Sejarah Setiu

Asal-Usul Nama Setiu

Setiu adalah nama seorang Pahlawan Bugis. Peperangan antara Belanda dengan Bugis telah berlaku dalam tahun 1870an. Ramai orang-orang Bugis lari meninggalkan negeri mereka . Antara mereka adalah seorang Pahlawan bernama Tok Setiu. Antara faktor yang menyebabkan beliau lari selain dari kalah berperang ialah kerana beliau tidak mahu hidup bertuankan Belanda. Setelah beberapa lama belayar Tok Setiu dan orang-orangnya pun tiba di Terengganu. Negeri Terengganu pada masa itu di bawah pemerintahan Sultan Ahmad II ia itu Sultan Terengganu yang ke-10 ( 1875 - 1881).

Dengan persetujuan Sultan Ahmad II beliau membuka perkampungan yang dinamakan Kampung Bukit Tok Setiu. Tok Setiu mendapat tentangan daripada Tok Itam dan orang-orangnya kerana berebut suatu kawasan. Berlakulah peperangan yang amat hebat selama 7 hari 7 malam. Dalam peperangan tersebut pihak Tok Setiu menerima kekalahan. Memandangkan hal yang demikian Tok Setiu memohon bantuan daripada Tok Serban Kuning dari Mukim Batu Bertindan, Bukit Mahsuri. Dengan bantuan yang diberikan oleh Tok Serban Kuning maka pihak Tok Itam mengalami kekalahan.

Kemenangan Tok Setiu telah mengukuhkan lagi kedudukanyan sebagai Ketua di kampungnya dan menyebabkan pengaruh beliau semakin kuat dan pengikutnya bertambah ramai. Semasa pimpinan Tok setiu, beliau telah meninggalkan banyak jasa antaranya membuat tandak-tandak sungai, adalah bertujuan untuk memudahkan pengaliran air dari sungai ke sawah-sawah.

Selain daripada bertugas sebagai Ketua kampung, Tok Setiu juga berperanan sebagai guru silat dimana ramai penduduknya yang belajar daripadanya. Dikatakan bahawa persilatan menjadi pokok utama dalam kehidupan penduduk Bukit Tok Setiu ialah kerana adanya satu temasya pertandingan silat.Temasya ini telah diadakan pada tiap-tiap tahun.

Tok Setiu meninggal dunia setelah bertikam dengan adiknya disebabkan oleh fitnah dan dikuburkan berhampiran dengan rumahnya. Kawasan perkampungan Tok Setiu sekarang telah dipenuhi dengan pokok getah dan semak samun. Tok Setiu memainkan peranan yang besar dalam sejarah kehidupanya dan banyak jasa-jasa yang ditinggalkannya.Kemasyuran nama Tok Setiu telah mendorong kepada penduduk kampung menamakan tempat itu sebagai SETIU hingga sekarang menjadi sebuah Daerah.

Pembentukan Daerah Setiu

Menurut rekod Arkib Negara menunjukkan sempadan Daerah Negeri Terengganu telah berubah beberapa kali sejak lebih 50 tahun yang lalu. Dalam tahun 1921 Negeri Terengganu telah dibahagikan kepada lapan daerah iaitu Kemasik, Paka, Kerteh, Dungun, Marang, Kuala Berang, Setiu dan Besut. Pada tahun 1923 Daerah Negeri ini berubah sekali lagi tetapi masih kekal dengan lapan Daerah dimana Daerah Kemaman telah diwujudkan dan Daerah Setiu dihapuskan. Namun begitu dalam tahun 1935 Daerah Negeri ini dibahagikan semula dan dijadikan sepuluh Daerah yang dikenali Kemaman, Kemasik, Paka, Dungun, Marang, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Hulu Terengganu, Merang, Setiu dan Besut. Dalam tahun yang sama satu persidangan mengenai sempadan negeri telah dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tanah dan Galian Negeri Terengganu dan persidangan tersebut dikenali sebagai 'Christmas Conference' yang mana tujuannya untuk menyusun semula sempadan daerah. Hasil daripada persidangan tersebut keputusan telah dibuat seperti berikut:-

Daerah Kemaman dan Kemasik telah dicantumkan menjadi Daerah Kemaman.

Daerah Dungun dan Paka telah dicantumkan menjadi Daerah Dungun.

Daerah Merang, Batu Rakit dan Kuala Terengganu telah dicantumkan menjadi Daerah Kuala Terengganu.

Daerah Besut dan Setiu telah dicantumkan menjadi Daerah Besut.

Perubahan sempadan ini dibuat ialah kerana ketidakcekapan pentadbiran serta keluasan yang tidak ekonomik serta tidak dapat memberi perkhidmatan yang berkesan kepada masyarakat.

Dalam tahun 1980 Kerajaan Negeri telah meminta Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Tenaga Manusia, Jabatan Perdana Menteri (MAMPU) supaya membuat kajian kemungkinan kekesanan sempadan Daerah Negeri Terengganu. Hasil kajian tersebut Kerajaan Negeri telah bersetuju menubuhkan Daerah Setiu pada 1hb. Januari, 1985 dimana sebahagian daripada mukim-mukim dari Daerah Kuala Terengganu dan Besut dimasukkan ke Daerah Setiu.