Xiao'erjing

Xiao'erjing atau Xiao'erjin (Cina Ringkas: 小儿经/小儿锦; Cina Tradisional: 小兒經/小兒錦; pinyin: Xiǎo'érjīng/Xiǎo'érjǐn, Xiao'erjing: شِيَوْ عَر دٍ) atau nama pendekanya Xiaojing (Cina Ringkas: 小经/消经; Cina Tradisional: 小經/消經; pinyin: Xiǎojīng/Xiāojīng) ialah amalan menulis bahasa-bahasa Sinitik seperti bahasa Mandarin (terutamanya loghat-loghat Lanyin, Zhongyuan dan Timur Laut) atau bahasa Dungan berasaskan abjad Arab. Xiao'erjing diamalkan oleh ramai kaum minoriti yang beragama Islam di China (terutamanya orang Hui, bahkan juga orang Dongxiang dan Salar), serta pernah digunakan oleh keturunan Dungan di Asia Tengah. Pembaharuan tulisan Soviet memaksa bangsa Dungan menggantikan Xiao'erjing dengan abjad Rumi dan kemudiannya abjad Cyril yang masih dipakai oleh mereka sehingga hari ini.Xiao'erjing ditulis dari kanan ke kiri, seperti mana abjad-abjad berasaskan Arab yang lain. Sistem tulisan Xiao'erjing serupa dengan sistem tulisan bahasa Uyghur kini yang mana semua bunyi vokal sentiasa bertanda, berbanding dengan amalan menggugurkan tanda vokal di kebanyakan bahasa yang memakai tulisan berasaskan Arab (seperti bahasa Arab, Parsi, dan Urdu), mungkin disebabkan keamatan kepentingan bunyi vokal dalam suku kata Cina.