Ekonomi Setiu

Pertanian adalah industri utama di daerah Setiu yang mempunyai dataran tanah pamah dan gambut yang luas untuk diusahakan. Tanah jenis Aluvium ini sangat sesuai untuk aktiviti pertanian dan perladangan. Diantara tanaman komersial yang diusahakan di Setiu adalah tembakau, tembikai, kelapa, Buah Naga, roselle, vanila, gajus, nenas, Pokok Jarak dan pelbagai jenis sayur, kebanyakan tanaman jenis ini diusahakan di sebelah timur daerah ini kerana kesesuaian tanah di kawasan itu. Setiu juga mendapat jolokan sebagai periuk nasi negeri Terengganu bersama sama dengan daerah Besut kerana terdapatnya jelapang Padi yang diusahakan secara meluas di sini, penanaman padi boleh dijumpai di Kampung Bukit Layat, Kampung Jelapang, Kampung Banggol, Kampung Tasek dan Kampung Bukit Kemudu. Terusan dibina bagi mengairi sawah padi.

Bagi menjamin keselamatan makanan negara, Projek Agropolitan Besut-Setiu di Langkap, Setiu yang dibangunkan oleh Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah dilancarkan, projek membabitkan penternakan Biri-biri jenis Dorper secara komersial dan sistematik. Projek Agropolitan Besut-Setiu dilaksanakan atas tanah seluas 236 hektar merangkumi penempatan peserta, kemudahan asas, kawasan penanaman rumput Napier, kawasan padang ragut dan kandang bagi 4,680 ekor ternakan (setakat September 2013).

Perladangan kelapa sawit dan getah adalah komoditi utama yang diusahakan di Setiu. Kebanyakan ladang ini adalah diusahakan dan dibangunkan oleh pihak seperti Felda, RISDA, dan TDM iaitu syarikat perladangan milik kerajaan negeri Terengganu. Bagi menampung kapasiti pengeluaran hasil ladang di sini, kilang kelapa sawit telah dibina di Sungai Tong dan Felda Chalok, terdapat juga sebuah kilang pemprosesan getah asli di Felda Chalok Barat.