Sinopsis The_Fast_and_the_Furious:_Tokyo_Drift

Sean Boswell adalah seorang pelumba haram dari Amerika Syarikat yang sering menimbulkan masalah dengan pihak berkuasa kerana gemar berlumba haram sehingga mengakibatkan kemusnahan harta awam. Kali ini, dia dihantar ke Tokyo, Jepun di bawah penjagaan bapanya untuk mengelakkan daripada hukuman penjara. Sebagai seorang gaijin (orang asing), Sean berasa terasing apabila berada di negara orang sehinggalah pada suatu hari apabila sahabatnya, Twinkie memperkenalkannya kepada aktiviti perlumbaan haram drift di Tokyo. Sean yang pada asalnya lebih mahir dengan perlumbaan pecutan (drag) kemudian mula berminat dengan perlumbaan drift. Pada kali pertama dia berlumba di situ, tanpa usul periksa Sean mencabar D.K. (Drift King), jaguh teknik drift yang mempunyai pertalian dengan kumpulan penjenayah Jepun, Yakuza. Dia kalah dalam perlumbaan tersebut dan terpaksa bekerja dengan Han sebagai bayaran kepada kerosakan yang dialami keretanya yang digunakan oleh Sean. Walau bagaimanapun, Han mula bersahabat dengan Sean dan mengajarnya teknik drift. Konflik antara Sean dan D.K. memuncak apabila D.K. mendapati Sean bersama-sama teman wanitanya, Neela. Akibatnya, beberapa siri aksi yang mendebarkan berlaku hasil daripada konflik tersebut.