Sejarah Valens_(kimia)

Kata "valens" dalam bahasa Melayu ialah kata pinjaman daripada perkataan bahasa Inggeris, "valence". Perkataan tersebut boleh dijejak kembali ke tahun 1425 yang bermaksud "ekstrak, penyediaan", dan ia berasal daripada perkataan bahasa Latin "valentia" yang bermaksud "kekuatan, kapasiti". Maksud istilah "valence" dari segi kimia pula bermaksud "kuasa mengikat suatu unsur" dan ia berasal daripada perkataan bahasa Jerman "Valenz". Maksudnya dicatat pada tahun 1884.[3]

Kombinasi zarah-zarah unggul William Higgins (1789)

Pada 1789, William Higgins telah menerbitkan satu pandangan yang dianggap beliau kombinasi zarah-zarah "unggul" yang membayangkan konsep ikatan valens.[4] Menurut Higgins, jika, misalnya, daya antara zarah-zarah unggul oksigen dan nitrogen ialah 6, maka kekuatan daya itu akan dibahagikan sama rata, dan begitu juga halnya bagi gabungan zarah-zarah unggul lain (lihat ilustrasi).

Namun, pengasasan sebenar teori valensi kimia boleh dijejak kembali pada tahun 1852. Dalam satu kertas kerja oleh Edward Frankland, beliau menggabungkan teori radikal bebas dan "teori jenis" dengan memasukkan anggapan afiniti kimia untuk menunjukkan bahawa sesetengah unsur mempunyai kecenderungan untuk bergabung dengan unsur-unsur lain untuk membentuk sebatian dengan 3, seperti mana dalam kumpulan tiga atom (contohnya NO3, NH3, NI3 dll.) atau 5, seperti mana dalam kumpulan lima atom (contohnya NO5, NH4O, PO5 dll.) persamaan unsur-unsur yang bergabung. Menurut Frankland, cara inilah boleh memuaskan afiniti unsur-unsur. Mengikut contoh-contoh dan postulat-postulat ini, Frankland menyatakan betapa jelasnya bahawa:[5]

Satu kecenderungan atau hukum diamalkan (di sini), dan bahawa, tidak kira apa ciri-ciri atom-atom yang bergabung itu, kuasa penggabungan unsur-unsur yang menarik, jika saya boleh menggunakan istilah tersebut, sentiasa dipuaskan oleh jumlah sama atom-atom ini.[6]

"Kuasa penggabungan" ini kemudiannya dinamakan kuantivalens atau valensi (dan valens oleh ahli-ahli kimia Amerika).[4]

Kovalens

Konsep kovalens dibangunkan pada pertengahan abad ke-19 sebagai percubaan untuk merasionalkan formula sebatian-sebatian kimia yang berbeza. Pada tahun 1919, Irving Langmuir telah meminjam istilah yang digunakan untuk menjelaskan model atom kiub Gilbert N. Lewis dengan menyatakan yang "bilangan pasangan elektron yang mana-mana atom kongsi dengan atom bersebelahan dinamakan kovalens atom itu". Imbuhan awalan co- membawa maksud "bersama-sama", maka ikatan ko-valen bermaksud atom-atom itu berkongsi valens. Oleh itu, sekiranya satu atom mempunyai valens +1, ia mempunyai satu elektron lebih daripada petalanya yang lengkap, dan jika ia mempunyai valens -1, ia kekurangan satu elektron dan memerlukan satu elektron untuk melengkapkan petala luarannya. Ikatan antara kedua-dua atom ini boleh terjadi kerana kedua-dua atom akan menyeimbangkan dengan berkongsi kecenderungan valens masing-masing yang tidak seimbang. Kini, istilah ikatan kovalen lebih kerap digunakan daripada "valens", yang semakin kurang digunakan dalam kajian-kajian tahap tinggi dengan kemajuan dalam teori ikatan kimia, tetapi istilah "valens" masih lagi digunakan secara meluas dalam pembelajaran tahap rendah yang memerlukan pengenalan heuristik bagi subjek ini.