Kerjaya Rahim_Maarof

Pembabitan awal (1981 - 1984)

Rahim bermula dalam usia yang agak lewat dalam industri muzik arus perdana. Komposer terkenal Indonesia, Ben Supranto adalah orang pertama yang memberikan peluang merakamkan album pada tahun 1981 menerusi debut Kini Aku Sendiri (More Than I Can Say) Vol. 1 ketika beliau berusia 25 tahun. Mengimbas semula peristiwa itu, Rahim pernah menceritakan dia membaca iklan syarikat rakaman Life Record (ketika itu Hup Hup Music) memerlukan penyanyi baru. Walaupun iklan itu meminta artis yang berminat menghantar demo tape tetapi Rahim bertindak berani dengan menemui sendiri Ben. Melihat kesungguhan Rahim yang sanggup mengorbankan seketika minatnya terhadap muzik rock yang masih baru ketika itu demi permintaan pasaran, Ben menyuruhnya menjalani uji bakat dengan segera dan akhirnya diterima. Kerjasama Ben dan Rahim berjalan menerusi empat album terawal penyanyi itu menyaksikan Rahim popular dengan lagu-lagu berentak pop melayu seperti Peronda Cinta, Jangan Marah Marah, Hanya Dalam Mimpi, Lizawati dan banyak lagi namun ketika album keempat Aku Masih Sayang Padamu diterbitkan tanpa pengawasan menyeluruh Ben, hala tuju muzik Rahim mengalami transisi kepada R&B. Sedangkan ketika itu Rahim terkenal sebagai penyanyi remaja yang merakamkan lagu-lagu pop melayu dan irama dangdut. Ketika itu dangdut sedang menguasai dan membaluti hati peminat seni suara. Pengalamannya sebagai penyanyi ketika mencecah usia 30 tahun bukan sedikit. Dari zaman menyanyi blues, rock pada tahun 70-an, bertukar ke raggae dengan ketika merakam album Jangan Marah-Marah, kemudian beralih ke dangdut dengan lagu popular Lizawati, beralih ke jazz dan R&B dengan Aku Masih Setia Padamu, Rahim boleh dianggap penyanyi yang serba-boleh.

Gelombang Battle of the Band (1986)

Tidak lama selepas itu, ketika kontraknya bersama Life Record tamat, ada tanda-tanda rock akan menguasai pendengar pula. Bagi menghadapi perkembangan baru yang cukup mengujakan beliau itu, Rahim menubuh Whitesteel dan pernah merakamkan lagu dalam dua buah album dengan beberapa kumpulan lain dalam siri Battle of the Bands I & II dengan Warnada. Rahim sebelum itu pernah bergelar vokalis kepada kumpulan Lefthanded, bagaimanapun penglibatan beliau tidak secara rakaman studio sehingga Lefthanded merakamkan album sulung dalam arus perdana yang berjudul Keadilan pada 1986 dengan vokalis baru Nash Elias. Lefthanded dan Whitsteel sama-sama menyertai Battle of the Bands ketika itu. Era Battle of The Band menjelmakan sisi sebenar penyanyi ini apabila beliau menentukan arah tuju muzik yang benar-benar dikehendakinya. Muzik kumpulan Whitesteel ketika itu lebih terarah kepada metal dan hard rock. Populariti Rahim di pentas indie semakin menjadi-menjadi apatah lagi imej "budak nakal" yang dibawanya ketika itu hingga mencetuskan kontroversi apabila zip seluarnya terbuka ketika persembahan di Stadium Negara. Bersama Whitesteel, Rahim tidak sempat merakam album studio kerana masing-masing membawa haluan sendiri.

Era Cinta Kristal (1987-1990)

