Kerjaya Sari_Yanti

Sari Yanti memulakan kerjaya awal sebagai model sambilan selepas memenangi pertandingan gadis penghias muka depan pada tahun 2006. Beliau mula dikenali sejak muncul dalam iklan Hotlink, yang turut dibintangi oleh Bront Palarae.[3]

Beliau ditawarkan oleh Aziz M. Osman untuk menjayakan watak utama sebagai Kaisara dalam siri drama remaja Kisah Kaisara terbitan Ace Motion Pictures dan disiarkan di TV3. Drama ini menjalani penggambaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Wangsa Melawati. Ia mengisahkan kehidupan pelajar sekolah yang bertudung.[4] Penampilan filem pertama Sari ialah menerusi watak pembantu dalam filem aksi perlumbaan kereta Impak Maksima arahan Ahmad Idham.[5]

Pada 11 November 2008, Sari memegang watak Juanna, seorang gadis yang menjadi mangsa dera ibu bapa tirinya dalam siri drama dengan tajuk sama yang disiarkan di TV1.[6] Beliau pernah tercalon dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 kategori "Artis Baru Wanita Popular". Pada tahun 2011, beliau menjayakan watak Suria Khadijah Parker, seorang wanita kacukan Melayu-Sepanyol yang memilih menjadi aktivis untuk membebaskan dirinya dari dunia kebendaan dalam siri drama Suria Di Cordoba yang memulakan siaran pada 7 Jun di Astro Prima.[7] Drama ini menjalani penggambaran di dua bandar utama SepanyolCordoba dan Madrid dan juga di Malaysia—Kuala Lumpur dan Lembah Kelang, Selangor.[8]

Beliau memegang watak sebagai Shahidah dalam siri drama komedi romantik remaja BFF: Teman Tapi Mesra bersama Muniff Isa, Syatilla Melvin dan Irfan Roslan. Drama ini memulakan siaran di TV3 bermula 15 Januari 2012, ia mengisahkan tentang hubungan antara Shahidah dan Iskandar yang terjalin sejak bangku sekolah.[9]

Sejak 2013, beliau telah menjadi penerbit dan telah menubuhkan syarikat penerbitanya, Apna Addo.[10] Sari menjadi sebahagian dari barisan pelakon drama keislaman I-Kids di Astro Ceria; memegang watak sebagai ibu Aliff.

Pada 17 Januari 2015, Sari memegang watak utama bersama Faizal Hussein dalam telefilem Penjara Seorang Isteri yang berkisarkan tentang perkahwinan Salmah dengan Zaid yang berlaku atas dasar suka sama suka dan perkahwinan mereka dikurniakan dua cahayamata. Dalam telefilem ini, yang berdasarkan dari satu kisah benar, Sari menjayakan watak sebagai Salmah.

Dari 6 hingga 9 Ogos 2015, Sari membuat penampilan sulungnya di pentas teater menerusi teater Hexa X Unus yang menggandingkan beliau bersama penyanyi dan pelakon Aqasha.[11]

Pada 27 Mac 2017, Sari memegang watak Aerna Isyqee dalam siri drama adaptasi novel karya Syamnuriezmil, Cik Serba Tahu yang menggandingkan beliau bersama Remy Ishak. Beliau dilaporkan menggantikan Mira Filzah yang menarik diri pada saat-saat akhir akibat pertindihan jadual kerja.[12]

Pada Mac 2020, Sari Yanti mengumumkan di akaun Instagram beliau bahawa tidak lagi bergiat aktif dalam bidang lakonan.[13]

Rujukan

WikiPedia: Sari_Yanti http://www.imdb.com/name/nm4799623/ http://www.hijabista.com.my/tahniah-sari-yanti-sel... http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&d... http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&d... http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&d... http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&d... http://www.kosmo.com.my/hiburan/sari-yanti-turut-w... http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/200... http://www.sinarharian.com.my/hiburan/sari-yanti-d... http://www.sinarharian.com.my/hiburan/sari-yanti-s...