Penerbitan Sangkar_(filem)

Sangkar ialah sebuah filem bertemakan seni bela diri campuran (MMA). Ia merupakan filem terbitan bersama empat syarikat penerbitan—Primeworks Studios, Astro Shaw, Infinitus Gold dan MM2 Entertainment.[4] Remy Ishak dan Zul Ariffin dipilih menjayakan watak utama sebagai Johan dan Adam. Menurut Penerbit Eksekutif Infinitus Productions, Gayatri Su-Lin Pillai, pemilihan Remy dan Zul dibuat berdasarkan kebolehan mereka membawakan genre aksi selain ramai yang ingin melihat dua orang pelakon ini bergabung dalam sebuah naskhah.[5]

"Saya menerima banyak permintaan daripada peminat yang ingin melihat dua pelakon ini beraksi dalam sebuah filem. Justeru, kami sepakat memilih Remy dan Zul untuk menerajui Sangkar. Kebolehan lakonan dua bintang ini tidak perlu dipersoalkan. Malah mereka juga memiliki nilai komersial untuk menarik penonton ke panggung. Lagipun, filem ini akan menyaksikan pertembungan mereka membawakan watak utama bersama buat julung kalinya".[5]

Pelakon dan pengacara TV, Mira Filzah diberikan peranan sebagai Liya, adik kepada Johan lakonan Remy. Sangkar ialah filem kedua Mira dan gandingan sulung beliau bersama Remy sebelum mereka membintangi drama Pujaan Hati Kanda. "Walau tidak terbabit dengan babak lasak, saya kena buat persediaan dari segi emosi kerana watak Liya ada cabaran tersendiri," kata Mira dalam temu ramah bersama Harian Metro.[6] Pelakon lain yang terlibat termasuk Fadlan Hazim, Aman Graseka, Carliff Carleell.

Kos pembikinan filem ini sebanyak RM 2.8 juta. Penggambaran dijalankan di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Banting, Selangor dari 7 Mei hingga 11 Jun 2018. Pejuang MMA tempatan Saiful Reza mereka koreografi aksi dan melatih para pelakon. Filem ini juga menyaksikan kemunculan beberapa atlet profesional MMA antarabangsa sebenar seperti bekas petarung UFC James 'Sledgehammer' Mcsweeney dan Davron Kuronboev, serta atlet MMA tempatan seperti Saiful Merican, Peter Davis, Jihin Radzuan, Rashid Salleh dan Andy Teh.[7]

Rujukan

WikiPedia: Sangkar_(filem) http://www.astroawani.com/berita-hiburan/filem-san... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/filem-san... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/menghibur... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/sangkar-f... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/sangkar-f... http://www.gempak.com/artikel/22025/wow-fighter-ny... http://www.gempak.com/artikel/24421/hebat-filem-sa... http://www.imdb.com/title/tt9805110/ http://www.rojakdaily.com/entertainment/article/72... https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2019/...