Menyedari potensi Rahim pada tahun 1987, komposer terkenal Rahim Othman mencarinya bagi menawarkan kontrak rakaman solo dengan bimbingan komposer dan penyanyi yang makin meningkat naik ketika itu M. Nasir. Kemuncak kerjayanya datang pada tahun 1988 apabila muncul dalam album Kristal yang mempertaruhkan hits Cinta Kristal dan Jangan Kau Rayu yang cukup popular. Album ini disifatkan sebagai antara album rock terbaik pada era 80an kerana muzik Rahim yang diasimilasikan dengan konsep blues, boss-rock dan pengaruh new-metal yang masih baru ketika itu. Album ini juga merupakan album fizikal Malaysia terakhir yang dipasarkan dalam bentuk piring hitam sebelum beralih 1005 ke era CD kompak dan kaset pita. Ketika ini Rahim berjaya meletakkan dirinya sebagai salah seorang penyanyi terpopular di Malaysia dengan album jualan platinum 100,000 unit, malah dicalonkan di Anugerah Bintang Popular Berita Harian untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular. Lagu-lagu daripada album Kristal mempunyai legasi tersendiri apabila menjadi pilihan ramai penyanyi muda untuk membuat versi baru. Lagu Jangan Kau Rayu contohnya hingga kini dirakam semula sebanyak 7 kali iaitu oleh kuartet "Isabella '98" secara berasingan bermula daripada Amy Search pada 1994, Zamani Ibrahim (2002), Saleem (2007) dan Jamal Abdillah (2009) selain kumpulan metal Purnama, penyanyi rock Ruhil Amani, Hazama Azmi dan Ayai Ilussi. Sementara itu lagu Kasihku pula pernah dirakam semula oleh Amy Mastura untuk filem Puteri Impian dan lagu Cinta Kristal pula oleh Awie untuk filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Kerjasama ikonik antara Rahim dan M. Nasir dimuatkan dalam album studio komposer itu Falsafah Cinta pada 1989 sebelum formula Rahim - M. Nasir kembali meledak menerusi album susulan berjudul Sensitif pada tahun 1990 setelah Konsert Kotaraya Rahim Maarof menggegar ibukota. Album ini sekali lagi mencecah jualan platinum melebihi 150,000 unit malah menghasilkan hits paling popular ketika itu seperti Istana Menanti, Sensitif, Layang-layang dan Hutan Batu Kosmopolitan. Album ini secara satirikal mengkritik sosio budaya dan eknomi Malaysia di samping meluah lagu-lagu cinta berunsur ketuhanan dan kendiri. Album ini menyaksikan gabungan penerbit hebat seperti Nasir, Bob Lokman, Nasir Jani dan Roslan Aziz malah diakui sebagai salah sebuah album terhebat di era 1990an. Ketika itu Rahim dijulang sebagai pemenang Penyanyi Lelaki Popular (ABPBH) di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1990 menewaskan penyanyi seangkatan seperti Jamal Abdillah dan M. Nasir sendiri. Tidak sekadar di dalam negara, Rahim juga terkenal di rantau Nusantara malah dipelawa untuk merakam album dan bikin filem bersama Nike Ardilla di sana. Namun beliau terpaksa menolak tawaran tersebut kerana ingin menumpukan perhatian terhadap pembikinan album studio seterusnya. Kemunculan beliau di kaca TV negara tersebut pernah mencetuskan histeria yang tersendiri kerana auranya sebagai penyanyi yang lengkap pakej suara dan rupa. Rahim ketika itu berjinak-jinak dalam dunia lakonan menerusi filem box-office Mira Edora bersama aktres Julia Rais.

Kontroversi dengan syarikat rakaman

Pada tahun 1992, Rahim telah mencetuskan kontroversi yang menyebabkan putaran kerjaya muziknya beralih secara total apabila bertindak menamatkan kontrak dengan syarikat rakaman BMG (kini Sony BMG) dengan memulangkan wang pembelian kontrak beliau pada 1992 berjumlah RM 15,000 tunai di dalam enam buah tabung berisi syiling emas RM1. Rahim juga melunaskan RM 7,000 untuk melepaskan diri daripada kontrak rakaman yang disifat tidak berlaku adil kepadanya. Hal ini menimbulkan kontroversi hangat di antara beliau dan orang kuat BMG ketika itu, Aziz Bakar (kini Datuk).

Rahim beralih ke perusahaan rakamannya sendiri dan bekerjasama dengan syarikat rakaman EMI untuk album seterusnya. Sempat muncul dengan filem Syakila dan album khas untuk allahyarham Sudirman yang memuatkan hits Dir. Album Rahim Maarof kerjasama Rahim bersama komposer terkenal Fauzi Marzuki pada 1994 menjadi kesinambungan kerjaya beliau apabila album tersebut juga meraih sambutan memberansangkan biarpun kemunculannya selepas 4 tahun menyepi dari sebarang album solo. Selepas dua bulan pertama dipasarkan, album ini mencatat jualan 30,000 unit dan meningkat kepada 120,000 unit menjelang hujung tahun 1994. Lagu-lagu popular seperti Usang, Buka Minda dan Cinta Di Bawah Sedar menjadi bukti Rahim mampu bertahan dan kekal popular. Lagu Usang dan Dir berjaya mara ke peringkat Juara Lagu Kategori Balada di Anugerah Juara Lagu 1993 & 1994, pertandingan yang tidak pernah disertainya ketika era Kristal dan Sensitif.

