Biografi William_Ramsay

Tahun-tahun awal

Ramsay telah dilahirkan di Glasgow pada 2 Oktober 1852, dan merupakan anak lelaki kepada seorang jurutera sivil, William Ramsay dan Catherine, née Robertson.[2] Beliau adalah anak saudara Sir Andrew Ramsay, seorang ahli geologi.

Beliau belajar di Akademi Glasgow dan menyambung pelajarannya di Universiti Glasgow di bawah Thomas Anderson dan kemudian pergi belajar di Universiti Tübingen di Jerman dengan Wilhelm Rudolph Fittig. Tesis kedoktorannya berjudul Investigations in the Toluic and Nitrotoluic Acids (Kajian Asid Toluik dan Nitrotoluik).

Ramsay pulang ke Glasgow sebagai pembantu Anderson di Kolej Anderson. Beliau dilantik sebagai Profesor Kimia di Kolej Universiti Bristol pada 1879 dan mengahwini Margaret Buchanan pada 1881. Pada tahun yang sama, beliau menjadi Pengetua Universiti Kolej Bristol. Meskipun begitu, beliau masih meneruskan kajian aktif dalam kimia organik dan dalam gas-gas.

Kerjaya

Karikatur William Ramsay di dalam Vanity Fair.

Pada 1887, Ramsay menggantikan Alexander Williamson sebagai Professor Kimia di Kolej Universiti London (UCL). Di sinilah kebanyakan penemuannya dilakukan. Seawal 1885 - 1890, beliau telah menerbitkan beberapa kertas kerja yang penting tentang oksida nitrogen, sambil membangunkan kemahiran-kemahiran yang akan beliau perlukan dalam kerja-kerja susulannya.

Pada petang 19 April 1894, Ramsay telah menghadiri satu kuliah oleh Lord Rayleigh. Rayleigh telah mendapati bahawa terdapat perbezaan di antara kepadatan nitrogen yang dihasilkan melalui sintesis kimia dan nitrogen yang diasingkan dari udara dengan membuang sebarang komponen udara lain yang diketahui. Selepas satu perbincangan pendek, beliau dan Ramsay bercadang untuk mengkaji hal ini. Pada bulan Ogos tahun itu, Ramsay telah menulis kepada Rayleigh untuk mengumumkan yang beliau telah berjaya mengasingkan satu komponen udara yang berat yang sebelum ini tidak diketahui, yang kelihatan seperti tidak memiliki sebarang kereaktifan kimia. Beliau menamakan gas ini "argon". Dalam tahun-tahun seterusnya, beliau bekerja bersama-sama dengan Morris Travers dan menemui neon, kripton dan xenon. Beliau turut mengasingkan helium yang telah diperhatikan dalam spektrum Matahari tetapi belum ditemui di Bumi. Pada 1910, beliau menghasilkan dan mencirikan radon.[3]

Pada 1904, Ramsay menerima Hadiah Nobel dalam Kimia. Kedudukan tinggi Ramsay dalam lingkungan saintifik membolehkannya menjadi penasihat dalam penubuhan Institut Sains India. Beliau mencadangkan yang Bangalore ialah tempat yang paling sesuai untuk menubuhkan institut itu.

Kedudukan tinggi Ramsay dalam lingkungan saintifik juga menyebabkan dia memilih keputusan yang tidak menguntungkan pada 1905 dengan menyokong Industrial and Engineering Trust Bhd., satu syarikat yang dikatakan mempunyai satu proses rahsia untuk mengekstrak emas daripada air laut. Syarikat itu membeli hartanah-hartanah sepanjang pantai England untuk melaksanakan proses mengekstrak emas daripada air laut itu, tetapi syarikat itu dengan pantas keluar daripada pandangan umum dan tidak pernah menghasilkan sebarang emas.

Kehidupan peribadi

Plak biru 12 Arundel Gardens yang mengingati hasil kerja William Ramsay.

Ramsay mengahwini Margaret Johnstone Marshall (née Buchanan, anak perempuan George Stenenson Buchanan) dan mempunyai seorang anak perempuan, Catherine Elizabeth (Elska), dan seorang anak lelaki, William George, yang meninggal dunia pada usia 40 tahun.

Ramsay tinggal di Hazlemere, Buckinghamshire sehingga beliau meninggal dunia. Beliau meninggal di High Wycombe, Buckinghamshire, pada 23 Julai 1916 disebabkan oleh kanser hidung pada usia 63 dan dikebumikan di gereja kariah Hazelmere.

Satu plak biru di nombor 12, Arundel Gardens, Notting Hill, mengingati kehidupan dan kerja beliau.

Sekolah Sir William Ramsay di Hazlemere telah dinamakan bersempena beliau.

Rujukan

WikiPedia: William_Ramsay http://www.nndb.com/people/490/000099193/ http://www.scientificamericanpast.com/Scientific%2... http://www.scs.uiuc.edu/~mainzv/Web_Genealogy/Info... http://www.scs.uiuc.edu/~mainzv/Web_Genealogy/r-li... http://gallica.bnf.fr/ark:/12148/bpt6k31042/f126.t... //www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/15578783 http://web.archive.org/web/20060111041700/http://w... http://chemeducator.org/sbibs/s0009006/spapers/960... http://www.chemheritage.org/classroom/chemach/peri... //doi.org/10.1002%2Fanie.200461824