Sinopsis Sarjan_Hassan

Babak di kampung
Mengisahkan Hassan (P. Ramlee) berumur 10 tahun berasal dari Jasin, Melaka yang menjadi anak yatim piatu setelah ayahnya meninggal dunia. Ibunya pula meninggal dunia sewaktu dia masih kecil. Majikan arwah ayahnya, Pak Lebai (Daeng Idris) yang kasihan akan nasib Hassan telah menjadikan Hassan sebagai anak angkatnya. Bagaimanapun, anak kepada ayah angkat Hassan, Aziz (Jins Shamsudin) berasa cemburu akan Hassan dan membencinya. Apabila mereka sudah dewasa, Aziz, Buang (Salleh Kamil) dan rakan-rakan yang lain senantiasa membuli dan mengganggu Hassan. Salmah (Saadiah) pula telah jatuh cinta dengan Hassan. Tindakan Salmah ini mendatangkan kemarahan kepada Aziz. Apabila Perang Dunia II semakin dekat, Rejimen Askar Melayu mula mengambil rekrut di Port Dickson, Negeri Sembilan. Aziz menyertainya tetapi Hassan yang juga ingin menyertainya dihalang berbuat demikian oleh ayah angkatnya yang menyuruhnya supaya menjaga sawah dan ladang. Orang-orang kampung mula memanggil Hassan sebagai pengecut dan ini menyebabkan Hassan membuat keputusan untuk lari daripada rumah supaya dia dapat menyertai Askar Melayu. Hassan membuktikan dia mampu menjadi seorang askar yang bagus dan tidak lama kemudian dinaikkan pangkat menjadi Koperal dan seterusnya ke pangkat Sarjan.

Babak askar Jepun menjajah Tanah Melayu
Apabila askar Jepun menyerang Singapura dan Kota Bharu, Kelantan, Sarjan Hassan bersama-sama dengan platunnya berjaya mengawal laluan darat bagi mengekang kemaraan askar Jepun ke suluruh Tanah Melayu. Hassan juga turut menyelamatkan Aziz yang tercedera dan mereka dijadikan tawanan perang kerana kesilapan taktikal yang dirancang oleh Aziz tanpa dipersetujui oleh Hassan yang bertindak sebagai ketua platunnya. Keadaan menjadi huru hara, sehingga menyebabkan Hassan juga mengalami kecederaan akibat dipukul oleh askar Jepun. Maka bermulalah episod Jepun menjajah keseluruhan Tanah Melayu pada 15 Februari 1942.

Hassan bersama platunnya telah ditahan, Hassan mula merancang untuk melarikan diri sebagai tahanan perang tetapi beliau telah mengalami kecederaan akibat terkena tembakan. Kedaan dirinya semakin lemah disamping itu beliau keseorangan di dalam hutan sebelum pengsan di tengah hutan. Mujurlah dia telah diselamatkan oleh kompeni askar Inggeris dari Singapura. Kali ini Hassan mendapat kawan baharu (lakonan H.M. Rohaizad dan tukang masak (S. Shamsuddin). Setelah pulih dari kecederaan, Hassan meminta bantuan dari platun Singapura untuk menyelamatkan rakan-rakannya yang ditahan tempoh hari. Tetapi kebanyakkan rakan platunnya disahkan telah meninggal dunia termasuk Sarjan Pon (Zainol Bakar) dan Aziz. Hassan dan platun baharunya berjaya memusnahkan satu pusat perhubungan askar Jepun di Tanah Melayu. Kali ini Hassan sudah tiba di kampung halamannya, dia menggunakan Ah Leng (Leng Hussain) sebagai orang tengah untuk menghapuskan saki baki askar Jepun dan Kampeitai di Jasin, Melaka.

Dalam masa yang sama, Buang pula mengkhianati bangsanya sendiri dengan menjadi polis rahsia Jepun atau Kampeitai. Dia dilantik oleh ketua Kampeitai (lakonan Omar Rojik). Buang menggunakan kedudukannya untuk menangkap penduduk kampung yang menyimpan radio amatur dan menjadi tali barut askar Inggeris. Selain itu, dia juga memaksa Salmah mengahwininya selepas ayahnya ditangkap kerana memiliki radio amatur. Dengan bantuan dari Ah Leng, surat dari Salmah diterima oleh Hassan. Hassan bersama platunnya berjaya memusnahkan lori tahanan Kampeitai dan menyelamatkan ayah Salmah. Di atas arahan ketuanya, Buang memberkas Salmah, Pak Lebai dan Minah untuk dijadikan tawanan ekoran saspek utamanya masih bebas. Di malam harinya, satu berita diterima mengatakan peperangan sudah berakhir dimana Jepun disahkan telah menyerah kalah pada perang dunia II. Tanpa membuang masa, keesokkan harinya Hassan dan platunnya menyerang dan menawan kubu pertahanan Kampeitai di Jasin. Walaupun keadaan sudah menjadi aman semula, tetapi Buang berjaya melarikan diri. Mujurlah Hassan berjaya bersemuka dengan Buang sebelum membunuhnya.