Era pertengahan 90-an

Album Cermin yang diterbitkan pada tahun 1996 gagal mencipta impak yang setara dengan album-album sebelumnya kerana peralihan muzik rock kepada pop serta faktor usia yang telah mencecah 40 tahun ketika itu disamping keadaan Rahim sendiri yang begitu patah hati kerana kematian ibu yang disayanginya. Beberapa lagu pop beliau seperti Redha yang ditujukan buat ibu serta Abadikan tetap popular biarpun tidak seberjaya lagu-lagu terdahulu biarpun album itu mencatat jualan emas sebanyak 60,000 unit. Ramai peminat tidak berpuas hati apabila Rahim mengubah haluan muziknya ketika itu biarpun Rahim berjanji akan kembali ke muzik rock untuk album seterusnya. Dia bagaimanapun mengakui bahawa namanya tenggelam selepas sahaja album itu diterbitkan, tetapi itu tidak bermakna bahawa dia tidak berminat lagi untuk menyanyi. Ketika itu beliau sedar bahawa untuk survival, beliau tidak boleh hanya bergantung kepada bidang nyanyian sahaja maka Rahim bertindak memberi tumpuan kepada perniagaan yang telah lama diusahakan sejak zaman kemuncaknya. Rahim membuka agensi pencari bakat "Famous Artist" yang berpengkalan di Damansara Jaya pada 1991 dan ia masih bertahan hingga kini, malahan menjadi antara agensi pencari bakat paling berpengaruh di dalam industri pengiklanan di Malaysia. Pembabitannya secara serius dalam perniagaan sekaligus memperlahankan karier muziknya. Rahim pada tahun 1998 tampil dengan album terbarunya yang mengumpulkan semua lagu popularnya daripada album-album lamanya. Dalam album yang bertajuk Generasi itu, telah memuatkan sepuluh buah lagu lama dan empat buah lagu terbaru yang diadunkan dengan pelbagai rentak. Rahim memasarkan lagu eksperimentasinya berjudul Gigit dan Terimalah masing-masing bergenre metal dan pop rock namun sejak itu tiada sebarang album susulan dikeluarkan.

Bergelar Lagenda Rock (2000 - kini)

Rahim bersama anak didiknya, Aiman Hakim Ridza di pentas Mentor 5.

Pada era 2000an, Rahim disifatkan sebagai lagenda rock dan hanya muncul secara eksklusif sahaja. Pada tahun 2006, beliau bersama rakan seangkatan Aris Ariwatan, Nash Elias, Mus (May), Joey BPR & Yantzen bergabung di bawah album terbitan komposer LY yang berjudul Semangat Zaman. Lagu- lagu Semangat Zaman dan Diammu Jeritan berjaya mencipta populariti tersendiri malahan Konsert Semangat Zaman di Kuala Lumpur dan Singapura. Rahim juga berkolaborasi dengan rapper Caprice Ariz pada tahun 2009 untuk lagu Tuhan Tolonglah dan membuat persembahan di Anugerah Shout! 2009 di mana beliau diberi jolokan sebagai "The Legendary Icon of Malaysian Rock".

Pada tahun 2011, beliau muncul dengan single Aku Cinta Kerana Kau Cinta sebagai buah tangan buat peminat yang setia mendokongnya sepanjang 30 tahun bergelar penyanyi rakaman. Pada tahun tersebut juga Rahim muncul dalam program realiti Mentor (musim 5) dengan protegenya Aiman Hakim Ridza namun gagal mara ke peringkat akhir. Ramai yang mengatakan kesilapan dalam pemilihan protege menyebabkan reputasi penyanyi hebat seperti Rahim sedikit tercalar, malahan ketika itu Rahim sendiri tidak begitu menyenangi komentar yang diberikan juri tetap Ramli M.S. Aiman kini bagaimanapun bergelar pelakon TV popular. [1]

Setelah hampir 20 tahun menyepi tanpa sebarang konsert solo, Rahim akhirnya kembali dengan sebuah mini konsert yang diberi nama Konsert Rahim Maarof Gigit! yang berlangsung di Rum Jungle Bar & Restoran Kuala Lumpur, pada 6 Mei 2012. Kehadiran lebih 1000 penonton di lokasi berskala sederhana itu menunjukkan betapa sokongan terhadap beliau masih utuh. [2]