya perundangan pada 25 Januari 2006, Hamas menjadi parti majoriti parlimen dan merebut kuasa dari Fatah. Ismail Haniyeh dicalonkan sebagai Perdana Menteri pada 16 Februari dan mengangkat sumpah pada 29 Mac.

Bagaimanapun, selepas kemenangan sah Hamas ini, Amerika Syarikat dan negara-negara Barat telah menyekat bantuan kewangan kepada PBP kerana melabelkan Hamas sebagai pertubuhan pengganas. Pada Disember 2006, Perdana Menteri Ismail Haniyeh mengumumkan bahawa kerajaan Hamas tidak akan mengikitiraf kesahan negara Israel. "Kita tidak akan mengikitiraf kerajaan Zionis dan akan meneruskan gerakan jihad sehingga pembebasan Baitulmuqaddis.[6] Sebagai balasan, Israel mengetatkan lagi sekatan terhadap Genting Gaza.

Pada 14 Jun 2007, akibat pertempuran antara Hamas dan Fatah di Genting Gaza, Presiden Mahmoud Abbas telah membubarkan parlimen, memecat kerajaan Haniya dan mengisytiharkan darurat. Beliau melantik Salam Fayad sebagai Perdana Menteri kerajaan baharu. Walaupun mendakwa memerintah keseluruhan wilayah Palestin, realitinya ia cuma memerintah di Tebing Barat manakala Haniyeh masih memerintah di Genting Gaza. Majlis Perundangan Palestin juga tidak mengakui 'rampasan kuasa' ini walaupun disokong kuasa luar.

Selepas kedamaian sementara 6 bulan antara Hamas dan Israel tamat pada 19 Disember 2008,[7][8][9] Israel melancarkan serangan pada 27 Disember, yang bertukar menjadi pertempuran berlangsung sehingga tiga minggu.

Satu perjanjian perdamaian antara Fatah dan Hamas dicapai antara dua pihak tersebut di Kaherah pada 27 April 2011. Mereka bersetuju membentuk kerajaan perpaduan,[10] dan mengadakan pilihan raya di kedua-dua wilayah Palestin dalam masa 12 bulan pembentukan kerajaan tersebut.[11] Pemeteraian persetujuan ini menandakan perapatan jurang empat tahun antara dua seteru ini.[12]

Pada 4 Mei 2011 dalam satu upacara di Kaherah, persetujuan ini ditandatangani secara rasmi oleh Presiden Pihak Berkuasa Palestin dan pemimpin Fatah Mahmoud Abbas dengan pemimpin Hamas Khaled Meshal.[13][14] Persetiaan ini memberikan rangka untuk membentuk kerajaan "peralihan" teknokrat untuk persediaan pilihan raya perundangan dan presiden dalam jangka masa setahun. Sementara itu PBP akan terus menjaga kawalan keselamatan di Tebing Barat, begitu juga kerajaan Hamas di Gaza.[15]

Rujukan

WikiPedia: Pihak_Berkuasa_Palestin http://edition.cnn.com/2011/WORLD/meast/04/27/gaza... http://www.jewishtimes.com/index.php/jewishtimes/n... http://www.nytimes.com/2008/06/18/world/middleeast... http://www.nytimes.com/aponline/2011/05/04/world/m... http://uk.reuters.com/article/topNews/idUKTRE50423... http://www.usatoday.com/news/world/2006-12-08-pale... http://www.washingtonpost.com/world/palestinian-fa... http://www.ynetnews.com/articles/0,7340,L-4061418,... http://www.publicpolicy.umd.edu/IPPP/Fall97Report/... http://palestinkini.info/?p=9394