Kerjaya Siput_Sarawak

Mengimbas sejarah awalnya, Siput mula berlakon bangsawan Siput Kuyung bersama bapanya Dollah Sarawak (nama sebenar Mohamad Sulaiman) sejak berusia 11 tahun. Dollah Sarawak adalah nama besar dalam dunia bangsawan yang kemudian menjadi pelakon filem.

Beliau merupakan seorang yang buta huruf tetapi mampu menghafal semua skripnya yang dibacakan oleh orang lain. Selepas Perang Dunia Kedua, Siput menjadi penyanyi kabaret di Singapura sebelum berpeluang berlakon dalam filem pertamanya berjudul Singapura Waktu Malam.

Sepanjang kerjayanya, beliau telah berlakon lebih kurang 50 filem terbitan Malay Film Productions, Cathay-Keris dan juga Studio Merdeka. Antara lakonan beliau yang paling menonjol ialah Hujan Panas, Muda Mudi, Racun Dunia, Korban Fitnah, Patung Chendana, Hujan Gerimis, Naga Tasik Chini, Jiran Sekampung'' dan Mangsa. Beliau juga pernah berlakon di bawah terbitan Merdeka Studio, Kuala Lumpur untuk Filem Keluarga 69 bersama P.Ramlee. Filem Hujan Panas adalah antara filem yang paling digemarinya. Keberkesanan lakonannya dalam filem itu membuatkan beliau terus mendapat peluang berlakon watak jahat.

Pada zaman kegemilangan filem Melayu di Jalan Ampas, selain daripada Seniman Salleh Kamil, Siput adalah pelakon yang dibenci kerana keberkesanan watak jahatnya. Filem terakhir lakonan beliau ialah Layar Lara bersama Azean Irdawaty dan juga seniman dan seniwati seangkatannya seperti Aziz Sattar, Mahmud Jun, Salmah Ibrahim dan Aziz Jaafar arahan pengarah berkaliber, Shuhaimi Baba pada tahun 1997.